Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Syariah lancar rangka kerja latihan, penilaian baru; 18 hakam dipilih

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Syariah lancar rangka kerja latihan, penilaian baru; 18 hakam dipilih

(Gambar: Nur Arina Ahmad Anis/BERITAmediacorp)

BERITAmediacorp: Satu rangka kerja latihan dan penilaian baru dilancarkan pada Jumaat (10 Mac), bertujuan menyokong para hakam dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan lebih berkesan dan sempurna.

Rangka kerja yang dinamakan H.I.K.M.AH itu dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli sempena upacara pemilihan rasmi di mana seramai 18 hakam dipilih.

11 daripada 18 hakam itu merupakan hakam dalam panel sedia ada. Lapan turut bertugas sebagai Naib Kadi di Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan lima adalah pakar rujukan bagi Program Kaunseling Perkahwinan (MCP). Enam hakam pula akan melepaskan jawatan.

"Rangka kerja itu bertujuan untuk melengkapi para hakam dan asatizah dengan ilmu dan kemahiran dalam pelbagai disiplin. Ini termasuklah pemahaman berkenaan landskap pentadbiran keadilan keluarga di Singapura; cara untuk mengaplikasikan undang-undang dan prinsip Syariah pada pelbagai senario yang melibatkan suami isteri dalam pertikaian; dan bagaimana untuk mendamaikan konflik antara suami isteri secara peka dan berkesan," kata Encik Masagos dalam ucapannya.

Hakam merupakan asatizah yang dilantik Mahkamah Syariah di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) 1966 untuk menyelesaikan pertikaian perkahwinan antara pihak yang mahu bercerai.

Dalam pada itu, Encik Masagos turut memuji usaha asatizah, termasuk para hakam di Mahkamah Syariah dalam membantu dan menyokong institusi keluarga Islam di Singapura, terutama sekali dalam sektor penyelesaian pertikaian keluarga.

Menurutnya, ia mencerminkan sikap kewarganegaraan asatizah di Singapura.

HAKAM MAINKAN PERANAN AMAT PENTING

Dalam melakarkan rangka kerja H.I.K.M.AH itu atau Hakam's Ideals: Knowledge, Methodology, Application, Heart, Mahkamah Syariah telah mengambil kira pendapat dan maklum balas para hakam.

Presiden Kanan Mahkamah Syariah, Cik Guy Ghazali menekankan peranan penting yang dimainkan para hakam dalam proses perceraian di Mahkamah Syariah termasuk memastikan kebajikan anak tidak terjejas dan dapat terus terpelihara.

Cik Guy berkata: "Hakam akan berusaha untuk mendamaikan kedua-dua belah pihak. Tujuan utama adalah supaya suami isteri dapat berbaik semula. Namun begitu, sekiranya mereka tidak dapat disatukan lagi dan perpisahan adalah jalan yang terbaik, hakam akan menyelesaikan pertelingkahan mereka dengan cara yang aman.

"Dengan bantuan hakam, walaupun suami dan isteri berpisah, ia dilakukan secara ihsan seperti yang dianjurkan dalam Islam."

Sebagai sebahagian daripada rangka kerja itu, penilaian turut akan dijalankan menyusuli modul-modul latihan serta sesi hakam sebenar bagi memastikan semua sesi dilaksanakan secara konsisten.

HAKAM BARU JALANI LATIHAN MULAI APRIL 2023

Panel hakam baru yang dipilih akan menjalani latihan di bawah rangka kerja H.I.K.M.A.H mulai April 2023.

Sesi latihan itu akan diadakan selama dua hari dan dijalankan dalam pelbagai format termasuk sesi main peranan.

Mengulas rangka kerja latihan dan penilaian baru itu, Ustaz Mohammad Khalid yang sudah berkhidmat sebagai hakam selama tujuh tahun berkata: "Rangkaian H.I.K.M.A.H dapat memberi nilai tambah bagi para hakam pada masa ini.Para hakam yang sudah berpengalaman mampu memberikan sokongan kepada para hakam baru dari beberapa sudut.

"Ini dilihat di samping daripada hanya menyelesaikan masalah, kita lihat daripada sudut emosi dan psikologi pasangan itu dalam menangani isu-isu yang ada," kata beliau kepada BERITAmediacorp.

Hakam yang menamatkan latihan akan dianugerahkan mata Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

Selain sesi latihan itu, satu buku rujukan elektronik baru akan ditawarkan kepada hakam, sebagai sumber rujukan berguna.

Buku rujukan elektronik itu akan mengandungi senarai semakan tata laku bagi membimbing hakam memahami lebih baik tentang kes yang pernah berlaku dan langkah-langkah terperinci dalam menangani situasi yang rumit.
Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan