Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Rayuan tolak permohonan pengedar ganja dihukum mati

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan tolak permohonan pengedar ganja dihukum mati

(Gambar: Perkhidmatan Penjara Singapura)

SINGAPURA: Mahkamah Rayuan menolak permohonan seorang pengedar ganja untuk menyemak semula hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya.

Dalam penghakiman yang dikeluarkan pada hari Selasa (16 Mei), Hakim Tay Yong Kwang berkata permohonan itu "jelas satu percubaan yang tidak dibenarkan untuk membuka semula dan menghujahkan semula rayuan" Muhammad Faizal Mohd Shariff, 36 tahun, yang telahpun cuba berbuat demikian.

Hakim Tay berkata tiada bukti baru yang akan memenuhi keperluan permohonan tersebut.

Faizal didapati bersalah pada Januari 2019 oleh Hakim Chan Seng Onn atas pertuduhan memiliki ganja untuk tujuan mengedarkannya.

Dia diberkas pada Februari 2016 dan didapati memiliki 3.5 kilogram produk yang mengandungi 1.6 kilogram ganja, yang bertujuan untuk diedarkan.

Hakim perbicaraan itu mendapati Faizal memiliki dan mengetahui tentang keenam-enam bungkusan ganja tersebut.

Dia mengakui dalam satu kenyataan bahawa ganja itu bertujuan untuk dijual dan menguruskan dadah itu dengan cara yang konsisten dengan seseorang yang berniat untuk mengedarkannya.

Faizal akan menimbang salah satu bungkusan dan membahagi-bahagikannya kepada bahagian yang lebih kecil sebelum membalut bahagian tersebut.

Faizal dijatuhi hukuman mati dan dia mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada Ogos 2019, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Faizal.

Pada 10 Mei tahun ini, Perkhidmatan Penjara Singapura memaklumkan keluarga Faizal bahawa hukuman mati terhadap Faizal akan dijalankan pada 17 Mei.

Faizal mengemukakan permohonan baru pada 11 Mei,memohon semakan semula kesnya dan berharap agar hukuman itu akan diringankan kepada hukuman penjara seumur hidup atau pengurangan pertuduhan yang tidak membawa kepada hukuman mati.

Peguamnya berhujah bahawa terdapat perubahan pada undang-undang dan bukti tambahan telah dikemukakan.

Pihak pendakwa memfailkan hujahan pada 15 Mei yang menegaskan bahawa Faizal gagal mengemukakan bahan yang mencukupi.

Hakim Tay menolak permohonan itu tanpa menetapkannya untuk dibicarakan sekali lagi.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan