Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Rayuan tolak rayuan terakhir pengedar dadah warga M'sia terhadap hukuman mati

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan tolak rayuan terakhir pengedar dadah warga M'sia terhadap hukuman mati

Mahkamah Tinggi di Singapura pada 9 Nov 2021. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Pelaksanaan hukuman mati terhadap pengedar dadah yang sudah lebih sedekad terkurung dalam penjara nampaknya akan diteruskan, setelah Mahkamah Rayuan pada Selasa (29 Mac) menolak rayuan terbarunya untuk menggugurkan hukuman tersebut. 

Hakim Besar Sundaresh Menon yang menyampaikan keputusan Mahkamah Agung bagi pihak panel lima hakim, menyifatkan kes Nagaenthran K Dharmalingam sebagai "tidak berasas dan tanpa merit" dan rayuan terakhirnya disifatkan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah secara "terang-terangan". 

Nagaenthran yang berusia 33 tahun dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana membawa masuk 42.72 gram heroin tulen ke Singapura. Warga Malaysia itu diberkas pada April 2009 semasa memasuki Singapura daripada Malaysia melalui Pusat Pemeriksaan Woodlands dengan bungkusan dadah tersebut dililit pada pahanya. 

Mahkamah Agung sebelum ini menunda pelaksanaan hukuman tersebut pada November lalu setelah Nagenthran diuji positif COVID-19. Rayuan-rayuan terdahulu ditolak pada 2011 dan 2017 dan petisyennya kepada Presiden Halimah Yacob untuk memohon pengampunan juga ditolak. 

Pada 1 Mac 2022, Mahkamah Agung mendengar rayuan terkini Nagenthran - dengan usulan dikemukakan untuk Nagenthran diperiksa oleh sebuah panel ahli psikiatri bebas, serta rayuan sivil terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permintaannya bagi semakan kehakiman. 

Peguam belanya berhujah Nagenthran kurang daya intelektual dan dengan itu tidak seharusnya dihukum mengikut undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. 

Nagaenthran dibela oleh Cik Violet Netto, manakala peguam belanya yang lalu, M Ravi, yang kini sedang cuti sakit tidak boleh mengamalkan undang-undang, turut hadir di mahkamah. 

Kes tersebut mendapat liputan media global daripada agensi-agensi berita seperti CNN, The Guardian dan The Washington Post. 

Dalam rayuan terkini, Nagenthran memfailkan rayuan sivil terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi, See Kee Oon, pada November lalu yang menolak semakan kehakiman yang dikemukakan oleh Nagenthran atas dasar kononnya dia mempunyai umur mental yang serupa dengan seseorang yang berusia bawah 18 tahun.

Menurut Hakim Besar, Hakim See "sememangnya betul" dalam keputusannya itu. Ini kerana rayuan yang dikemukakan oleh Encik Ravi adalah berdasarkan afidavit daripada dirinya sendiri yang "menyimpulkan" keadaan mental Nagenthran dan Encik Ravi tidak mempunyai kepakaran perubatan untuk menyokong dakwaannya itu.

Rumusan Encik Ravi itu juga kelihatan berdasarkan hanya satu lawatan selama setengah jam saja dengan Nagenthran pada 2 November lalu, menurut Hakim Besar Menon. 

Sesiapa yang disabitkan kesalahan mengedar dadah melebihi 15 gram heroin tulen di Singapura boleh dikenakan hukuman mati. 

Sumber : Today/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan