Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Jepun denda diplomat SG 300,000 yen sebab rakam remaja bogel di tempat mandi awam Tokyo

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Jepun denda diplomat SG 300,000 yen sebab rakam remaja bogel di tempat mandi awam Tokyo

Gambar: Singapore Embassy Tokyo/Facebook, iStock)

Diterbitkan : 13 Jun 2024 08:13PM Dikemas Kini : 13 Jun 2024 10:00PM
SINGAPURA: Seorang diplomat Singapura didenda 300,000 yen (S$2,573) pada Khamis (13 Jun) oleh mahkamah di Jepun sebab merakam seorang remaja lelaki dalam keadaan berbogel dalam tempat mandi awam di Tokyo, lapor agensi berita Kyodo.

Lelaki berusia 55 tahun itu, yang dikenal pasti sebagai Sim Siong Cye oleh penyiar rasmi Jepun NHK, didakwa atas tuduhan menceroboh dan melanggar Ordinan Anti-Gangguan Kerajaan Metropolitan Tokyo.

Sebelum ini pada Khamis, Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) memberitahu Mediacorp bahawa diplomat Singapura itu yang disyaki merakam seorang remaja lelaki dalam tempat mandi awam di Tokyo tidak mempunyai kekebalan diplomatik.

Ini kerana tempoh khidmatnya sudah tamat seperti dijadualkan pada pertengahan April lalu.
Lelaki itu merupakan seorang bekas kaunselor di Kedutaan Singapura di Tokyo.

Seorang kaunselor ialah pangkat diplomatik bagi pegawai yang berkhidmat di luar negara, seperti di kedutaan. Menurut Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik, seorang diplomat tidak boleh ditahan.

Media Jepun melaporkan pada Khamis bahawa lelaki itu telahpun kembali ke Jepun untuk disoal siasat oleh polis.

Dia tiba di Jepun pada 9 Jun lalu menyusuli permohonan oleh Jabatan Polis Metropolitan Tokyo yang dibuat menerusi Kementerian Luar Jepun, lapor akhbar Asahi Shimbun itu.

Menurut MFA, pegawai itu "memilih untuk kembali ke Jepun untuk memberikan kerjasama dalam siasatan" atas permintaan pihak berkuasa Jepun.

"Kedutaan Singapura di Tokyo telah berhubung dengan pihak berkuasa Jepun untuk mengendalikan siasatan yang sedang dijalankan. Kami harus menunggu hasil siasatan ini," tambah kementerian tersebut.

Media Jepun melaporkan pada Februari lalu bahawa diplomat tersebut telah menggunakan telefon bimbit bijaknya untuk merakam secara rahsia seorang pelajar berusia 13 tahun di dalam bilik menyalin pakaian di tempat mandi awam. Remaja lelaki itu dalam keadaan berbogel ketika itu.

Polis dihubungi dan kemudian menemui "pelbagai gambar bogel pelanggan lelaki" dalam telefonnya, menurut akhbar Asahi ketika itu. Ia menambah bahawa diplomat itu enggan ke balai polis tetapi memberitahu pegawai bahawa dia telah mengambil gambar sedemikian di tempat mandi awam lain.

MFA sebelum ini menjelaskan bahawa diplomat itu sudah tamat khidmatnya di Tokyo dan kembali ke Singapura pada pertengahan April.

Kementerian itu hanya mengetahui dakwaan tersebut pada 1 Mei selepas ia dihubungi oleh saluran media Jepun. Diplomat itu tidak memaklumkan pihak kementerian tentang insiden itu sehinggalah ditanya mengenainya.

Dia kemudian digantung daripada tugasnya, dengan MFA menekankan pada 2 Mei lalu pihaknya bersedia untuk mengetepikan kekebalan diplomatik untuk memudahkan siasatan jika perlu.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan