Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Rayuan gugurkan hukuman mati lelaki dituduh edar 1.8kg ganja

Mahkamah Rayuan pada Jumaat (27 Mei) menggugurkan sabitan terhadap seorang lelaki yang dijatuhi hukuman gantung kerana dituduh mengedar lebih 1.8 kilogram ganja. Ini selepas mendapati ia adalah kes tersalah hantar.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Mahkamah Rayuan pada Jumaat (27 Mei) menggugurkan sabitan terhadap seorang lelaki yang dijatuhi hukuman gantung kerana dituduh mengedar lebih 1.8 kilogram ganja. Ini selepas mendapati ia adalah kes tersalah hantar.

Raj Kumar Aiyachami, 40 tahun, didapati bersalah pada 2020 kerana memiliki dadah terkawal Kelas A dengan tujuan mengedarkannya. Kesalahan itu membawa hukuman mati.

Mahkamah Rayuan juga membebaskan seorang lagi lelaki, Ramadass Punnusamy, 41 tahun, yang terlibat dalam kes tersebut.

Ramadass sebelum ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 15 kali sebatan rotan setelah didapati bersalah selaku penghantar dadah.

Kedua-dua lelaki itu diberkas pada 21 September 2015 semasa Ramadass, seorang pemandu lori bagi sebuah syarikat pengangkutan di Johor Bahru, memandu masuk ke Singapura dan menghantar beg plastik merah kepada Raj di Senoko Drive.

Para pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) sedia maklum bahawa penghantaran tersebut akan dilakukan pada hari berkenaan dan menangkap kedua-dua lelaki itu tidak lama kemudian.

Sewaktu perbicaraan, Raj dan Ramadass tidak mempertikaikan bahawa mereka memiliki dadah.

Ketika menyampaikan penghakiman mahkamah, Hakim Besar Sundaresh Menon berkata rayuan oleh kedua-dua lelaki itu tertumpu semata-mata sama ada mereka benar-benar tahu atau sekadar mengandaikan jenis dadah yang ditemui.

Mahkamah memutuskan untuk memihak kepada pembelaan Raj bahawa dia telah memesan tembakau yang disembur kimia, dikenali sebagai "Butterfly", dan sebaliknya ganja telah dihantar kepadanya.

Ia mendapati bahawa hakim perbicaraan tersilap semasa menolak keterangan Mark Kalaivanan Tamilarasan, seorang lelaki yang pertama kali ditemui Raj di penjara antara November 2017 dengan Januari 2018.

Semasa satu perbualan di pekarangan penjara, selepas mendapat tahu mengapa Raj diberkas, Mark memberitahu Raj bahawa dia juga berada di Senoko Loop pada 21 September 2017 untuk mengambil ganja tetapi sebaliknya menerima "Butterfly".

Raj memberitahu Mark untuk memberitahu para peguamnya - Anand George, Ramesh Tiwary dan Sankar Kailasa Thevar Saminathan - tentang perkara itu dan Mark akhirnya mengemukakan bukti di mahkamah.

Mark memberi keterangan bahawa dia ingat urus niaga itu berlaku pada 21 September 2015 kerana hamster peliharaannya mati pada lewat petang hari berkenaan dan dia memasang tatu pada tarikh tersebut.

Hakim perbicaraan menolak keterangan Mark selepas mendapati bahawa terdapat "banyak kesempatan" untuk dia dan Raj "bersubahat dan mereka-reka cerita".

Bagaimanapun, Hakim Besar Menon berkata bahawa tanpa dapatan khusus mengenai sebarang pakatan sulit antara mereka berdua, bukti yang diberikan oleh Mark tidak seharusnya ditolak.

Mahkamah juga menarik perhatian bahawa dengan memberikan buktinya, Mark telahpun melibatkan dirinya dalam satu kesalahan amat serius yang mana dia tidak didakwa atau disiasat.

Mahkamah Rayuan juga tidak bersetuju dengan dapatan hakim perbicaraan bahawa Raj semestinya sudah mengetahui dia memiliki ganja disebabkan oleh bau daripada bungkusan tersebut.

Rayuan oleh Ramadass, diwakili Cik N K Anitha, Encik Eugene Thuraisingam dan Encik Johannes Hadi, mempertikaikan kesahihan keterangan yang diberikannya kepada polis pada hari dia diberkas.

Pendakwaan berhujuah bahawa dalam keterangan-keterangan tersebut, Ramadass mengakui dia sebenarnya tahu tentang jenis dadah itu.

Mahkamah Rayuan mendapati terdapat banyak percanggahan pada kata-kata yang digunakan Ramadass dalam keterangannya serta waktu ia dirakamkan, lantas menjadikannya tidak selamat untuk dijadikan sandaran.

Mahkamah juga menarik perhatian Ramadass secara konsisten berpegang kepada keterangannya bahawa dia percaya dia membawa masuk tembakau yang disembur kimia. Mahkamah turut mendapati dia berjaya menyangkal tanggapan bahawa dia tahu jenis dadah tersebut.

Rayuan-rayaun tersebut didengar oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Besar Menon, Hakim Andrew Phang dan Hakim Belinda Ang.
Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan