Mahkamah Syariah, Lembaga Rayuan MUIS kini boleh teruskan perbicaraan tanpa hujah lisan
SINGAPURA: Mahkamah Syariah atau Lembaga Rayuan MUIS kini boleh meneruskan perbicaraan tanpa mendengar hujah lisan. Dalam erti kata lain, kes-kes seperti tuntutan cerai dan hak penjagaan anak, kini boleh diteruskan dengan hanya memfailkan dokumen-dokumen yang diperlukan.
Perubahan ini diperkenalkan di bawah Seksyen 35B Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA). Pindaan-pindaan terhadap akta tersebut diluluskan di Parlimen hari ini (14 Feb).
Semasa bacaan kedua rang itu di Parlimen, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata, semakan seperti ini bertujuan memperkemas pelbagai proses dan operasi badan-badan berkanun Islam di sini - Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Mahkamah Syariah dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM).

Kesemua pindaan AMLA itu disokong para anggota parlimen termasuk Encik Muhammad Faisal Manap dari parti pembangkang.
MUNGKIN ADA PIHAK TERKILAN TIDAK DAPAT LIHAT PROSES PERBICARAAN?
Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang Zhulkarnain Abdul Rahim bagaimanapun bangkit menyuarakan dua kebimbangannya mengenai seksyen 35B yang diperkenalkan di bawah AMLA.
Ini meskipun beliau akur perubahan ini selaras dengan perubahan lain dalam bidang kuasa sivil yang membolehkan perbicaraan kes menggunakan dokumen-dokumen sahaja.
"Saya khuatir ada pihak yang mungkin rasa terkilan kerana mereka tidak melihat proses rayuan atau perbicaraan dan mungkin tidak faham mengapa rayuan mereka (misalnya) ditolak - jika kesemua proses perbicaraan itu tanpa hujah-hujah lisan dan diadakan secara pertukaran dokumen," kata Encik Zhulkarnain yang juga merupakan seorang peguam.

Di samping itu, beliau juga bimbang kalau-kalau perubahan ini ada kesan terhadap persepsi masyarakat Melayu/Islam tentang sistem keadilan di sini.
"Proses keadilan mungkin tidak ketara (atau ketat) bagi mereka kerana mereka tidak dapat memerhatikan prosiding berikut. Usah kita dalam mengejar kecekapan dan keberkesanan dalam pentadbiran proses mahkamah, yang digendong pula keciciran," tambah beliau.
MAHKAMAH SYARIAH & MUIS DISARAN TERBITKAN LAPORAN KES
Bagi menangani senario-senario yang dikemukakan, Encik Zhulkarnain menyarankan agar Mahkamah Syariah dan Lembaga Rayuan "secara terbuka" menerbitkan sebab-sebab dan alasan di sebalik keputusan kes-kes yang dibicarakan di bawah bidang kuasa masing-masing.
Laporan sebegitu, kata Encik Zhulkarnain lagi, boleh diterbitkan di lelaman web MUIS atau Mahkamah Syariah.
"Ini akan membantu pihak berkenaan untuk memahami bahawa walaupun tiada perbicaraan atau hujah lisan, kes mereka telah dikaji dengan teliti dalam bentuk bertulis," terangnya.
Menjawab keprihatinan Encik Zhulkarnain di Parlimen, Encik Masagos memberi jaminan bahawa seksyen baru 35B tertakluk kepada kes-kes tertentu sahaja.

"Cara tradisional di mana prosiding berlangsung dengan mendengar hujah secara lisan, masih diamalkan dan akan terus menjadi cara utama prosiding-prosiding dijalankan," kata Encik Masagos.
PENGECUALIAN DI BAWAH SEKSYEN 35B
Dalam pada itu, Encik Zhulkarnain turut bertanya mengapa ada satu pengecualian bagi Seksyen 35B ini. Iaitu, Mahkamah Syariah tidak boleh meneruskan perbicaraan tanpa hujah lisan sekiranya ada pihak sudah membuat keterangan lisan.
"Bagaimana pula dengan situasi di mana seorang plaintif memberikan keterangan lisan tetapi pihak defendan pula kemudiannya gagal atau enggan mengambil bahagian dalam prosiding selanjutnya?" soal Encik Zhulkarnain.
"Lazimnya dalam senario itu, mahkamah mendengar kes itu tanpa kehadiran Defendan dan membuat perintah yang diperlukan. Tetapi ini bermakna si plaintif perlu hadir dan perlu membiayai kos dan meluangkan masa untuk menjalani perbicaraan lisan."

Menjelaskan, Encik Masagos berkata ada undang-undang yang melindungi hak kedua-dua pihak dalam proses litigasi.
"Mahkamah perlu terdahulu menilai sama ada perbicaraan seterusnya dijalankan secara tanpa pendengaran lisan, dapat dijalankan secara adil kepada kedua-dua pihak," kata Encik Masagos yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.
Beliau menambah, mahkamah juga perlu mendapatkan keizinan plaintif bagi memansuhkan haknya untuk meneruskan prosiding secara lisan, sebelum Mahkamah meneruskan perbicaraan secara tanpa pendengaran lisan bagi kedua-dua pihak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.