Mahkamah arah wanita yang didera ibu berusia 91 tahun, pindah ke tempat selamat

SINGAPURA: Seorang wanita, 65 tahun yang tinggal bersama ibunya, 91 tahun, yang sering menderanya diarah oleh mahkamah keluarga supaya keluar rumah dan tinggal di tempat yang selamat selama dua tahun.
Wanita itu yang hanya dikenali sebagai Cik Lily dalam penghakiman yang dikeluarkan pada Rabu (9 Nov), seorang bujang yang tinggal bersama ibunya Cik Kan di sebuah flat HDB lima bilik.
Cik Lily (bukan nama sebenar) adalah seorang pesara. Beliau sebelum ini pernah bekerja sebagai pensyarah di politeknik dan guru gantian sebelum berhenti kerja pada 2016.
Dalam penghakiman itu, Hakim Daerah, Amy Tung berkata Cik Lily ada lima orang adik beradik namun beliau dan ibunya mempunyai hubungan terhad atau langsung tidak berhubungan dengan mereka.
Adik beradik Cik Lily dilaporkan menjauhkan diri dari ibu mereka untuk elak daripada diganggu atau didera oleh ibunya itu.
Dua daripada adik beradik Cik Lily mendapatkan Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadap ibu mereka.
Cik Kan dilaporkan pernah datang ke rumah dan tempat kerjaanak-anaknya itu untuk mengadu tentang mereka dan memukul mereka, kata hakim.
Ketua Pengarah Khidmat Kebajikan Masyarakat membuat permohonan bagi Cik Lily ditempatkan dalam tempat selamat yang tidak dinamakan selama dua tahun.
Ia merupakan pemohonan yang kedua seumpama itu. Cik Lily sebelum ini ditempatkan di Hospital Tan Tock Seng untuk tempoh enam bulan.
PENDERAAN TERHADAP CIK LILY
Mahkamah diberitahu bahawa Cik Kan mendera Cik Lily sejak 2016. Cik Lily melaporkan bahawa ibunya akan menampar, menarik rambut dan memukulnya dengan tongkat setiap minggu dan menyebabkan beliau cedera.
Pada Januari 2016, Cik Lily memohon perintah perlindungan peribadi selepas ibunya menggunakan penyapu bulu ayam untuk memukul kaki kiri dan tangannya sehingga ia patah.
Ibunya juga mengigit lengan, menarik rambut, pijak kaki mangsa dan memukul kepalanya dengan selipar bilik tidur.
Permohonan PPO itu diluluskan dan kedua-dua wanita itu dirujuk ke pusat Care Corner Project Start (CCPS) untuk kaunseling wajib.
Bagaimanapun, apabila pegawai CCPS membuat lawatan mengejut pada Jun 2016, Cik Kan sedang menjerit ke arah Cik Lily yang sedang ketakutan.
Meskipun, Cik Lily hendak meninggalkan rumah itu, beliau tidak dibenarkan oleh Cik Kan. Polis terpaksa dihubungi kerana Cik Kan semakin naik marah.
Tindakan ganas Cik Kan menjadi-jadi apabila polis tiba dan Cik Lily kemudian diletakkan di tempat perlindungan krisis.
Beliau kembali pulang ke rumah sebulan kemudian selepas Cik Kan menandatangani satu perjanjian pelan keselamatan untuk tidak memukul anaknya itu.
Walaupun perintah perlindungan peribadi dikuatkuasakan, Cik Kan masih terus mendera anak perempuannya dari 2016 hingga 2021.
Bahkan, dia dilaporkan melanggar perintah perlindungan peribadi sebanyak enam kali pada 2017. Pada Januari 2019, dia menumbuk anaknya itu selepas beliau salah membeli kentang.
Pada Ogos 2021, ketika Cik Lily sedang menunggu untuk dimasukkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Tan Tock Seng kerana insomnia, ibunya dilihat memukul dan memarahinya. Dia juga cuba menarik plug intravena Cik Lily.
Apabila kakitangan hospital cuba campur tangan, Cik Kan menghayunkan tongkatnya ke arah mereka dengan cara mengancam. Pada satu kesempatan lain di hospital pada November 2021, Cik Kan menolak kepala Cik Lily sebanyak dua kali dan cuba merampas telefonnya. Dia cuba menggigit seorang pengawal keselamatan yang cuba mengiringinya mereka keluar dari hospital.
KEADAAN MENTAL CIK LILY
Cik Lily disahkan menghidap schizophrenia pada 2002 dan stabil selepas menjalani rawatan susulan.
Beliau tidak perlu dimasukkan ke hospital sehingga Januari 2019 apabila ibunya mendera beliau lagi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.