Mahkamah Rayuan tunda hukuman mati pengedar dadah warga M'sia; tegur peguam bela atas permohonan saat akhir
Hukuman mati terhadap pengedar dadah warga Malaysia ditunda setelah para peguam bela mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada Selasa (1 Mac).

Mahkamah Tinggi di Singapura pada 9 Nov 2021. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)
SINGAPURA: Hukuman mati terhadap pengedar dadah warga Malaysia ditunda setelah para peguam bela mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Rayuan pada Selasa (1 Mac).
Nagaenthran K Dharmalingam, 33 tahun, meringkuk dalam penjara selama lebih sedekad setelah didapati mengimport 42.72 gram dadah heroin ke Singapura.
Mahkamah Agung sebelum ini menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut pada saat-saat akhir pada November tahun lalu setelah dia diuji positif COVID-19.
Pada Selasa, lima hakim - termasuk Hakim Besar Sundaresh Menon - berkata mereka akan mengumumkan keputusan mereka mengenai rayuan itu "tidak lama lagi" tetapi tidak pula menetapkan tarikhnya.
Nagaenthran hadir di mahkamah bersama peguam belanya yang baru, Cik Violet Netto dan peguamnya sebelum ini, iaitu Encik M Ravi yang sedang cuti sakit dan tidak boleh mengamalkan undang-undang.
Perbicaraan itu berlangsung selama sekitar sejam dan berkisar tentang usul jenayah Nagaenthran diperiksa oleh sebuah panel psikiatri bebas serta rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang enggan memberikan kebenaran kepada Nagaenthran untuk menjalani semakan kehakiman.
Pada peringkat awal perbicaraan, Hakim Besar Sundaresh Menon menegur Cik Netto kerana lewat 15 minit dan menyifatkan kelengahannya untuk memfailkan laporan perubatan terkini pihak defendan sebagai sesuatu yang "sinis".
Cik Netto berkata pihaknya menerima laporan itu, yang disiapkan oleh ahli psikiatri Danny Sullivan dari Australia pada Ahad (27 Feb).
Namun para hakim hanya menerima salinan laporan itu pada pukul 10.08 pagi tadi ketika perbicaraan hendak dimulakan.
Beliau meminta maaf kepada mahkamah, sambil berkata beliau berdepan "masalah perubatan" dan "isu-isu tertentu yang beliau bertanggungjawab secara peribadi".
Hakim Besar Menon berkata: "Ini nampaknya satu penyalahgunaan proses. Ia kelihatan seolah-olah dirancang untuk melengahkan huraian perkara ini.. Sebagai pegawai mahkamah, ia menjadi tugas anda untuk membantu menyelesaikan perkara ini dengan segera. Anda mempunyai sebarang penjelasan?"
Cik Netto berkata beliau tidak dapat menjelaskan mengapa beliau lewat menyerahkan laporan perubatan itu sebelum meminta maaf sekali lagi.
Mahkamah kemudian mendengar hujahan Cik Netto, yang mengusulkan supaya Nagaenthran diberi kebenaran untuk menjalani "penilaian psikiatri bebas dengan segera dan ujian neurokognitif sepenuhnya bagi menilai keadaannya menjalani hukuman tersebut."
Beliau juga meminta masa yang cukup untuk mencari pakar psikiatri bebas yang sanggup melaksanakan penilaian itu.
Beliau kemudian memohon hasil penilaian psikiatri dan perubatan Nagaenthran, yang dijalankan oleh Perkhidmatan Penjara Singapura supaya diserahkan secara sulit kepada Nagaenthran dan keluarganya.
Cik Netto dan Encik Ravi menegaskan bahawa Nagaenthran kurang daya intelek dan dia tidak seharusnya dijatuhi hukuman mati sejajar dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.
Namun, Hakim Besar Menon menekankan sekali lagi bahawa Singapura mengamalkan dua bidang kuasa - iaitu, perjanjian antarabangsa tidak mempunyai bidang kuasa terhadap undang-undang dalam negeri melainkan pengesahan berkuat kuasa untuk meluluskannya - dan undang-undang Singapura memperuntukkan hukuman mati bagi situasi ini.
Hakim Besar menarik perhatian bahawa ketiga-tiga laporan perubatan daripada pakar psikiatri, yang dijadikan sebagai sandaran pihak peguam bela, adalah berdasarkan "pendapat tidak wajar" oleh Encik Ravi dan saudara lelaki Nagaenthran.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Wong Woon Kwong kemudian berhujah bahawa perbicaraan pada Selasa merupakan "sambungan kepada percubaan yang sangat sinis untuk menyalahgunakan proses mahkamah", dengan "pelbagai permohonan saat akhir dibuat" dari pihak pembelaan untuk menyokong tuntutan mereka bahawa keadaan mental Nagaenthran semakin memburuk sehinggakan dia tidak sesuai untuk menjalani hukuman mati.
Menjelang akhir perbicaraan, Hakim Besar Menon bertanya kepada DPP Wong tentang pendirian pihak pendakwa mengenai seorang banduan di mana keupayaan mentalnya semakin memburuk sebelum menjalani hukuman mati namun didapati bersalah ketika melakukan kesalahan.
DPP Wong berkata bahawa banduan sedemikian harus memohon pengampunan daripada Presiden dan tidak melalui proses undang-undang.
Beliau menarik perhatian bahawa undang-undang memperuntukkan hukuman sebat digantikan dengan hukuman penjara bagi para banduan yang didapati tidak sesuai untuk disebat, namun tiada peraturan sedemikian bagi kes-kes hukuman mati.
Petisyen kepada Presiden Halimah Yacob untuk memohon pengampunan bagi pihak Nagaenthran sudahpun ditolak.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.