Skip to main content

Singapura

Mahkamah AS beri Amos Yee masa 'bincang dengan orang tersayang' tentang tawaran pihak pendakwa

Warga Singapura Amos Yee diberikan masa oleh mahkamah Amerika Syarikat untuk berbincang bersama "orang-orang yang disayanginya" tentang satu tawaran oleh pihak pendakwa raya khas. 

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah AS beri Amos Yee masa 'bincang dengan orang tersayang' tentang tawaran pihak pendakwa

(Gambar: Pejabat Sherif Cook County)

Diterbitkan : 13 Nov 2021 12:06PM Dikemas Kini : 13 Nov 2021 12:08PM

SINGAPURA: Warga Singapura Amos Yee diberikan masa oleh mahkamah Amerika Syarikat untuk berbincang bersama "orang-orang yang disayanginya" tentang satu tawaran oleh pihak pendakwa raya khas.

Kes Yee dibicarakan di sebuah mahkamah Chicago pada awal pagi tadi (13 Nov), waktu Singapura. Yee berdepan 18 tuduhan termasuk pengantunan seksual, bercakap secara tidak senonoh dengan budak bawah umur dan memiliki gambar lucah kanak-kanak.

Pembela awam - seorang peguam yang diambil bekerja oleh negara itu dalam perbicaraan jenayah untuk mewakili defendan yang tidak mampu mendapatkan bantuan guaman - memberitahu mahkamah Yee meminta lebih banyak masa untuk "berbincang dengan orang tersayang" tentang tawaran daripada pihak pendakwa raya khas.

Pendakwa raya khas "dengan baik hati bersetuju" untuk membiarkan tawaran itu dibuka selama sebulan, kata peguam bela tersebut, tanpa memperincikan butiran tawaran tersebut.

Menurut Jabatan Keadilan AS, seorang defendan boleh ditawarkan perjanjian rayuan untuk mengelakkan perbicaraan dan "mungkin mengurangkan pendedahannya kepada tempoh hukuman yang lebih panjang".

Hakim bersetuju untuk memberikan lelaki berusia 23 tahun itu masa untuk berbincang tentang perkara tersebut dan dia dijangka kembali menghadap mahkamah pada bulan depan.

Yee diberi perlindungan suaka di Amerika Syarikat lebih empat tahun lalu.

Mahkamah sebelum ini diberitahu Yee ditangkap oleh Marsyal AS pada 14 Oktober tahun lalu di apartmennya di kawasan kejiranan Norwood Park East, Chicago.

Yee dituduh bertukar-tukar gambar lucah dengan seorang budak perempuan berusia 14 tahun melalui WhatsApp. Insiden itu didakwa berlaku pada 2019, antara 1 Februari dengan 30 Jun, dan melibatkan ribuan kiriman mesej.

Mahkamah diberitahu sebelum ini bahawa apabila hubungan mereka berdua menjadi tegang, budak perempuan itu menghubungi sekumpulan individu yang "mahu mendedahkan pedofil".

Yee ditahan reman sejak dia ditangkap dengan ikat jamin AS$1 juta (S$135,300). Jika didapati bersalah, Yee boleh kehilangan status suakanya dan dihantar pulang ke Singapura.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita