Skip to main content

Singapura

Mahkamah batal arahan lindung identiti mahasiswa universiti UK yang intai 11 rakan wanita

Seorang hakim daerah pada Khamis (29 Jul) menarik balik arahan mahkamah yang tidak membenarkan identiti seorang mahasiswa Singapura berusia 23 tahun didedahkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah batal arahan lindung identiti mahasiswa universiti UK yang intai 11 rakan wanita

(Gambar: Unsplash)

Diterbitkan : 29 Jul 2021 11:34PM Dikemas Kini : 29 Jul 2021 11:36PM

SINGAPURA: Seorang hakim daerah pada Khamis (29 Jul) menarik balik arahan mahkamah yang tidak membenarkan identiti seorang mahasiswa Singapura berusia 23 tahun didedahkan. Pelajar di salah satu universiti ulung di Britain itu didakwa mengintai sambil merakam seramai 11 rakan wanitanya.

Namanya bagaimana pun masih tidak boleh didedahkan kerana peguamnya akan mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi dalam minggu mendatang.

Pihak pendakwa memberitahu mahkamah bahawa semua 11 mangsa yang dikenal pasti memberi keizinan mereka agar arahan mahkamah tersebut dibatalkan. Kebanyakan daripada mereka berkata arahan yang bertujuan melindungi mangsa itu tidak akan memenuhi tujuannya, malah sebaliknya membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Arahan mahkamah akan tetap melindungi identiti mangsa, hubungan mereka dengan tertuduh serta nama sekolah di mana mereka menuntut.

Kes tersebut menyaksikan pelbagai kegenjotan, terutama sekali apabila pihak pendakwa dan pembela saling bertikam lidah tentang sama ada tertuduh patut dibenarkan kembali ke United Kingdom untuk melanjutkan pengajiannya. Dia akhirnya dilarang meninggalkan Singapura pada awal tahun lalu.

Pihak pendakwa juga telah memohon untuk menarik balik arahan mahkamah pada masa itu, tetapi tidak semua mangsa menyetujuinya.

Pada Khamis, mahasiswa itu mengaku bersalah ke atas kesalahan-kesalahan yang dilakukan sepanjang tiga tahun sejak dia berusia 18 tahun pada 2015.

Wajah mangsa boleh dilihat dalam rakaman-rakaman video dan semua kecuali satu sudah dikenalpasti.

Lelaki itu melakukan kesalahan pertama sebelum menamatkan pengajian di maktab rendah, dan bertambah berani sepanjang menjalani Perkhidmatan Negara dan di universiti.

Dia mengaku bersalah terhadap tujuh tuduhan menghina kehormatan wanita dan satu tuduhan memiliki video lucah.

Lapan lagi tuduhan serupa akan diambil kira semasa menjatuhkan hukuman pada tarikh lain, sementara empat tuduhan berkaitan seorang wanita lain ditarik balik.

Hakim Daerah Tan Jen Tse meminta laporan untuk menilai kesesuaian tertuduh menjalani probesen. Pihak pendakwa tidak membantah namun menjelaskan ia tidak akan menjejas keputusan untuk menuntut hukuman penjara.

RAKAM VIDEO KERANA RASA TERTEKAN DI SEKOLAH ATAU KERJA

Antara awal 2016 hingga Jun 2019, polis menerima beberapa laporan berkaitan dua video lucah yang diedarkan online.

Setelah mengenalpasti tertuduh sebagai suspek utama pada Jun 2019, polis menyerbu tempat tinggalnya dan merampas tujuh peranti elektronik yang mengandungi sekurang-kurangnya 16 video dan 124 gambar bawah skirt.

Tertuduh akan memadam rakaman-rakaman tersebut dari semasa ke semasa sebelum mendapatkan semula data yang dipadamkan daripada perantinya. Atas sebab itu, penyiasat tidak dapat menemui semua video yang pernah dirakamnya.

Dalam keterangan pertama tertuduh kepada polis, dia mengaku telah merakam video bawah skirt "tidak lebih daripada lima mangsa" pada 2015 dan tidak ingat berapa ramai mangsa yang dirakamnya antara 2016 dan 2018. Dia menganggarkan jumlah video "mungkin sebanyak tiga angka".

Menurutnya dia melakukan kesalahan-kesalahan tersebut apabila berasa tertekan di sekolah atau pekerjaan.

Apabila ditanya tentang rakaman yang ditemui dalam peranti-perantinya, dia mendakwa tidak ingat sama ada memuat turunnya atau merakamnya sendiri. Dia juga berkata tidak mengenali mangsa dan tidak ingat di mana video-video berkenaan dirakam.

APA YANG DILAKUKAN TERTUDUH

Tertuduh pertama kali bertindak pada Disember 2015 apabila beberapa rakannya berkumpul di sebuah bilik hotel yang ditempahnya selepas acara jamuan malam (prom) maktab rendah mereka.

Dia meletakkan sebuah alat rakaman di dalam tandas dan merakam video sepanjang 14 minit ketika rakannya, yang ketika itu berusia 18 tahun sedang mandi.

Beberapa bulan kemudian, remaja perempuan itu membuat laporan polis setelah pengetua sekolah tersebut memberitahunya video itu diedarkan.

Sehingga Ogos tahun lalu, rakaman itu masih boleh ditemui di laman lucah dan telah ditonton sekurang-kurangnya 177,000 kali.

Dalam keterangan yang diberi mangsa tentang kesan terhadapnya, mangsa berkongsi telah menerima mesej daripada rakan-rakan dan orang yang tidak dikenali tentang video berkenaan. Beliau berasa malu, dikhianati dan tidak boleh mempercayai rakan-rakan lelaki, dan telah menolak jemputan ke pesta di tempat-tempat awam kerana takut perlu gunakan tandas.

Setahun kemudian, tertuduh merakam seorang lagi mangsa yang telah ke rumahnya untuk perjumpaan Krismas.

Rakaman menunjukkan mangsa,19 tahun itu di dalam tandas itu dikongsi di laman lucah dan ditonton sekurang-kurangnya 38,000 kali.

Mangsa menerima mesej melalui Instagram hampir dua tahun kemudian daripada seseorang yang tidak dikenali. Individu tersebut mengirimkan dua foto yang dipetik dari video itu dan bertanya sama ada ia benar-benar mangsa. Mangsa kemudian membuat laporan polis.

Pada Oktober 2018, tertuduh merakam seorang wanita 21 tahun ketika beliau menggunakan tandas di asrama universitinya di UK.

Lewat tahun yang sama, lelaki itu merakam dua lagi mangsa yang menggunakan tandas asramanya sewaktu satu perjumpaan Krismas.

Pesalah dewasa yang didapati bersalah menghina kehormatan wanita boleh dipenjara sehingga satu tahun, didenda atau kedua-duanya. 

Sumber : Today/IH/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita