Skip to main content

Singapura

Mahkamah Syariah lantik 2 Hakam wanita pertama, perluas panel Hakam dan Wakil Anak

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Buat julung kalinya, Mahkamah Syariah (SYC) melantik dua asatizah wanita sebagai Hakam, sekali gus memperkukuh sokongan kepada keluarga dalam menghadapi situasi mencabar.

Pelantikan itu merupakan sebahagian daripada 22 anggota panel Hakam baharu, meningkat daripada 18 sebelum ini, yang akan berkhidmat selama tiga tahun bermula 1 April 2026 hingga 31 Mac 2029.

Ustazah Dr Rohana Ithnin dan Ustazah Zuwainah Kamalutheen merupakan dua asatizah wanita pertama yang memegang peranan Hakam tersebut.

Perkembangan itu mencerminkan usaha berterusan Mahkamah Syariah dalam menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh kepada keluarga.

Sejajar dengan itu, Panel Wakil Anak (CR) turut diperluaskan, dengan jumlah pelantikan meningkat kepada empat berbanding dua sebelum ini.

Pelantikan tersebut diumumkan dalam Majlis Pelantikan Hakam dan Wakil Anak SYC di Parkroyal on Beach Road, yang dihadiri Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim, selaku tetamu kehormat.
Related article image
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim menyampaikan ucapan di majlis di Parkroyal on Beach Road pada Jumaat (17 Apr). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Beliau mengalu-alukan pelantikan tersebut dalam menyediakan sokongan yang lebih "bersepadu dan diselaraskan" bagi keluarga.

"Dengan sokongan yang tepat individu dapat membina semula kehidupan mereka dengan bermaruah. Ibu bapa pula boleh bekerjasama dalam keibubapaan dengan penuh keprihatinan dan tanggungjawab. Yang paling penting, anak-anak dapat menikmati kestabilan serta sokongan emosi yang mereka perlukan untuk membesar dengan baik," kata Dr Faishal.

PELANTIKAN HAKAM WANITA BUAT JULUNG KALINYA SATU "PERKEMBANGAN POSITIF"; TANGANI KEPERLUAN KELUARGA LEBIH RENCAM

Dilantik oleh Mahkamah Syariah di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) 1966, para Hakam berperanan sebagai pendamai dalam membantu pasangan menyelesaikan pertikaian rumah tangga, sama ada untuk mencapai perdamaian atau memudahkan perceraian secara baik.

Menganggap pelantikan Hakam wanita sebagai satu "perkembangan positif", Ustazah Dr Rohana berkata:

"(Ia dapat) mengukuhkan lagi sokongan yang mana kita boleh membantu para pasangan ataupun keluarga yang memerlukan bantuan, yang mana mereka menghadapi situasi yang mencabar."
Related article image
Ustazah Dr Rohana Ithnin antara dua asatizah wanita pertama yang memegang peranan Hakam tersebut. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Ustazah Dr Rohana, 63 tahun, sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan kepimpinan, termasuk sebagai Pengetua Pusat Pendidikan Jamiyah serta Naib Pengetua di Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah.

Beliau bahkan, sedang berkhidmat sebagai anggota penuh Jawatankuasa Fatwa sehingga tahun 2028.

Berbekalkan latar belakang perundangan Islam serta kemahiran kaunseling dan mediasi, Dr Rohana mampu mengaplikasikan prinsip Islam secara praktikal dalam menangani konflik rumah tangga.
Ditanya mengapa pelantikan Hakam wanita hanya dilakukan kini, Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan Hadi, menjelaskan bahawa langkah itu diambil bagi mencerminkan dan menangani kepelbagaian struktur keluarga yang semakin rencam.
Related article image
Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan Hadi ditemui wartawan Syazwani Sanep. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)

"Dengan adanya Ustazah kita dalam kalangan Hakam, ia dapat memperkayakan perbincangan sesi Hakam dan dapat memberikan lebih pilihan kepada pihak-pihak yang melalui proses di mahkamah Syariah untuk mendapatkan kepakaran yang sesuai, mengikut keperluan mereka," jelas Ustaz Irwan kepada wartawan Syazwani Sanep.

PELUASAAN PERANAN PANEL WAKIL ANAK BAGI PENGGAL BAHARU; KINI DIANGGOTAI 4 INDIVIDU

Syaza Hanafi, 34 tahun, merupakan antara empat Wakil Anak (CR) yang dilantik dalam majlis tersebut, sekali gus melanjutkan khidmatnya sejak skim itu diperkenalkan pada 2023.

Related article image
Syaza Hanafi antara empat Wakil Anak (CR) yang dilantik dalam majlis tersebut pada Jumaat (17 Apr), sekali gus melanjutkan khidmatnya sejak skim itu diperkenalkan pada 2023. (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Sebagai pihak berkecuali yang dilantik mahkamah, CR menilai kepentingan terbaik anak-anak dalam kes perceraian, termasuk isu penjagaan.

Dengan latar belakang dalam psikologi klinikal serta kepakaran dalam pembangunan kanak-kanak dan penilaian psikologi, Syaza berkeupayaan menangani kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang, khususnya dalam pertikaian hak jagaan.
Related article image
Empat Wakil Anak (CR) dilantik Majlis Pelantikan Hakam dan Wakil Anak SYC di Parkroyal on Beach Road, pada Jumaat (17 Apr). (Gambar: Syazwani Sanep/BERITA Mediacorp)
Menyambut baik peluasan peranan CR, beliau berkata langkah itu membolehkan lebih ramai keluarga dibantu, di samping memadankan kanak-kanak dengan wakil yang lebih memahami keperluan khusus mereka.

Panel CR tersebut juga akan berkhidmat selama tiga tahun, selaras dengan tempoh pelantikan para Hakam.

Senarai Hakam yang akan berkhidmat bagi penggal 1 April 2026 hingga 31 Mac 2029:

1. Ustaz Abdul Aziz Mohamed
2. Ustaz Ahmad Nafis Mohammed Roslan
3. Ustaz K H Majeed Maiden
4. Ustaz Lukmannul Hakeem Ahmad
5. Ustaz Mohamad Yazid Yunos
6. Ustaz Mohammad Irwan Shah Bin Sudiman
7. Ustaz Mohamad Zakir Isahak
8. Ustaz Mohammad Khalid Mohd Rafi
9. Ustaz Muhammad Azim Mohamed Foad
10. Ustaz Ismail Terimoh
11. Ustaz Muhammad Ameen Packir Mohideen
12. Ustaz Ihsan Muhidin
13. Ustaz Haziq Ashyraf Soondey
14. Ustaz Md Azmi Rabani
15. Ustaz Mohamad Hamzah Mohamed Amin
16. Ustaz Roslan Aman
17. Ustaz Mohammed Nazim Rahuma Dulla
18. Ustaz Ziyaudeen Ahmed Sirajuddeen
19. Ustaz Khairil Amri Abdul Hamid
20. Ustaz Mohd Saiful Adli Ayob
21. Ustazah Rohanah Ithnin
22. Ustazah Zuwainah Kamalutheen

Senarai Panel Wakil Anak yang akan berkhidmat bagi penggal 1 April 2026 hingga 31 Mac 2029:

1. Syaza Hanafi
2. Marlia Mohamed
3. Mohamad Firoz Abdul Kadir
4. Farid Jaaffar
Sumber : BERITA Mediacorp/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita