Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah SG arah Credit Suisse Trust bayar mantan PM Georgia AS$926 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah SG arah Credit Suisse Trust bayar mantan PM Georgia AS$926 juta

Mantan Perdana Menteri Georgia Bidzina Ivanishvili. (Gambar: Vano Shlamov/AFP)

SINGAPURA: Mahkamah Komersil Antarabangsa Singapura pada Jumaat (26 Mei) mengarahkan Credit Suisse Trust untuk membayar pampasan sebanyak AS$926 juta (S$1.25 bilion) kepada hartawan dan mantan Perdana Menteri Georgia, Bidzina Ivanishvili, dan keluarganya. 

Mahkamah mendapati seorang penipu yang bekerja di bank tersebut menggelapkan berjuta-juta dolar daripada bank amanah itu selama sembilan tahun. Pihak defendan juga gagal dalam tanggungjawabnya untuk melindungi aset Encik Ivanishvili. 

Kes itu dibicarakan selama beberapa hari pada September 2022 dan Februari 2023, melibatkan peguam-peguam terkemuka, termasuk Peguam Kanan Cavinder Bull dan Cik Woo Shu Yan dari firma Drew dan Napier untuk pihak plaintif. 

Peguam dari syarikat guaman Allen & Gledhill, Cik Han Rebecca dan Encik Justin William Jeremiah, mewakili Credit Suisse Trust,  anak syarikat  Credit Suisse Trust AG, yang merupakan anak syarikat kumpulan Credit Suisse.

Credit Suisse Trust, didaftarkan di Singapura. 

Encik Ivanishvili, bersama isteri dan tiga anak mereka mengemukakan saman terhadap Credit Suisse, menuntut pampasan ganti rugi sekitar AS$1.2 bilion (S$1.6 bilion). Mereka merupakan penerima amanah syarikat Mandalay Trust. 

Encik Ivanishvili menjalin hubungan dengan Credit Suisse Trust di Singapura sejak 2004, apabila seorang pegawai cabang perbankan pelaburan swasta Kumpulan Credit Suisse menawarkan khidmat pengurusan kekayaan kepadanya.

Bank tersebut serta Credit Suisse Trust menasihatkan Encik Ivanishvili supaya menggunakan satu struktur pelaburan, dan beliau memasukkan lebih AS$1.1 bilion dalam bentuk amanah di Mandalay Trust sebagai sebahagian perancangan warisan dan pegangan aset.

Bagaimanapun, orang yang dilantik sebagai pengurus perhubungan amanah itu, Patrice Lescaudron, terbukti seorang penipu dan selama sembilan tahun, dia menyalahgunakan berjuta-juta dolar daripada amanah itu.

Tindakannya   hanya berjaya disekat pada 2015, dan dia kemudiannya ditangkap dan dipenjarakan.

Lescaudron dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh sebuah mahkamah di Geneva pada 2018. Menurut Financial Times, dia membunuh diri pada 2020 selepas mendapat pembebasan awal.

Dalam penghakimannya setebal 257 muka surat, Hakim Mahkamah Antarabangsa Patricia Bergin berkata defendan  mengakui ia melanggar tanggungjawabnyakepada plaintif untuk melindungi aset amanah sehingga 31 Dis 2008.

Beliau mengarahkan defendan membayar pampasan kepada plaintif berjumlah AS$926 juta. 

Daripada jumlah ini, defendan telah membayar plaintif kira-kira AS$79.4 juta.

Sumber : CNA/NY/SU/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan