Skip to main content

Singapura

Mahkamah Agung tolak rayuan lelaki disabit kesalahan serang isteri secara seksual

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Agung tolak rayuan lelaki disabit kesalahan serang isteri secara seksual

Mahkamah Tinggi Singapura. (Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

Diterbitkan : 08 Aug 2025 07:38PM Dikemas Kini : 08 Aug 2025 07:39PM
SINGAPURA: Mahkamah Rayuan pada Jumaat (8 Ogos) menolak rayuan seorang lelaki yang disabit kesalahan menyerang secara seksual isterinya.

Mahkamah Rayuan mendapati bahawa hakim perbicaraan bertindak betul untuk mensabitkannya dan menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun serta enam sebatan rotan.

Pada masa itu, ia adalah kes pertama yang mempertimbangkan hubungan suami isteri dan sama ada ia boleh menimbulkan penderaan atau penyalahgunaan kepercayaan dalam kesalahan seksual, selepas perlinduingan (jenayah) dalam perkahwinan bagi kesalahan rogol dimansuhkan sepenuhnya di Singapura pada Januari 2020.

Lelaki berusia 39 tahun itu menuntut perbicaraan untuk dua pertuduhan serangan seksual dengan penembusan terhadap isterinya pada 13 Julai 2020. Dia juga membantah satu pertuduhan menghalang keadilan pada Oktober 2020, dengan cuba mendapatkan isterinya, kini berusia 40 tahun, untuk menarik balik dakwaan terhadapnya.

Kedua-dua mereka tidak boleh didedahkan namanya disebabkan perintah mahkamah yang melindungi identiti isteri. Lelaki itu disabit bagi semua pertuduhan.

Pada Jumaat, peguamnya, Cik N K Anitha dan Encik Vinit Chhabra, cuba menggesa mahkamah untuk menolak sabitan dan membenarkan mereka mengemukakan bukti baharu untuk menunjukkan bahawa isteri itu bukan saksi yang boleh dipercayai.

PEMBELAAN TEGASKAN HUBUNGAN BERSIFAT "SANGAT SEKSUAL"

Hujah Cik Anitha berpusat pada keterangan isteri itu, menarik perhatian kepada perkara-perkara "tidak konsisten" yang menjadikannya "berbahaya" untuk mahkamah mensabitkan lelaki itu. Isterinya sudah menyerahkan dokumen perceraian kepadanya di penjara.

Peguam itu menggesa mahkamah, yang terdiri daripada Hakim Tay Yong Kwang, Belinda Ang dan Woo Bih Li, untuk mempertimbangkan "sifat sangat seksual" dalam hubungan pasangan itu. Pada masa itu, mereka sudah berkahwin selama lebih lapan tahun, dan untuk menjangkakan keintiman seksual antara pasangan yang sudah berkahwin "mesti disertai dengan persetujuan yang jelas" adalah sesuatu yang "dibuat-buat dan tidak realistik", kata beliau.

Sekalipun demikian, mahkamah menegaskan bahawa konteksnya berbeza kali ini kerana suami baharu sahaja kembali untuk tinggal bersama isteri selepas tempoh perpisahan.

Cik Anitha menjawab bahawa anak guamnya mempunyai akses ke rumah, dan diseludup masuk oleh isterinya pada sekurang-kurangnya lapan hingga 10 kali untuk mereka melakukan keintiman seksual. Ini selain mereka pergi melancong bersama keluarga dan aktif secara seksual, katanya.

Hakim Tay berkata "jelas terdapat beberapa ketegangan" pada masa itu, kerana isteri pada mulanya enggan membenarkan lelaki itu pulang ke rumah dan hanya bersetuju selepas campur tangan oleh anggota keluarga lain.

Cik Anitha berhujah bahawa isteri itu "menunjukkan kesediaan untuk menyesuaikan keterangannya agar sesuai dengan naratifnya", dengan laporan perubatan untuk kecederaan tertentu tidak konsisten dengan dakwaannya dipukul berkali-kali.

Hakim Tay berkata isu utama dalam perbicaraan itu adalah sama ada hubungan seks tersebut adalah atas persetujuan. Walaupun isteri mungkin tidak konsisten dalam hal lain, intinya adalah sama ada beliau konsisten dalam mengatakan hubungan seks itu tanpa persetujuan.

Pihak pembelaan berhujah bahawa anak guam mereka percaya isterinya bersetuju berdasarkan "niat baik", dan berdasarkan interaksi sendiri dengan isterinya, yang merupakan satu-satunya konteks di mana beliau boleh memahaminya.

Pihak pembelaan juga menegaskan bahawa isteri itu mempunyai motif kerana beliau sentiasa berniat untuk mendapat hak penjagaan tunggal, penjagaan dan kawalan ke atas dua anak mereka, dan untuk menyekat akses lelaki itu kepada mereka.

Sebagai respons, Timbalan Pendakwa Raya Jane Lim berkata tiada satu pun daripada ketidakselarasan yang didakwa oleh isteri itu menjejaskan kredibilitinya atau keterangannya mengenai persetujuan. Wanita itu konsisten dalam keterangannya tentang bagaimana beliau tidak memberi persetujuan, dari menutup kakinya kepada suaminya, menyuruhnya berhenti dan berkata "berhenti mencabuli saya".

KEPUTUSAN SEBULAT SUARA

Selepas mendengar hujah, mahkamah memberikan keputusan sebulat suara menolak rayuan pembelaan terhadap sabitan dan hukuman, serta menolak permohonan untuk mengemukakan bukti baru.

Hakim Tay berkata bukti baharu tidak seharusnya diterima dalam rayuan ini, kerana ia tidak akan mempunyai pengaruh penting terhadap keputusan. Ini kerana hujah lelaki itu sebahagian besarnya berasaskan andaian bahawa standard pembuktian "sangat meyakinkan" terpakai untuk kes ini.

Ini adalah dalam situasi kesalahan seksual di mana ia hanya kata-kata mangsa terhadap tertuduh, dan keterangan mangsa oleh itu mesti "sangat meyakinkan" - standard undang-undang dengan ambang yang tinggi untuk dipenuhi.

Sungguh pun demikian, Hakim Tay berkata standard itu tidak terpakai di sini kerana keterangan isteri bukanlah satu-satunya asas untuk sabitan. Terdapat bukti sokongan dalam komunikasi antara lelaki itu dan kakaknya, dalam temu bual video yang dirakam pertama dengan polis pada 14 Julai 2020, dan dalam kenyataan yang diberikannya kepada polis pada 15 Julai 2020.

Ketidakselarasan yang ketara yang dibangkitkan oleh pembelaan berkaitan dengan "butiran kecil berhubung dengan pertuduhan penembusan" dan tidak sedikit pun mengurangkan "dalam apa jua cara" dakwaan wanita itu bahawa penembusan itu berlaku tanpa persetujuannya, kata Hakim Tay.

Mahkamah mendapati bahawa hukuman penjara lapan tahun dan enam sebatan rotan tidak kelihatan salah dari segi prinsip atau terlalu berlebihan.

Lelaki itu tidak banyak menunjukkan reaksi terhadap keputusan tersebut.
Sumber : CNA/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita