Mahasiswa NTU dihukum penjara rakam video 335 wanita secara haram, termasuk mangsa di kampus
Seorang mahasiswa jurusan psikologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dikenakan hukuman penjara sembilan bulan dan tiga minggu pada Rabu (23 Sep) kerana merakam 469 video secara haram melibatkan 335 wanita.
Gambar hiasan.
SINGAPURA: Seorang mahasiswa jurusan psikologi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dikenakan hukuman penjara sembilan bulan dan tiga minggu pada Rabu (23 Sep) kerana merakam 469 video secara haram melibatkan 335 wanita.
Shaun Ho Yang Liang, 26 tahun, mengaku bersalah pada minggu lalu atas dua tuduhan menghina kehormatan wanita dan satu tuduhan memiliki filem-filem lucah. Tuduhan keempat diambil pertimbangan ketika menentukan hukuman.
Ho mengaku merakam video tersebut antara Februari 2018 dengan Julai 2018 di beberapa lokasi termasuk di Eastpoint Mall, jejantas di North Spine di NTU, pusat kegiatan pelajar di NTU dan sebuah makmal di Institut Pendidikan Nasional (NIE).
Dia menyasarkan wanita yang memakai seluar pendek atau skirt, dan akan menyangkung atau berdiri dekat dengan mereka untuk merakam video-video tersebut.
Dalam beberapa kejadian,Ho mengekori mangsa buat satu tempoh waktu. Dia menggunakan aplikasi di telefon bimbit yang membolehkannya merakam video secara sulit, merakam beberapa video ketika kelas berlangsung di NTU, di beberapa tempat di sekitar kampus NTU dan semasa mengunjungi pasar raya.
Dia akan menonton video-video itu secara sendirian dan “naik berahi”, menurut dokumen mahkamah.
Perbuatannya itu tidak dikesan sehingga 22 Julai 2018, apabila salah seorang mangsa menangkapnya sedang melakukan perbuatan tersebut.
Seorang wanita yang diekori Ho di sebuah pasar raya di Eastpoint Mall melihatnya termundar-mandir lalu beliau memberitahu teman lelakinya.
Secara bersama, mereka mengawasi Ho sehingga teman lelaki mangsa melihat tertuduh meletakkan telefon bimbitnya di bawah pakaian mangsa.
Lelaki tersebut menahan Ho dan polis dikerah ke tempat kejadian.
Polis menemui 10 rakaman video mangsa dalam telefon bimbit Ho. Satu siasatan forensik yang dilakukan terhadap telefon bimbit berkenaan menemui 459 lagi video membabitkan 334 mangsa wanita.
Pihak pendakwa memohon hukuman penjara 10 bulan dan tiga minggu, sambil menyifatkan Ho sebagai “pesalah berulang” yang melakukan kesalahan setiap hari sepanjang tempoh empat setengah bulan.
Peguam Ho memohon hukuman penjara lebih pendek, dengan mengatakan bahawa anak guamnya merupakan “seorang individu bijak” dan dia sudah menjalani kaunseling.
NTU memberitahu Mediacorp dalam satu kenyataan sebelum ini bahawa Ho masih merupakan mahasiswa NTU dan sedang menanti dikenakan tindakan disiplin oleh pihak universiti.
“Individu itu tidak lagi menghadiri kuliah di universiti dan akan dikenakan tindakan disiplin oleh pihak universiti setelah selesai proses kehakiman dan dijatuhkan hukuman mahkamah,” kata jurucakap NTU dalam respons kepada pertanyaan selepas Ho dikenakan hukuman.
“Pihak universiti mengambil pendirian tegas terhadap sebarang salah laku seksual. Mana-mana pelajar yang melakukan perbuatan salah laku sedemikian akan dikenakan tindakan disiplin, yang mungkin termasuk digantung atau kena buang universiti, bergantung pada tahap serius kesalahan yang dilakukan dan faktor-faktor yang mengurangkan atau menambah lagi kepada kesalahannya.”
Secara amnya, NTU hanya akan mengambil tindakan selepas selesai proses kehakiman, tambahnya.
Bagi setiap tuduhan menghina kehormatan wanita, Ho boleh dikenakan hukuman penjara selama setahun, denda atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan memiliki filem-filem lucah, Ho boleh dipenjara sehingga enam bulan, denda sekurang-kurangnya S$500 bagi setiap filem yang dimiliki sehingga maksimum S$20,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.