Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah arah hentikan pameran KAWS:HOLIDAY di Marina Bay

Sebuah mahkamah mengarahkan pihak penganjur pameran seni KAWS:HOLIDAY di Pentas Terapung Marina Bay untuk menghentikan pameran belon gergasi berukuran 42 meter serta penjualan cenderahati berkaitan dengannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah arah hentikan pameran KAWS:HOLIDAY di Marina Bay

Pameran KAWS:HOLIDAY di Pentas Terapung Marina Bay. (Gambar: @qhventures)

Diterbitkan : 14 Nov 2021 05:28PM Dikemas Kini : 14 Nov 2021 05:30PM

SINGAPURA: Sebuah mahkamah mengarahkan pihak penganjur pameran seni KAWS:HOLIDAY di Pentas Terapung Marina Bay untuk menghentikan pameran belon gergasi berukuran 42 meter serta penjualan cenderahati berkaitan dengannya.

Watak terkenal KAWS, COMPANION - yang dicipta oleh seniman antarabangsa Brian Donnelly, dipamerkan di Pentas Terapung Marina Bay sejak Sabtu (13 Nov).

Pameran percuma itu dijadual berlangsung sehingga 21 November dan dianjurkan oleh AllRightsReserved - sebuah studio yang berpangkalan di Hong Kong - serta disokong oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Namun satu injunksi sementara, yang dimohon oleh pertubuhan bukan meraih untung The Ryan Foundation, sudahpun diluluskan. Ia mengarahkan pameran itu dihentikan kerana ia melanggar hak cipta intelektual dan kerahsiaan yayasan tersebut.

Penjualan dan pengedaran cenderahati berkaitan pameran itu juga diarahkan supaya dihentikan. Cenderahati termasuk figura vinil, baju tanpa lengan dan set perkhemahan.

Perintah mahkamah itu adalah antara The Ryan Foundation dengan AllRightsReserved dan STB mahupun KAWS tidak terkait dengan perintah itu.

Ryan Su, pengasas yayasan tersebut, memberitahu Mediacorp injunksi berkenaan dikenakan terhadap AllRightsReserved pada 4.20 petang Sabtu.

Beliau menambah yayasan itu sudah berbincang dengan AllRightsReserved untuk membawa pameran KAWS ke Singapura pada 2019 tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Yayasan itu memohon perintah mahkamah tersebut selepas mendapat tahu bahawa sebuah pameran akan diadakan di Singapura.

Pengarah The Ryan Foundation, Adrian Chan, berkata dalam satu kenyataan berasingan: "Injunksi itu boleh dielakkan jika soalan-soalan dibangkitkan dan pihak berkepentingan berunding."

Menjawab pertanyaan Mediacorp, AllRightsReserved menyatakan: "Berhubung dakwaan tidak berasas baru-baru ini yang dibuat oleh pihak ketiga yang cuba untuk menimbulkan gangguan pada pameran KAWS:HOLIDAY SINGAPORE, syarikat kami sedang dalam proses mendapatkan nasihat guaman dan dan akan memohon kepada mahkamah untuk mencabar perintah injunksi itu."

Syarikat itu menambah ia memandang serius terhadap insiden itu dan "akan mengambil semua langkah yang mampu untuk memastikan pameran ini boleh berjalan mengikut undang-undang Singapura".

Dalam kenyataannya kepada Mediacorp, Donnelly berkata beliau "berbesar hati" untuk mempamerkan KAWS:HOLIDAY di Singapura.

"Saya tiada perjanjian kontrak dengan The Ryan Foundation. Tuduhannya tidak berasas," tambah beliau.

STB menyatakan ia sedia maklum akan injunksi terhadap AllRightsReserved.

“Kami sedia maklum penganjur sedang meneroka semua pilihan," tambah STB.

Pameran KAWS:HOLIDAY sudah menjelajahi beberapa bandar di seluruh dunia termasuk Seoul, Taipei, Taiwan, Hong Kong dan Tokyo. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan