Mahasiswa NUS Kamal Ashraf Kamil Jumat harumkan nama SG, dinobat Juara Pidato Dunia di Macau
SINGAPURA: Nama Singapura mekar di pentas dunia apabila Kamal Ashraf Kamil Jumat, dinobatkan sebagai Juara Kejohanan Pidato Universiti Sedunia 2025 yang berlangsung di Universiti Macau pada Sabtu (30 Ogos).
Penuntut Universiti Nasional Singapura (NUS) dalam jurusan Undang-undang itu mengalahkan para peserta daripada 11 universiti ternama termasuk Universiti Oxford, Universiti Stanford, Universiti British Columbia dan Universiti Tsinghua.
DARI DEBAT KE PENTAS PIDATO
Berbekalkan pengalaman bertahun-tahun lamanya dalam bidang bahas, Kamal yang merupakan Pengerusi Akademi Bahas 4PM sejak 2022 memanfaatkan ilmu yang telah diraih untuk mempersiapkan diri bagi kejohanan tersebut.
"Saya juga prihatin tentang aspek pertandingan dari perspektif pihak penganjur. Apakah yang mereka mengambil berat dari segi para peserta. Apa yang harus disampaikan dalam penyampaian yang mungkin akan dianggap sebagai hujah-hujah yang terbaik. Dengan itu, saya juga ambil berat tentang apa yang para penilai akan melihat dalam penyampaian saya. Misalnya, gaya badan dan juga lontaran suara yang jelas," kata Kamal.
"Selaku Pengerusi Akademi Bahas 4PM, saya juga mengambil berat tentang teknik-teknik dan kemahiran penyampaian yang berimpak yang berkesan dalam usaha kami untuk menyediakan mesej yang penting dan amat bernas."
Bekas pelajar St Joseph Institution itu juga pernah memenangi pertandingan bahas pada 2019 di peringkat pos menengah.
Meski berpengalaman, namun ia tetap membawa debaran untuk Kamal kerana menganggap pidato jauh berbeza daripada bahas.
"Pada masa yang lalu apabila saya mengambil bahagian dalam Bahas 4PM atau pertandingan bahas dalam bahasa Inggeris sebelum itu, ia merupakan sesi penyampaian secara berkumpulan. Tugas selaku berkumpulan. Kalau kita menang, kita menang bersama-sama, kalau kita kalah pun bersama-sama. Tapi untuk pertandingan ini, ini merupakan pertandingan secara individu."
Melibatkan diri dalam kejohanan pidato di Macau buat Kamal, sesuatu yang tidak disangka langsung.
Sebagai mahasiswa tahun keempat di NUS, beliau pada asalnya mengambil modul pidato bagi memenuhi keperluan elektif pengajian.
Kamal berkata: "Saya ingin memperbaiki teknik-teknik dan seni memberi penyampaian yang berimpak. Sebab pada saya, penyampaian dan teknik-teknik sedemikian memang merupakan kemahiran yang sangat penting dalam masa sekarang."
Semasa tempoh pengajiannya itu, NUS menerima undangan untuk menghantar seorang wakil bagi kejohanan berpidato anjuran Universiti Macau dan Kamal terpilih untuk mewakili bukan sahaja NUS tetapi Singapura.
Kamal berkata: "Ini bukanlah merupakan peluang sahaja. Ini juga merupakan tanggungjawab untuk saya memberi usaha yang sebaik mungkin mewakili NUS dan Singapura untuk menyampaikan mesej yang berkesan yang saya mengambil berat tentang kepelbagaian budaya dan bangsa. Ini merupakan mesej yang sangat penting selaku seorang warga Singapura, dalam bulan Ogos yang kami meraikan Hari Kebangsaan."
Selama tiga bulan, Kamal giat berlatih agar mempersiapkan diri sepenuhnya untuk kejohanan tersebut.
"Saya telah menjalani latihan amali di sebuah badan awam dan saya perlu mengambil masa untuk berunding dengan profesor saya untuk mendapatkan nasihat tentang penyampaian dan juga nasihat tentang skrip saya yang akan dihantar kepada pihak penganjur. Semasa saya berada di Macau, jangka masa dua tiga hari sebelum hari pertandingan, saya juga telah membuat persiapan sendiri," ujar Kamal.
CABARAN DI PENTAS DUNIA
Pertandingan di Macau itu merangkumi tiga bahagian untuk setiap peserta iaitu untuk menyampaikan pidato pilihan, pidato spontan dan sesi soal jawab.
Pidato pilihan Kamal bertajuk “Bringing Tomorrow”.
Ia menekankan identiti majmuk Singapura dan meraikan nilai kepelbagaian sebagai asas masa depan.
Beliau turut menyelitkan kisah-kisah tempatan seperti penggunaan bahasa 'Singlish' yang berjaya memikat hati para juri dan penonton .
Kamal tidak menafikan rasa gentar apabila mengetahui lawannya termasuk mereka yang merupakan bekas pembahas kebangsaan dan peserta yang dilatih oleh para jurulatih profesional.
Malah, beliau hampir hilang keyakinan selepas mendengar pidato-pidato hebat para penuntut universiti lain.
"Mereka merupakan para individu yang sangat hebat dalam penyampaian mereka. Dan setelah saya mengakhiri penyampaian pidato spontan, saya terus ke kerusi saya dan menghantar mesej kepada profesor saya mengatakan saya mungkin tidak akan menang. Saya rasa macam saya tak layak untuk menang," ujar Kamal.
TANGGUNGJAWAB SEBAGAI JUARA PIDATO
Namun, pada akhirnya kejayaan menjadi miliknya jua apabila Kamal dinobatkan sebagai juara, satu pencapaian yang cukup manis buat dirinya.
Kamal berkata: "Apabila mendapat tahu keputusan untuk pertandingan itu, saya juga terperanjat sebab saya tak sangka bahawa saya dapat berdiri setaraf dengan pelajar-pelajar dari universiti yang termasyhur ini. Saya juga bersyukur sebab saya tahu bahawa profesor, keluarga dan juga kawan-kawan saya juga telah membantu saya membimbing memberi nasihat dan juga meringankan bebanan tekanan saya. Itulah yang menjadikan saya berpeluang dan layak untuk menerima anugerah ini."
Selain kemenangan peribadi, Kamal melihat kejayaan ini sebagai satu amanah selain berazam menggunakan pengalaman ini untuk membimbing generasi muda.
“Dengan kemenangan ini, ia juga merupakan cabaran dan peluang untuk menaikkan taraf kemahiran belia Melayu/Islam, untuk mengasah kemahiran mereka dalam penyampaian dan juga dalam menggunakan daya kritis demi menyampaikan mesej yang bernas."
Bagi Kamal, kejayaan itu juga adalah bukti bahawa perjalanan yang panjang dalam bidang bahas tidak sia-sia.
“Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa. Setiap peluang berbahas dan berpidato telah melatih saya untuk sampai ke tahap ini,” tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.