Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah, bukan menteri, buat keputusan muktamad di bawah POFMA sama ada kenyataan itu palsu: AGC

Mahkamah yang akhirnya memutuskan sama ada kenyataan itu adalah benar atau palsu ketika mendengar rayuan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), menurut Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Sabtu (9 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah, bukan menteri, buat keputusan muktamad di bawah POFMA sama ada kenyataan itu palsu: AGC

Pejabat Peguam Negara. (Gambar fail)

Diterbitkan : 09 Oct 2021 05:42PM Dikemas Kini : 09 Oct 2021 05:47PM

SINGAPURA: Mahkamah yang akhirnya memutuskan sama ada kenyataan itu adalah benar atau palsu ketika mendengar rayuan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Online (POFMA), menurut Pejabat Peguam Negara (AGC) pada Sabtu (9 Okt).

Ia menekankan demikian dalam mengulas "beberapa laporan di media", yang dikatakannya memberikan tanggapan bahawa Peguam Negara telah berhujah bahawa menteri yang menentukan di bawah POFMA, sama ada kenyataan itu benar atau palsu.

"Ini tidak betul," kata AGC dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

"Kedudukan Peguam Negara secara konsisten ialah mahkamah yang akhirnya menentukan kebenaran atau kepalsuan kenyataan itu," tambahnya.

"Itulah sebabnya ada mekanisme rayuan di bawah POFMA. Mahkamah adalah penentu terakhir, seperti yang telah berulang kali dinyatakan oleh Pemerintah, dan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah perlembagaan."

Dalam satu keputusan penting pada Jumaat, Mahkamah Rayuan membatalkan sebahagian daripada arahan pembetulan yang dikeluarkan oleh Kementerian Tenaga Manusia terhadap Parti Demokratik Singapura (SDP) berhubung kenyataan yang dibuatnya mengenai pengangguran di Singapura.

Namun, mahkamah mengekalkan dua arahan pembetulan lain terhadap SDP, dan juga sebahagian lain daripada arahan pembetulan ketiga.

Hakim Besar Sundaresh Menon dan panel Hakim Rayuan terdiri daripada Andrew Phang, Judith Prakash, Tay Yong Kwang dan Steven Chong juga menetapkan, buat pertama kalinya, rangka kerja lima langkah bagi mahkamah menentukan sama ada untuk membatalkan atau tidak arahan pembetulan di bawah POFMA.

Menurut keputusan mahkamah, hakim besar juga tidak setuju dengan hujah Peguam Negara bahawa kepalsuan tetap satu kepalsuan bahkan sebelum mahkamah memutuskan bahawa ia adalah palsu. Beliau berkata bahawa "tidak dapat dipertahankan" bahawa suatu kenyataan diisytiharkan tidak benar semata-mata kerana menteri telah mengenal pasti kenyataan tersebut sedemikian

"Menteri itu, mungkin, boleh tersilap," kata Hakim Besar Menon. "Kebenaran dan kepalsuan pada akhirnya adalah perkara yang harus ditentukan oleh sebuah mahkamah berdasarkan bukti."

Pada Sabtu, AGC menyatakan bahawa laporan mengenai hujahnya adalah dari petikan dalam keputusan Mahkamah Rayuan dalam konteks yang berbeza.

"Perayu telah berhujah bahawa Bahagian 3 POFMA tidak berperlembagaan kerana (dalam hujah mereka) ia cuba menyekat kebebasan bersuara," kata AGC.

"Peguam Negara menjelaskan sebab hal ini disalah faham. Di samping itu, Peguam Negara juga bergantung pada prinsip bahawa ucapan palsu yang dikenal pasti oleh menteri tidak dapat dilindungi sebagai kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan," tambahnya.

"Dalam konteks ini, Mahkamah Rayuan berpendapat bahawa kenyataan yang telah dikenal pasti oleh menteri sebagai kenyataan fakta yang palsu, tetap menikmati perlindungan perlembagaan setidaknya sehingga hakim menentukannya sebagai kenyataan fakta yang palsu.

"Mahkamah Rayuan juga mengekalkan bahawa penerbitan arahan pembetulan oleh menteri tidak membataskan hak kebebasan bersuara, dan mengikut perlembagaan."

Di bawah POFMA, seseorang yang menerima arahan pembetulan mesti mematuhinya meskipun sebelum sebarang prosiding mahkamah dimulakan untuk mencabarnya.

Mereka yang menerima arahan pembetulan dikehendaki mengisytiharkan bahawa kenyataan yang dimaksudkan itu adalah palsu atau mengandungi kenyataan fakta palsu di platform yang berkaitan.

AGC menyatakan bahawa Peguam Negara akur dan menghormati keputusan Mahkamah Rayuan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan