Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Syariah kumpul maklum balas bagi portal hulur sokongan kepada pasangan sebelum bercerai

Mahkamah Syariah akan mengumpul maklum balas masyarakat bagi sumber bahan sokongan online untuk pasangan Melayu/Islam yang sedang mempertimbangkan untuk bercerai, dedah Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim pada Jumaat (25 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Syariah kumpul maklum balas bagi portal hulur sokongan kepada pasangan sebelum bercerai

Mahkamah Syariah. (Gambar: Petikan dari laman Mahkamah Syariah)

SINGAPURA: Mahkamah Syariah akan mengumpul maklum balas masyarakat bagi sumber bahan sokongan online untuk pasangan Melayu/Islam yang sedang mempertimbangkan untuk bercerai, dedah Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim pada Jumaat (25 Sep).

Menulis di laman Facebooknya, Menteri Negara Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) merangkap Kementerian Pembangunan Negara (MND) itu berkata sesi mengumpul maklum balas awam itu bakal melibatkan pihak-pihak berkepentingan utama Mahkamah Syariah termasuk pasangan, golongan asatizah, peguam dan agensi-agensi.

Menurut beliau, ini menyusuli pengumuman Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk mengumpul maklum balas warga Singapura bagi Portal Sokongan Pra-Perceraian (PDSP).

Menyediakan sokongan lebih baik bagi keluarga adalah kunci utama Pemerintah, kata Dr Faishal.

"Sumber online ini membantu pasangan yang sedang mempertimbangkan untuk bercerai, dengan kandungan berkaitan dengan cara menyelamatkan perkahwinan atau membantu memastikan kesudahan selepas perceraian yang lebih baik," kata beliau.

Kandungan tersebut turut merangkumi sokongan bagi kanak-kanak yang terjejas akibat perceraian.

"Mahkamah Syariah (SYC), juga akan mengadakan siri pendampingan masyarakat untuk menawarkan kandungan serupa di laman SYC, agar dapat membantu dengan lebih baik pasangan Melayu/Islam yang sedang mempertimbangkan untuk bercerai," tambah Dr Faishal.

Menurut perangkaan SingStat yang dikeluarkan pada Julai, jumlah perceraian di Singapura pada 2019 meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Keseluruhannya 7,623 perkahwinan berakhir dengan perceraian atau pembatalan tahun lalu, iaitu satu kenaikan 3.8 peratus berbanding 7,344 perkahwinan pada 2018.

Pada Jumaat, Dr Faishal menekankan bahawa sebuah keluarga yang utuh adalah asas masyarakat, lantas pentingnya untuk membantu pasangan yang mengharungi cabaran melayari bahtera perkahwinan.

"Kita perlu menyokong keluarga yang sedang melalui masa-masa mencabar. Kepada pasangan sedemikian, pesanan kami adalah mudah: Kami sedia membantu," kata Dr Faishal.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan