Skip to main content

Singapura

Mahathir mahu bangkitkan pendapat umum dengan 'kata-kata emotif' berhubung isu air

Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan menyifatkan komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mengenai perjanjian air 1962, sebagai "bertujuan menghalakan tumpuan untuk membangkitkan pendapat umum."

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 02 Mar 2019 12:17AM Dikemas Kini : 02 Mar 2019 12:20AM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan menyifatkan komen yang dibuat oleh Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad mengenai perjanjian air 1962, sebagai "bertujuan menghalakan tumpuan untuk membangkitkan pendapat umum."

Pada Khamis (28 Feb), Dr Mahathir menggesa kerajaan Johor dan para penduduknya supaya memberikan pandangan mereka mengenai perjanjian air dengan Singapura yang disifatkannya sebagai "salah dari segi moral".

Beliau mempersoalkan mengapa Singapura sebagai sebuah negara yang mewah membayar "kadar yang tidak munasabah" bagi air mentah yang dijual oleh Malaysia, sedangkan Malaysia adalah sebuah negara yang lebih miskin berdasarkan pendapatan per kapita.

Semasa berucap di Parlimen pada Jumaat (1 Mac), Dr Balakrishnan berkata ia bukanlah mengenai negara manakah yang lebih mewah atau miskin. Sebaliknya, ia adalah mengenai menghormati perjanjian-perjanjian tersebut.

Dr Balakrishnan menekankan bahawa pada tahun 1987, Malaysia memutuskan untuk tidak menyemak semula harga air kerana ia meraih manfaat daripada aturan harga tersebut.

Di bawah perjanjian 1962, Singapura membayar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah. Singapura kemudian menjual air yang dirawat kepada Johor pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen air, iaitu sebahagian kecil sahaja berbanding kos merawat air tersebut.

Dr Balakrishnan berkata Singapura dan Malaysia mempunyai gaya pentadbiran dan laluan pembangunan yang berbeza.

Meskipun Singapura tidak mempunyai sumber asli, beliau berkata kemajuan negara ini bersebab dari masyarakat meritokratik dan berbilang kaum.

"Singapura menghormati perjanjian-perjanjian dan komitmen antarabangsa. Atas sebab itu, para peniaga mempunyai keyakinan untuk melabur dan berkembang di Singapura dan kita memastikan bahawa kita melabur dalam infrastruktur lebih awal.

"Oleh yang demikian, terpulang kepada anggota Dewan ini dan rakyat Singapura lainnya di luar sana untuk memutuskan sendiri sama ada atau tidak Singapura bersikap 'adil' atau 'salah dari segi moral'," katanya.

Sumber : CNA/MM/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita