Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Rayuan tolak rayuan ibu pengedar dadah M'sia yang akan dihukum mati

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan tolak rayuan ibu pengedar dadah M'sia yang akan dihukum mati

Mahkamah Tinggi di Singapura. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Mahkamah Rayuan pada Selasa (26 Apr) menolak rayuan terakhir pengedar dadah warga Malaysia Nagenthran Dharmalingam, yang dijatuhi hukuman mati sejak lebih sedekad lalu, dan ibunya. 

Sesi perbicaraan, yang berlangsung sehari sebelum hukuman gantung Nagaenthran dijalankan, diadakan setelah usul pendengaran kes jenayah difailkan oleh Nagaenthran dan ibunya Cik Panchalai Supermaniam pada Isnin (25 Apr). 

Dalam usul tersebut, mereka meminta pelaksanaan hukuman itu dilengahkan dan menegaskan bahawa pelaksanaan hukuman gantung itu tidak mengikut perlembagaan kerana Hakim Besar Sundaresh Menon yang mempengerusikan rayuan-rayuan Nagaenthran yang gagal sebelum ini, juga merupakan Peguam Negara semasa Nagaenthran disabit kesalahan. 

Panel tiga hakim, Hakim Andrew Phang, Judith Prakash dan Belinda Ang mendengar usul jenayah itu pada Selasa (26 Apr). 

Hakim Phang yang menyampaikan keputusan bagi pihak panel tersebut berkata bahawa Mahkamah Rayuan mendapati permohonan itu "tiada sebab musabab yang munasabah". 

Hakim Phang juga mengatakan bahawa permohonan itu seperti satu "percubaan yang terhitung" untuk menghina proses mahkamah yang sudah memuktamadkan keputusan itu. 

"Tiada mahkamah di dunia ini akan membenarkan sesiapa pun melengahkan satu-satu perkara selama-lamanya dengan memfailkan permohonan sedemikian," tegas Hakim Phang. 

"Akan tiba masanya apabila keputusan mahkamah adalah keputusan yang paling muktamad." 

Kes Nagaenthran itu menarik perhatian orang ramai dari seluruh dunia. Tempat duduk awam di mahkamah penuh dan beberapa anggota media antarabangsa juga hadir. 

IBU NAGAENTHRAN BERUCAP DI MAHKAMAH 

Sebelum itu, ibu Nagaenthran Cik Panchalai berucap di mahkamah menerusi seorang jurubahasa Tamil. Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau tiba di Singapura dari Malaysia minggu lalu. 

Cik Panchalai hanya berucap untuk seketika dan memberitahu mahkamah: "Kami ingin Nagaenthran hidup, Yang Arif." Cik Panchalai juga berkata keluarganya "amat terdesak" dan permohonan itu adalah supaya mendapat lebih masa untuk mencari peguam bela. 

Nagaenthran dijatuhi hukuman mati pada 2010 kerana membawa masuk 42.72 gram heroin ke Singapura pada 2009 dalam bungkusan yang dililit pada pahanya.  

Sebelum ini, Nagaenthran gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 2011 dan di Mahkamah Rayuan pada 2019 serta petisyen kepada Presiden untuk memohon pengampunan. 

Pada hujung Mac, Mahkamah Rayuan masih menolak permohonannya untuk memulakan prosiding semakan kehakimanan atas dasar bahawa Nagaenthran dipercayai mempunyai keupayaan mental serupa dengan seseorang di bawah usia 18 tahun.

Hakim Besar Menon menyifatkan rayuan tersebut sebagai "satu penghinaan terang-terangan proses mahkamah", yang bertujuan untuk "melengahkan pelaksanaan hukuman tanpa sebab". 

RESPONS PENDAKWA

Timbalan Pendakwa Raya Wong Woon Kwong berhujah bahawa Cik Panchalai tidak berhak untuk mengusulkan permohonan tersebut dan ia hanya boleh dilakukan oleh Nagaenthran sendiri. 

Encik Wong berkata usul pendengaran kes jenayah itu "tidak berasas" dan bahawa Nagaenthran sebelum ini tidak membantah pelibatan Hakim Besar Menon, meskipun mengetahu tugasnya sebagai Peguam Negara bertindih dengan prosiding jenayah Nagaenthran. 

"Ia tidak jujur untuk Nagaenthran menimbulkan masalah dengan pelibatan Hakim Besar dalam prosiding undang-undang, namun dengan sengaja melupakan bahawa dia sudah mengesahkan, melalui peguam bela dan atas nasihat guaman, bahawa beliau tidak membangkang pelibatan Hakim Besar Menon," tegas Encik Wong. 

Pendakwa tersebut menambah: "Pada bila-bila masa, Hakim Besar Menon tidak terlibat dalam sebarang keputusan berhubung kait dakwaan Nagaenthran." 

Encik Wong juga berhujah bahawa permohonan yang beliau anggap tidak munasabah, adalah percubaan terkini untuk "menghina proses mahkamah". 

Beliau menegaskan pelibatan Hakim Besar Menon tidak dikemukakan lebih awal oleh peguam-peguam Nagaenthran sebelum ini, walaupun salah seorang daripada mereka, Encik M Ravi, pernah mempertimbangkan isu ini. 

Permohonan ini seperti "sengaja tidak dinyatakan terlebih dahulu" bagi prosiding di peringkat ini, ujar Encik Wong. 

Setelah pengadilan dibentangkan, Nagaenthran meminta untuk meluangkan masa bersama keluarganya, khusunya meminta kebenaran untuk "memegang tangan mereka". 

Cik Panchalai memberitahu mahkamah bahawa keluarga tersebut diberikan tiga jam bersama Nagaenthran di penjara sebelum hukuman dijalankan, jika bukan disebabkan perbicaraan tersebut. 

Panel hakim meluluskan permintaan Nagaenthran untuk memegang tangan anggota keluarganya di dewan mahkamah dan memberikan keluarga itu dua jam bersama di bangunan Mahkamah Tinggi selepas itu. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan