Mahkamah Rayuan tolak cabaran terhadap Seksyen 377A; seks sesama lelaki kekal jenayah
Mahkamah Rayuan pada Isnin (28 Feb) menegakkan keputusan mahkamah rendah untuk menolak tiga cabaran terhadap Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang menjadikannya satu jenayah di sisi undang-undang untuk mengadakan hubungan seks sesama lelaki.

Acara Pink Dot pada 2019. (Gambar: Cindy Co)
SINGAPURA: Mahkamah Rayuan pada Isnin (28 Feb) menegakkan keputusan mahkamah rendah untuk menolak tiga cabaran terhadap Seksyen 377A Kanun Keseksaan yang menjadikannya satu jenayah di sisi undang-undang untuk mengadakan hubungan seks sesama lelaki.
Cabaran itu dikemukakan oleh pengacara lagu (DJ) Johnson Ong, pengamal perubatan swasta yang sudah bersara, Roy Tan Seng Kee dan Bryan Choong Chee iaitu bekas pengarah eksekutif Oogachaga - iaitu sebuah pertubuhan LGBT tidak meraih untung.
Hakim Mahkamah Tinggi See Kee Oon menolak cabaran mereka pada Mac 2020 dan ketiga-tiga lelaki itu tampil ke Mahkamah Agung untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Menurut Seksyen 377A Kanun Jenayah, mana-mana lelaki yang melakukan sebarang tindakan tidak senonoh bersama lelaki lain di tempat awam mahupun di tempat tertutup boleh dipenjara sehingga dua tahun.
Ini dilanjutkan kepada mana-mana lelaki yang bersubahat dalam perbuatan seumpama itu atau yang mendapatkan mahupun cuba mendapatkan perbuatan sedemikian.
Dalam penghakiman bertulis setebal 152 muka surat yang disampaikan oleh Ketua Hakim Hakim Besar Sundaresh Menon, bagi pihak sebuah panel lima hakim, Mahkamah Rayuan menekankan bahawa rayuan tersebut "bukan tentang sama ada Seksyen 377A patut dikekalkan atau dimansuhkan" kerana ini "adalah perkara di luar bidang kuasa kami".
"Ia juga bukan tentang nilai moral individu homoseksual," kata Hakim Besar.
Beliau menukil kata-kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong bahawa individu homoseksual adalah "sebahagian daripada masyarakat kita".
Rayuan itu juga "bukan mengenai sifat asas orientasi seksual (sama ada tidak berubah atau tidak)", ini adalah "persoalan di luar undang-undang yang jauh di luar bidang kuasa mahkamah", kata beliau.
Sebaliknya, rayuan itu mengenai sama ada Seksyen 377A tidak konsisten dengan Perlembagaan. Sekalipun demikian, ini adalah satu "jawapan yang nampak sahaja mudah" yang "memberi gambaran palsu tentang kerumitan sebenar isu-isu yang kita hadapi", kata Hakim Besar.
Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa keseluruhan Seksyen 377A "tidak boleh dikuatkuasakan" melainkan dan sehingga Peguam Negara pada hari berkenaan menyediakan notis jelas bahawa beliau, dalam kapasitinya selaku pendakwa raya, berhasrat menegaskan semula haknya untuk menguatkuasakan undang-undang tersebut dengan cara pendakwaan dan tidak akan lagi mematuhi perwakilan yang dibuat oleh AG ketika itu, pada 2018, serta dasar pendakwaan yang dikenakan terhadap tingkah laku tertentu.
Lantaran itu, Hakim Besar Menon berkata adalah "tidak perlu" bagi Mahkamah Rayuan untuk menangani persoalan perlembagaan yang dibangkitkan oleh mereka yang mengemukakan rayuan tersebut.
"Mereka tidak berdepan sebarang ancaman pendakwaan yang sebenar serta yang boleh dipercayai di bawah Seksyen 377A pada ketika ini dan oleh itu, tidak berhak untuk meneruskan cabaran perlembagaan mereka terhadap peruntukan itu," kata Ketua Hakim Negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.