Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahasiswi didapati bersalah dedah risiko COVID-19 kepada orang lain

Seorang mahasiswi yang pulang ke Singapura dari United Kingdom (UK), tidak lama selepas peraturan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dilaksanakan ke atas pelawat yang kembali ke tanah air, didapati bersalah pada Isnin (16 Ogos) kerana mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 kepada orang lain. 

Anggaran Waktu Membaca:
Mahasiswi didapati bersalah dedah risiko COVID-19 kepada orang lain

Esther Tan Ling Ying tiba di Mahkamah Negara pada 9 Mac 2021. (Gambar: Calvin Oh)

Diterbitkan : 16 Aug 2021 12:50PM Dikemas Kini : 16 Aug 2021 12:52PM

SINGAPURA: Seorang mahasiswi yang pulang ke Singapura dari United Kingdom (UK), tidak lama selepas peraturan Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) dilaksanakan ke atas pelawat yang kembali ke tanah air, didapati bersalah pada Isnin (16 Ogos) kerana mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 kepada orang lain.

Esther Tan Ling Ying, 24 tahun, yang sedang mengikuti pengajian sarjana muda dalam bidang lakonan di UK, tidak segera pulang ke rumah sekembalinya dia di Singapura pada 23 Mac 2020.

Sebaliknya, dia menuju ke sebuah pusat makanan di lapangan terbang sebelum ke sebuah klinik di Clementi. Ketika berada di klinik tersebut, dia berbohong tentang sejarah perjalanannya dan mendapat ubat-ubatan.

Tan, yang kemudian diuji positif COVID-19, mempertikaikan tuduhan tersebut di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

Sewaktu dibicarakan, Tan berkata pegawai Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) yang memberi taklimat kepadanya di lapangan terbang tidak memberitahunya supaya terus pulang ke rumah.

Dia juga mendakwa tidak dinyatakan dalam notis SHN bahawa dia perlu berbuat demikian. Tan juga berkata dia menyangkakan arahan SHN bermula pada hari berikutnya, berdasarkan apa yang diberitahu oleh rakan-rakannya.

Tan kemudian mengubah fikirannya dan berkata dia menyangkakan arahan SHN akan bermula pada hari yang sama dia pulang ke Singapura tetapi hanya setelah dia sudah sampai di rumah.

Pendakwa berkata Tan tahu dia mempunyai gejala selesema tetapi dia berkata dia menyangkakan itu adalah masalah resdung yang sudah lama dialaminya.

Pendakwa kemudian menunjukkan satu rakaman dari kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan Tan sedang batuk dengan pelitupnya diturunkan sewaktu berada di klinik berkenaan. Ini di samping satu kenyataan yang ditandatangani oleh Tan, menyatakan dia mahu mendapatkan ubat-ubatan kerana khuatir dia tidak sembuh daripada selesemanya.

Tan akan dihadapkan ke mahkamah pada 30 Ogos bagi mengemukakan rayuan dan hukuman dijatuhkan ke atasnya.

Bagi kesalahan mendedahkan risiko jangkitan COVID-19 kepada orang lain, Tan boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan