Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahkamah Agung gugur rayuan Leong Sze Hian dalam kes saman fitnah PM Lee

Mahkamah Agung menggugurkan rayuan oleh penulis blog Leong Sze Hian pada Jumaat (27 Sep) terhadap keputusan seorang hakim mahkamah tinggi yang menolak tuntutan balasnya terhadap Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Anggaran Waktu Membaca:
Mahkamah Agung gugur rayuan Leong Sze Hian dalam kes saman fitnah PM Lee

Gambar fail Encik Leong Sze Hian (kiri) dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong. (Gambar: Leong Sze Hian, Tang See Kit/Facebook)

Diterbitkan : 27 Sep 2019 10:54PM Dikemas Kini : 27 Sep 2019 10:56PM

SINGAPURA: Mahkamah Agung menggugurkan rayuan oleh penulis blog Leong Sze Hian pada Jumaat (27 Sep) terhadap keputusan seorang hakim mahkamah tinggi yang menolak tuntutan balasnya terhadap Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Mahkamah yang terdiri daripada tiga hakim itu, menegaskan hujah Encik Leong berkenaan salah guna proses bukan sebahagian undang-undang Singapura, dan mengarahkan Encik Leong untuk membayar kos S$20,000 kepada Perdana Menteri.

Peguam Encik Leong, Lim Tean, yang juga pengasas parti politik People's Voice, berhujah terdapat salah guna proses mahkamah apabila PM Lee mengemukakan saman futnah ke atas anak guamnya kerana mengongsi catatan Facebook.

PM TIDAK TANGGUNG KEROSAKAN: LIM TEAN

Encik Lim berhujah di mahkamah tertinggi Singapura pada Jumaat bahawa PM Lee tidak mengalami sebarang kerugian akibat perkongsian catatan Facebook yang dikatakan berunsur fitnah itu. Beliau berhujah PM Lee menyaman Encik Leong untuk mengekang kebebasan bersuara menjelang Pilihan Raya Umum.

Bagaimanapun para hakim menekankan "adalah penting melihat fakta mengikut konteksnya".

"Seorang plaintif dalam kes saman fitnah berhak merujuk ke mahkamah untuk membersihkan namanya jika beliau menjadi tumpuan penerbitan fitnah," kata mereka. "Mahkamah tidak boleh mengehadkan hak pihak mangsa untuk mengakses mahkamah, meskipun pihak tersebut adalah orang kenamaan."

Encik Lee mengemukakan saman fitnah terhadap Encik Leong kerana berkongsi satu catatan di laman Facebooknya pada 7 November 2017. Ia mengandungi pautan ke satu rencana diterbitkan di laman Malaysia, The Coverage, yang mendakwa Encik Lee membantu mantan Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam pengubahan wang dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Para peguam PM Lee dalam kenyataan mereka berkata tuduhan itu adalah "palsu dan tanpa asas", "disengajakan untuk merendahkan dan mempersoalkan plaintif dalam jawatannya sebagai Perdana Menteri".

Peguam Encik Leong kemudian memfailkan tuntutan balas, mendakwa bahawa PM Lee "menyalahgunakan proses mahkamah".

Bagaimanapun tuntutan balas ini ditolak Hakim Aedit Abdullah, yang memutuskan tuntutan asal itu akan dibicarakan di mahkamah.

"Undang-undang adalah jelas. Jika pendirian anda benar (bahawa Encik Leong tidak memfitnah Encik Lee), caranya ialah dengan memastikan dakwaan itu digugurkan dan dapatkan perlindungan," kata Hakim Besar Sundaresh Menon.

"Pilihan anda adalah seperti yang saya katakan - yakni menolak tuntutan itu sebagai salah guna, atau menangi kes, atau dapatkan perlindungan. Inilah cara mahkamah menangani hal sedemikian sejak sekian lama," tambah Hakim Besar Menon.

Encik Lim juga berhujah anak guamnya satu-satunya daripada kalangan "hampir 10,000 orang" yang mengongsikan catatan itu, yang disaman PM Lee.

Namun Hakim Besar menarik perhatian adalah hak plaintif untuk memilih siapa yang akan disamannya dalam saman fitnah.

Dengan rayuan Encik Leong digugurkan, saman fitnah asal akan dibicarakan di mahkamah.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan