Mahkamah: Perjanjian kolektif SBS Transit tidak langgar Akta Pekerjaan
Klausa-klausa dalam beberapa perjanjian kolektif antara pengendali bas, SBS Transit dengan Kesatuan Para Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) tidak melanggar Akta Pekerjaan, menurut Mahkamah Timbang Tara Perusahaan (IAC).
Bas SBS Transit. (Gambar fail: Jeremy Long)
SINGAPURA: Klausa-klausa dalam beberapa perjanjian kolektif antara pengendali bas, SBS Transit dengan Kesatuan Para Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) tidak melanggar Akta Pekerjaan, menurut Mahkamah Timbang Tara Perusahaan (IAC).
Ini menyusuli dakwaan-dakwaan yang dibuat oleh lima pemandu bas di Mahkamah Majistret, yang menyaman SBS Transit kerana tidak membayar gaji sepatutnya kepada mereka kerana bekerja melebihi waktu yang sewajarnya. Mereka menuduh pengendali pengangkutan itu menyuruh mereka bekerja melebihi 44 jam seminggu, sekali gus melanggar Akta Pekerjaan.
SBS Transit mengemukakan permohonan untuk merujukkan pertikaian gaji itu kepada IAC bulan lalu.
IAC menimbang tara pertikaian perindustrian dan mengesahkan perjanjian kolektif antara kesatuan-kesatuan dengan majikan.
Hakim Chan Seng Onn membuat keputusan bahawa SBS Transit tidak melanggar peraturan berhubung hari berehat, gaji kerja lembur dan waktu bekerja maksimum dalam keputusan bertulisnya yang diterbitkan pada Rabu (13 Nov).
Hakim Chan, yang merupakan presiden IAC merujuk kepada sampel kontrak-kontrak pekerjaan kapten bas dan jadual, kiraan gaji serta gaji yang diterima oleh seorang kapten bas baru, yang perlu bekerja 48 jam seminggu. Ini termasuk kerja lembur empat jam.
Kapten-kapten bas melanggar kontrak mereka sekiranya mereka enggan melaksanakan masa kerja lembur selama empat jam itu.
Di bawah Akta Pekerjaan, para pekerja tidak diperlukan bekerja melebihi 44 jam dalam tempoh seminggu. Para majikan juga perlu membayar mereka sekurang-kurangnya 1.5 kali ganda bagi setiap jam pekerjaan sekiranya ia melebihi 44 jam.
Sejak kapten bas diberikan tempoh berehat minimum iaitu selama 45 minit bagi berehat dan makan, pada keseluruhannya mereka hanya bekerja 43.5 jam setiap minggu, menurut Hakim Chan.
Oleh itu, ia tidak melanggar Akta Pekerjaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.