Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Rayuan minta kuasa untuk lindungi mangsa jenayah yang lemah

Mahkamah Rayuan membuat permohonan kepada Parlimen agar mempertimbangkan memberi lebih kuasa kepada para hakim untuk menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas jenayah terhadap golongan lemah, terutama sekali kanak-kanak dan orang muda.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Rayuan minta kuasa untuk lindungi mangsa jenayah yang lemah

Gambar fail Mahkamah Tinggi.

Diterbitkan : 30 Nov 2017 11:50AM Dikemas Kini : 30 Nov 2017 11:53AM

SINGAPURA: Mahkamah Rayuan membuat permohonan kepada Parlimen agar mempertimbangkan memberi lebih kuasa kepada para hakim untuk menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas jenayah terhadap golongan lemah, terutama sekali kanak-kanak dan orang muda.

Mahkamah meminta agar hakim dibenarkan budi bicara untuk menaikkan hukuman yang dibenarkan ke atas beberapa kesalahan tertentu iaitu satu setengah kali lebih berat dari hukuman maksimum. Dalam kenyataannya, ia menyebut kes seorang ibu yang mendera anaknya sehingga mati pada Ogos 2014.

Tempoh hukuman penjara bagi wanita itu dinaikkan dari lapan tahun kepada 14 setengah tahun setelah pihak pendakwa membuat rayuan terhadap hukuman awalnya.

Wanita berkenaan Noraidah Mohd Yussof, 35 tahun mendera anaknya Airyl, 4 tahun sehingga dia mati.

Noraidah menghadapi enam tuduhan - dua tuduhan membabitkan dia secara sengaja menyebabkan kecederaan teruk pada Airyl manakala empat lagi tuduhan di bawah Akta Kanak-kanak dan Orang Muda. Pihak pendakwa meneruskan dengan empat tuduhan, dan dua lagi diambil dalam pertimbangan.

Panel tiga hakim di Mahkamah Rayuan itu berkata jika diberi lebih kuasa, mereka akan menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas Noraidah kerana menyebabkan kecederaan yang teruk.

Memberikan alasan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Hakim Besar Sundaresh Menon berkata: "Kalau sebelum ini, ada peuntukan yang memberi mahkamah kuasa untuk menjatuhkan hukuman dari batas yang dikenakan, kami tidak teragak-agak untuk menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas Noraidah bagi tuduhan pertamanya (berkaitan secara sengaja menyebabkan kecederaan teruk) iaitu sebanyak satu setengah kali lebih berat.

Hukuman maksimum kerana menyebabkan kecederaan teruk ialah 10 tahun penjara dan didenda atau rotan. Wanita tidak dibenarkan dirotan di bawah undang-undang.

"Pencegahan adalah pertimbangan utama dalam kesalahan terhadap mangsa-mangsa muda memandangkan secara fizikal ada banyak perbezaan antara mangsa dan pelaku dalam kes-kes seperti ini," kata Encik CJ Menon.

"Mahkamah juga memutuskan ibu bapa yang mengkhianati kepercayaan dan kuasa dengan anak, berada pada tahap kesalahan paling tinggi."

Merujuk kepada rangka kerja hukuman, mahkamah menetapkan bahawa pertama, petunjuk awal bagi hukuman harus ditetapkan berdasarkan tahap kecederaan mangsa.

Kedua, ia harus diselaraskan kepada penilaian terhadap kesalahan pesalah dan faktor-faktor relevan yang lain.

Encik CJ Menon menyatakan bahawa jika kesalahan membawa kepada kematian, petunjuk awal bagi hukuman seharusnya hukuman penjara selama sekitar lapan tahun.

Apabila kecederaan yang dilakukan menyebabkan pelbagai keretakan tulang seperti yang dihadapi Airyl, tempoh penjara bagi pesalah seharusnya bermula sekitar tiga tahun enam bulan, tambahnya.

Faktor-faktor lain yang diambil dalam pertimbangan termasuk cara dan tempoh serangan dilakukan dan sama ada pihak berkuasa pernah campur tangan.

KES AIRYL DAN NORAIDAH

Penderaan terhadap Airyl bermula pada Mac 2012 apabila Noraidah mengajarnya mengenali huruf. Ketika itu, Airyl berusia dua tahun lima bulan. Apabila Airyl tidak mengikut arahannya, Noraidah menolaknya sebanyak dua kali. Kemudian, semasa Airyl menanyakan jika dia boleh melukis, Noraidah memberinya beberapa helai kertas. Tetapi, dia menconteng di sofa. Ini membuat Noraidah marah, lalu memintal dan menarik tangannya.

Noraidah kemudian membawa Airyl ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) di mana dia didapati mempunyai beberapa keretakan tulang di bahagian siku, betis dan tulang rusuk serta lebam di seluruh badannya.

Pada April 2012, Airyl dirujuk kepada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), dan diletakaan di bawah penjagaan keluarga titipan. Pada Julai 2012, pak cik kepada Noraidah dan isterinya mengambil Airyl untuk tinggal bersama mereka. Empat bulan kemudian, Noraidah dan anak perempuannya pindah masuk ke rumah pak cik berkenaan. Semasa tempoh ini, Perkhidmatan Perlindungan Kanak-kanak MSF tidak menemukan sebarang laporan penganiayaan dan menutup kes tersebut pada Februari 2014.

Noraidah bersama dua anaknya kemudian berpindah ke flat di Eunos di mana penderaan berlaku sekali lagi. Noraidah pernah menolak Airyl sehingga menyebabkannya jatuh ke belakang dan menghentak bahagian kepalanya di meja konsol tv. Ini berlaku kerana dia marah apabila Airyl tidak dapat kenal pasti beberapa nombor yang disuruhnya.

Pada hari yang sama, Noraidah menendang Airyl di bahagian pinggang kerana Airyl membuang air besar di lantai. Dia kemudian berdiri di atas perut anak kecil itu.

Tindakan terakhirnya berlaku pada Ogos 2014 apabila dia mencekik Airyl. Apabila menyedari anak kecil itu tercungap-cungap, Noraidah melepaskan anak kecil itu yang kemudian jatuh ke lantai. Pada saat itu, Airyl tidak lagi bergerak.

Airyl meninggal dunia kerana cedera di kepala.

Hasil bedah siasat menunjukkan penderaan berpanjangan sehingga ada keretakkan pada tengkorak dan pendarahan pada otak, akibat trauma kekerasan.

Beberapa "kecederaan lama" juga ditemukan pada tubuh anak lelaki itu, termasuk lebih daripada 30 kesan luka pada kepala, leher, dada dan bahagian belakang budak itu.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan