Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahasiswa SCIS boleh ikuti program pertukaran di luar negara, peluang lanjutkan ke peringkat pascasiswazah

Bakal penuntut Kolej Pengajian Islam (SCIS) akan berpeluang untuk mengikuti pengajian dan program pertukaran di tiga universiti di luar negara.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Bakal penuntut Kolej Pengajian Islam (SCIS) akan berpeluang untuk mengikuti pengajian dan program pertukaran di tiga universiti di luar negara.

Menteri Bertanggungjawab Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkfili berkata hal itu sudah dipersetujui dengan pihak universiti-universiti berkenaan iaitu Dar al-Ifta di Mesir, Universiti Jordan dan Al-Qarawiyyin di Maghribi.

Selain kerjasama dengan universiti luar negara, SCIS juga akan bergabung usaha dengan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS)untuk menyediakan laluan bagi pengajian dalam bidang sains kemasyarakatan.

Encik Masagos yang juga merupakan Pengerusi Panel Penasihat SCIS berkata ini akan memberi peluang untut bakal penuntut kolej itu mengikuti beberapa modul di kampus SUSS.

Ini katanya dapat memperkayakan lagi pengalaman pembelajaran serta peluang untuk berinteraksi dengan mahasiswa berbilang latar belakang.

"Ia juga memberi mereka peluang untuk bergaul dengan pelajar lain dan kemudian memberikan mereka pandangan dunia yang lebih baik. Meletakkan konteks agama yang diterapkan ini dalam amalan, walaupun semasa mereka belajar. Oleh itu, kami sedang melihat kedua-dua model ini dan bekerjasama dengan rakan sejawatan SUSS kami di kampus ini," kata Encik Masagos dalam satu wawancara bersama media.

YURAN SCIS AKAN LEBIH MURAH DARIPADA IKUTI PENGAJIAN DI LUAR NEGARA

Menyentuh tentang bentuk sokongan yang akan diberikan dan yuran SCIS, Encik Masagos berkata pihaknya akan mengusahakan supaya yuran kolej itu akan lebih dimampui dengan subsidi yang akan diberikan.

"Tujuan kami adalah supaya yuran yang dibayar oleh pelajar nanti harus lebih murah daripada menghantar pelajar tersebut ke luar negara sekali gus kami akan mengadakan apa sahaja subsidi yang dapat dilakukan supaya mereka yang tidak mampu akan dapat bantuan yang seharusnya," ujarnya, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga.

Selain itu, beliau menekankan sokongan pemerintah dari segi program-program sedia ada yang boleh dimanfaatkan mahasiswa SCIS di SUSS.

"Mereka akan memberikan sumbangan ataupun kemasukan dan program untuk membangun kemahiran di dalam bidang-bidang seperti sains sosial, kaunseling dan sebagainya di mana sudah ada program-program yang telah didanakan oleh pemerintah dan inilah yang akan digunakan dalam program yang dicantumkan dalam program SUSS kelak," jelas Encik Masagos.

Bagi membiayai pembangunan SCIS pulau, Encik Masagos mengalu-alukan sokongan masyarakat melalui zakat serta Wakaf Masyarakat Singapura (WMS).

TUMPUAN KHUSUS UNTUK PELAJAR MADRASAH

Encik Masagos juga menjelaskan mengapa hanya graduan madrasah yang akan membentuk kohort pertama SCIS dan tidak dibuka bagi pelajar daripada aliran utama.

Hal itu dikongsikan pengerusi jawatankuasa berpandu SCIS, Mufti Negara Dr Nazirudin Nasir dalam satu wawancara bersama media.

"Tumpuan pertama kami adalah untuk mereka yang telah memilih untuk mendalami bidang agama yang dari awal lagi dari darjah satu sudah memasuki aliran agama di madrasah kita. Saya fikir lebih baik kita memberikan tumpuan kepada mereka kerana mereka yang dari jurusan sekular ada pilihan yang begitu banyak," jelasnya.
ADA PELUANG LANJUTKAN PENGAJIAN PASCASISWAZAH

Sebagai permulaan, SCIS akan hanya menawarkan program ijazah peringkat sarjana muda.

Memandangkan institusi tersebut masih baharu, Encik Masagos berkata keputusan itu dibuat kerana 'perlunya untuk memperkukuhkan dahulu sistem yang sedia ada'.

Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa para lulusan SCIS juga akan diberi peluang untuk melanjutkan pengajian mereka dalam program pascasiswazah sehingga dua tahun di SUSS menerusi satu kerjasama kedua-dua institusi itu.

Format sedemikian katanya, dapat memperluaskan lagi laluan kerjaya bagi para lulusan.

Menurut MUIS, mahasiswa SCIS akan mengambil modul-modul asas dalam pelajaran agama dan sains kemasyarakatan dalam dua tahun pertama pengajian mereka.

Pada tahun ketiga dan keempat pula, para mahasiswa akan dibahagikan mengikut pengkhususan yang dipilih masing-masing - agama atau sains kemasyarakatan yang dipilih.

Ilmu dan pengetahuan dalam dua bidang itu akan memberi kelebihan buat para asatizah.

"Kalau kita lihat dalam kekaryawanan para jurusan agama ini bukan hanya di masjid yang perlu mungkin kemahiran sosial. Juga di mahkamah Syariah, ROMM, MUIS dan di madrasah, yang memerlukan kepakaran untuk mengajar. Jadi tidak cukup atau lebih lengkap seseorang asatizah itu yang keluar daripada kolej dengan ilmu yang dalam dalam keagamaan. Mereka akan lebih efektif kalau ia ditampilkan dengan kemahiran yang juga merupakan kelayakan," katanya.

VISI JADI HAB PENGAJIAN ISLAM SEDUNIA

Semua usaha ini kata Encik Masagos boleh meletakkan Singapura sebagai hab pengajian Islam sedunia.

SCIS ini adalah selangkah ke hadapan daripada usaha-usaha sedia ada untuk memperkukuhkan pendidikan Islam di negara ini.

Sebelum SCIS, Madrasah Aljunied Al-Islamiah sudah unggul dan dikenali di peringkat antarabangsa kerana telah melahirkan ramai asatizah telah banyak menyumbang kepada pembangunan agama di rantau ini.

"Madrasah Aljunied telah melahirkan pakar dan ulama di rantau ini. Yang ada mereka yang masih memegang jawatan tinggi di Brunei, di Malaysia dan sebagainya. Dengan lahirnya SCIS, ia adalah satu aspirasi yang telah lama terpendam dalam masyarakat kita supaya melengkapkan institusi pendidikan yang sekarang ini wujud dalam bentuk darjah dan juga menengah kepada satu kolej yang melahirkan mereka yang mendapatkan ijazah. Jadi, saya yakin bahawa dengan kerjasama dan kemasukan pakar kita dan juga daripada institusi yang masyhur dengan juga keunikan kurikulum dan visi kolej tersebut, kita bakal menjadi hab pengajian Islam yang terunggul di dunia," kata Encik Masagos.
Selain pembukaan SCIS, Encik Masagos juga berkata pelbagai perkembangan menarik untuk masyarakat Melayu/Islam boleh dijangkakan dalam masa lima tahun akan datang.

Ini termasuk pembukaan semula Taman Warisan Melayu dan Tanjong Katong Complex dan selesainya projek Jalur Budaya Geylang Serai.

Antaranya:

2027: Pembukaan semulaTaman Warisan Melayu (MHC)

2028: Pembukaan SCIS

2029: Pembukaan semula Tanjong Katong Complex
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan