Skip to main content

Singapura

Mahkamah Syariah rintis usaha pengantaraan bersama, perkukuh sokongan buat pasangan bercerai dengan konflik tinggi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 31 Jul 2026 05:50PM Dikemas Kini : 11 Aug 2026 05:34PM
  • Mahkamah Syariah Singapura memperkenalkan pendekatan baharu sejak April untuk membantu keluarga Islam melalui perceraian, diumumkan pada Forum Amalan Mahkamah Syariah 2026.
  • Pendekatan ini menggabungkan kepakaran undang-undang, sosial dan agama, serta memperkenalkan projek perintis Pengantaraan Bersama untuk menangani kes perceraian berkonflik tinggi.
  • Inisiatif seperti Panduan Penceraian dan alat digital e-Bantu disediakan bagi memudahkan individu yang mengendalikan sendiri kes perceraian tanpa peguam.
  • Kerjasama dengan agensi sosial seperti MSF dan NCSS serta sokongan terapeutik memastikan kebajikan anak-anak dan keluarga terus menjadi keutamaan sepanjang proses perceraian.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Individu yang mengendalikan sendiri kes perceraian serta keluarga yang berdepan konflik berpanjangan boleh menerima sokongan lebih menyeluruh menerusi pendekatan baharu Mahkamah Syariah Singapura (SYC).

Pendekatan itu menggabungkan kepakaran undang-undang, sosial dan agama bagi membantu keluarga Islam mengharungi proses perceraian dengan sokongan yang lebih bersepadu.

Usaha tersebut telah dirintis sejak April lalu dan diumumkan SYC semasa edisi kedua Forum Amalan Mahkamah Syariah 2026 pada Jumaat (31 Jul).

Acara dwitahunan itu menghimpunkan lebih 250 pengamal undang-undang, profesional sains sosial dan asatizah.

Dengan tema “Keadilan Dalam Jangkauan: Penjagaan Bersepadu untuk Keluarga yang Bercerai”, forum itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama rentas disiplin dalam menyokong keluarga yang melalui proses perceraian.

Forum kali ini memberi tumpuan kepada dua cabaran utama, iaitu membantu individu yang menguruskan kes penceraian sendiri tanpa diwakili peguam serta memastikan keluarga yang berdepan konflik berpanjangan menerima sokongan yang bersesuaian.
Menteri Negara Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri, Zhulkarnain Abdul Rahim berkata golongan tersebut memerlukan lebih daripada sekadar penyelesaian undang-undang.

"Perceraian merupakan salah satu pengalaman paling sukar yang boleh dilalui oleh sesebuah keluarga. Walaupun ia menandakan berakhirnya sebuah perkahwinan, ia tidak bermaksud berakhirnya sebuah keluarga.

"Ibu bapa dan anak-anak tetap meneruskan kehidupan bersama dan mereka berhak menerima sokongan untuk melakukannya dengan penuh maruah dan harapan," kata Encik Zhulkarnain.

Beliau berkata proses perceraian yang dilalui keluarga juga memainkan peranan penting dalam membantu mereka meneruskan kehidupan selepas perceraian.

"Adalah mudah untuk memberi tumpuan hanya kepada penyelesaian dari sudut perundangan. Namun, keadilan, khususnya dalam hal-hal berkaitan keluarga, bukan sekadar mencapai keputusan yang tepat.

"Ia juga bagaimana sesebuah keluarga melalui dan mengalami keseluruhan proses tersebut. Proses yang
penuh hormat, mudah diakses dan berteraskan ihsan dapat membantu keluarga menguruskan konflik dengan lebih membangun serta meneruskan kehidupan dengan lebih yakin," kata Encik Zhulkarnain.

BANTU INDIVIDU YANG MEWAKILI DIRI SENDIRI

Salah satu tumpuan utama forum adalah untuk memperkasa individu yang mengendalikan sendiri kes perceraian tanpa diwakili peguam.

Golongan tersebut sering berdepan cabaran memahami prosedur mahkamah, menyediakan dokumen yang diperlukan serta mengikuti proses perundangan yang kompleks.

Bagi membantu individu yang mengendalikan sendiri kes perceraian, Mahkamah Syariah dan Biro Bantuan Guaman berkongsi inisiatif sedia ada yang bertujuan memudahkan proses mahkamah.

Antaranya ialah Panduan Penceraian Mahkamah Syariah.

Ia boleh menjadi bahan rujukan kepada orang ramai, serta alat digital e-Bantu oleh Biro Bantuan Guaman yang menawarkan panduan langkah demi langkah untuk menyediakan dokumen mahkamah dan memahami proses perceraian.

PENDEKATAN BAHARU TANGANI PENCERAIAN BERKONFLIK TINGGI

Forum itu turut memberi perhatian kepada peningkatan kes perceraian berkonflik tinggi, yang lazimnya melibatkan isu lebih kompleks seperti keganasan rumah tangga, kesihatan mental, konflik keibubapaan yang berpanjangan atau pengasingan anak daripada salah seorang ibu bapa.

Bagi menangani cabaran tersebut, Mahkamah Syariah mengumumkan bahawa ia telah memulakan projek perintis Pengantaraan Bersama iaitu pendekatan yang menggabungkan pengantara dan Pakar Terapeutik Mahkamah bagi membantu keluarga serta anak-anak mereka.

Pendekatan itu membolehkan aspek undang-undang, emosi dan psikologi ditangani secara serentak, selain membolehkan keluarga dirujuk dengan segera kepada agensi khidmat sosial sekiranya terdapat risiko terhadap keselamatan atau kebajikan anak.

PENDEKATAN TERAPEUTIK TERUS DIPERKUKUH

Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy juga menjelaskan bahawa sokongan yang diberikan bukan hanya tertumpu kepada pasangan yang melalui perceraian tetapi turut mengambil kira keperluan anak-anak.

"Keadilan terapeutik adalah pendekatan yang diambil oleh Mahkamah Syariah dalam memastikan bahawa pihak-pihak yang sedang melalui proses perceraian di mahkamah ini mendapatkan sokongan yang terbaik untuk mereka dapat bergerak ke hadapan dengan lebih positif dalam mereka menyelesaikan sebarang ketidaksetujuan dan juga meleraikan sebarang pertikaian yang berlaku secara aman sejauh mungkin," kata Ustaz Irwan.

Dalam pada itu, beliau turut berkata forum seperti ini penting bagi menghimpunkan pelbagai pihak yang terlibat dalam menyokong keluarga yang melalui proses perceraian.

"Apabila sesebuah keluarga melalui perceraian, mereka memerlukan sokongan daripada pelbagai pihak, sokongan emosi, sokongan kerohanian, sokongan perundangan dan dengan mengadakan forum seperti ini, pakar-pakar dalam setiap bidang dapat datang bersama dan kemudian bertukar pandangan untuk mereka saling memahami peranan masing-masing," kata Ustaz Irwan.

Sementara itu, Pakar Terapeutik Mahkamah Utama, Mahkamah Syariah, Nur Izzah Amir, berkongsi bagaimana pendekatan terapeutik membantu mengenal pasti risiko lebih awal, mengurangkan konflik antara ibu bapa serta memastikan kebajikan anak terus menjadi keutamaan sepanjang proses perceraian.

"Perkhidmatan TSS atau Therapeutic Specialist Services beroperasi dalam dua peringkat. Satu ialah melalui pengantaraan bersama. Ini adalah satu sesi yang pengantara Mahkamah Syariah dan pakar terapeutik Mahkamah menjalankan satu sesi bersama.

"Apa yang terjadi dalam ialah ia merupakan dua perspektif disatukan. Satu ialah menyelesaikan konflik mahkamah atau konflik perceraian mereka dan lagi satu ialah untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan keluarga itu yang penting untuk para pakar terapeutik kami," katanya.

Beliau berkata TSS turut membantu memastikan suara kanak-kanak didengari apabila diperlukan.

Cik Izzah menambah bahawa TSS juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) bagi memastikan keluarga menerima sokongan yang diperlukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita