Mahkamah Syariah lancar Skim Perwakilan Anak, lindung kebajikan anak-anak terlibat dalam kes perceraian
SINGAPURA: Mahkamah Syariah melancarkan Skim Perwakilan Anak untuk melindungi kebajikan anak-anak yang terlibat dalam kes perceraian.
Ia antara lain akan berganding bahu dengan pakar-pakar sains sosial untuk menyokong keluarga yang melalui perceraian.
Skim baharu itu dilancarkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli dalam Majlis Ulang Tahun ke-65 Mahkamah Syariah pada Jumaat (24 Nov).
Skim Perwakilan Anak itu akan memberi keutamaan kepada usaha memelihara kebajikan anak-anak pasangan yang sedang melalui proses perceraian.
Seorang wakil akan dilantik bagi kes-kes tertentu melibatkan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas.
Mereka akan bertindak sebagai perantara bagi isu-isu yang mungkin dipertikaikan seperti isu penjagaan, kawalan, atau akses kepada anak tersebut dipertikaikan pihak yang mahu bercerai.
"Dengan adanya skim ini, kita boleh mengutamakan suara anak-anak tentang perceraian ibu bapa mereka. Jadi kita boleh menyesuaikan perintah-perintah mahkamah terhadap mereka," kongsi Ketua Kaunselor Mahkamah, Cik Nur Izzah Amir.
Mahkamah Syariah memutuskan bahawa model yang lebih sesuai ialah satu yang melibatkan para pakar Sains Sosial berbanding model Skim Perwakilan Anak dengan pelantikan Peguam oleh Mahkamah Keadilan Keluarga (FJC).
Keputusan itu diambil selepas mengkaji proses-proses perceraian dan menilai keperluan keluarga Melayu/Islam yang tampil ke mahkamah.
Di sini, wakil yang dilantik itu juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan anak terbabit daripada para pakar lain seperti pakar kesihatan mental atau pihak sekolah untuk memastikan kepentingan anak itu terpelihara.
"Perbezaan utama ialah mereka (pakar Sains Sosial) mempunyai pengalaman berinteraksi dengan anak-anak dan boleh menyampaikan pengalaman anak-anak itu dalam laporan ke mahkamah. Dan kami berharap dengan pakar-pakar Sains Sosial itu, kami boleh lebih memahami apa yang anak-anak ini mengalami dengan ibu bapa yang bercerai," jelas Cik Izzah.
INISIATIF PENTING UNTUK LINDUNGI KEBAJIKAN ANAK-ANAK TERLIBAT DALAM KES PERCERAIAN
Di majlis yang sama, Encik Masagos turut menarik perhatian kepada usaha Mahkamah Syariah untuk memperkukuhkan dan menyokong keluarga-keluarga Melayu/Islam sepanjang 65 tahun.
"Saya mengalu-alukan pelancaran Skim Perwakilan Anak oleh Mahkamah Syariah seperti yang diumumkan Presiden Kanan Mahkamah. Skim Perwakilan Anak dan Wawancara Anak Bersama merupakan inisiatif penting oleh Mahkamah untuk melindungi kebajikan anak-anak yang terlibat dalam kes perceraian," kongsi Encik Masagos.
"Saya berbesar hati melihat Mahkamah berganding bahu dengan pakar-pakar sains sosial untuk menyokong keluarga yang melalui perceraian," tambahnya.
Sebagai permulaan, dua pakar Sains Sosial akan dilantik untuk menyertai panel Perwakilan Anak untuk selama dua tahun dari November tahun ini hingga Oktober 2025.
BUKU PERINGATAN DILANCARKAN SEMPENA ULANG TAHUN KE-65 MAHKAMAH SYARIAH
Sempena ulang tahunnya ke-65 juga, Mahkamah Syariah turut melancarkan buku bertajuk ‘Rooted in Tradition, Ready for Tomorrow'.
Ia menampilkan tugas Mahkamah Syariah dan pembangunan undang-undang yang ketara selama lebih 60 dekad.
Ia memaparkan detik-detik penting dalam sejarah mahkamah tersebut serta individu-individu yang memainkan peranan penting dalam Mahkamah Syariah.
"Buku ini memaparkan tahun-tahun awal pembentukan Mahkamah Syariah daripada 1958, di mana ia bermula dengan tenaga kerja yang sangat kecil iaitu hanya tujuh orang. Ia juga menukil pengalaman-pengalaman daripada mantan presiden-presiden kanan, pendaftar dan para petugas Mahkamah Syariah," kongsi Presiden Mahkamah Syariah, Ustazah Raihanah Halid.
Antara yang ditampilkan termasuk para perintis Mahkamah Syariah, Ustaz Sallim Jasman, yang dilantik Presiden pada 1994, dan Ustaz Mohamad Haji Rais, yang menggalas peranan sebagai Presiden Kanan pada 2006.
"Dengan menerbitkan buku ini, kami dapat memaparkan prinsip-prinsip Islam yang telah memandu Mahkamah Syariah di dalam setiap perkhidmatan yang diberikan dan juga keputusan yang dibuat iaitu ihsan, maarof dan amanah," menurut Ustazah Raihanah.
"Kami berharap daripada penerbitan buku ini, kami akan menambah minat para pelajar dan pengamal undang-undang, untuk sama-sama menyumbang kepada pelbagai bidang yang dapat membantu keluarga di Singapura," tambahnya.
Sementara itu, Mahkamah Syariah akan terus membina keupayaan demi mengukuhkan keluarga Muslim.
Ia antara lain telah mengambil pendekatan Keadilan Terapeutik untuk mencari jalan penyelesaian terbaik bagi keluarga.
DAKAP TRANSFORMASI DIGITAL UNTUK TINGKATKAN PROSES DAN KECEKAPAN MAHKAMAH SYARIAH
Selain itu, ia akan terus mendakap transformasi digital yang berterusan bagi meningkatkan proses dan kecekapan Mahkamah Syariah.
Ia termasuk memperkenalkan portal e-khidmat, yang antaranya dapat membenarkan para pengguna mengakses perintah dan dokumen mahkamah, serta maklumat dan status kes dengan lebih mudah lagi secara online.
"Tujuan proses ini ialah untuk memudahkan para pengguna mahkamah supaya mereka tidak lagi perlu datang ke Mahkamah Syariah," ujar Ustazah Raihanah.
"Ia juga dapat membantu pengguna untuk mendapat maklumat terkini tentang kes mereka untuk temu duga yang akan datang dan juga kemajuan kes mereka masing-masing," tambah beliau.
Usaha itu dipuji tetamu kehormat, Setiausaha Parlimen Rahayu Mahzam yang hadir di Persidangan Mahkamah Syariah 65 pada sebelah pagi.
"Ini pencetus perubahan. Pihak terbabit atau peguam mereka kini boleh memfailkan permohonan atau menyerahkan dokumen kepada Mahkamah Syariah pada bila-bila masa dari mana-mana lokasi, menggunakan SingPass atau CorpPass. Mereka juga boleh mendaftar Kaunseling Perkahwinan sebelum perceraian, menerima kemas kini tentang pelantikan Mahkamah yang akan datang dan mengakses salinan digital dokumen yang difailkan," kongsi Cik Rahayu.
"Usaha pendigitalan ini membawa kemudahan yang lebih besar kepada semua pihak dan meningkatkan kecekapan serta akses kepada keadilan," tambahnya.
Salinan digital untuk buku peringatan Mahkamah Syariah itu boleh diakses bermula Isnin (27 Nov) di laman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.