Mahkamah Rayuan izinkan Li Shengwu kemukakan rayuan
Mahkamah Rayuan hari ini (3 Sep) memberi lampu hijau kepada Encik Li Shengwu untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang dikeluarkan sebelum ini, yang membenarkan AGC menghantar dokumen mahkamah kepadanya di luar Singapura, berkaitan kes penghinaan terhadap mahkamah.
Li Shengwu di Cambridge, Massachusetts pada 12 Ogos 2017. (Gambar: Reuters/Tim McLaughlin)
SINGAPURA: Mahkamah Rayuan hari ini (3 Sep) memberi lampu hijau kepada Encik Li Shengwu untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang dikeluarkan sebelum ini, yang membenarkan Pejabat Peguam Negara (AGC) menghantar dokumen mahkamah kepadanya di luar Singapura, berkaitan kes penghinaan terhadap mahkamah.
Anak saudara Perdana Menteri Lee Hsien Loong itu didakwa AGC kerana dipercayai mengatakan bahawa Singapura mempunyai "sistem mahkamah yang mudah dipengaruhi", dan Pemerintah Singapura "sangat cenderung membuat tuntutan mahkamah".
Mahkamah Tinggi pada Mac lalu menolak permohonan Encik Li untuk mengetepikan perintah mahkamah sekaligus membolehkan AGC untuk terus mengeluarkan perintah mahkamah terhadapnya.
Encik Li, yang menetap di Amerika Syarikat, menyerahkan permohonan untuk membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dan ia diluluskan hari ini (3 Sep) oleh Hakim Besar Sundaresh Menon dan Hakim Judith Prakash serta Hakim Steven Chong.
Rayuan itu akan didengar pada tarikh yang akan ditetapkan, namun Hakim Besar Menon mengatakan bahawa ia akan dipercepatkan.
Beliau menambah bahawa pertanyaan-pertanyaan yang akan ditangani semasa rayuan itu termasuk sama ada mahkamah tersebut berhak untuk mendakwa seseorang yang menghina mahkamah, tetapi berada di luar negara ketika prosiding mahkamah dimulakan, dan jika ia mempunyai kuasa, apakah peraturan yang dijadikan sebagai rujukan bagi keputusan itu.
"Jika defendan berada di Singapura, saya tidak rasa ada sebarang masalah kerana ia dalam bidang kuasa," kata Hakim Besar. "Namun, akan timbul masalah jika defendan tidak berada di Singapura."
Peguam bela Encik Li, Abraham Vergis dari Providence Law Asia, mempertikaikan isu ini dengan merujuk kepada satu seksyen Akta Kehakiman Mahkamah Tinggi yang digunakan pihak pendakwa, sambil berkata bahawa bidang kuasa berhubung penghinaan terhadap mahkamah "tidak pernah dinyatakan" dalam seksyen itu.
Hakim Besar Menon mengatakan bahawa Encik Vergis mengemukakan "pertanyaan wajar yang perlu dipertimbangkan".
"Apakah ada bidang kuasa terhadap seseorang (yang melakukan penghinaan terhadap mahkamah dari luar negara)? Jika ya, sejauh mana kuasa mahkamah dalam membuat keputusan," katanya.
Mewakili ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan, Hakim Besar mengatakan: "Kami bertiga berpendapat bahawa ia perlu dipercepatkan. Ia penting supaya ia lebih jelas bagi undang-undang dan juga defendan."
Encik Li, 33 tahun, sebelum ini mengatakan bahawa beliau tidak berhasrat untuk kembali ke Singapura.
Beliau mengongsi satu catatan Facebook pada hujung minggu lalu bagi menyatakan bahawa beliau sudah memulakan pekerjaan baru di Universiti Havard sebagai seorang Penolong Profesor Ekonomi.
LEE HSIEN YANG PERSOAL TINDAKAN AGC TERHADAP ANAKNYA
Komen-komen menghina mahkamah dipercayai dimuat naik ke laman Facebook ketika berlaku perselisihan antara ayahnya Lee Hsien Yang, mak ciknya Lee Wei Ling dengan PM Lee.
Perselisihan itu berkaitan dengan rumah keluarga mereka di 38 Oxley Road, milik ayah mereka, mendiang Lee Kuan Yew.
Beberapa jam sebelum keputusan Mahkamah Rayuan hari ini (3 Sep), Encik Lee Hsien Yang mempersoalkan tindakan AGC terhadap anak lelakinya.
"Kritikan lebih hebat terhadap mahkamah-mahkamah Singapura baru-baru ini diterbitkan dalam media antarabangsa dan dikongsi secara meluas.
"AGC tidak mengambil tindakan terhadap pihak terbabit, tetapi memutuskan untuk mengambil tindakan terhadap Shengwu," tulis Encik Lee menerusi catatan Facebooknya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.