Mahasiswa mahu modul lebih luas ditawarkan; NTU berusaha pikat lebih ramai penyelidik
Memikat lebih ramai penyelidik dan anggota fakulti ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mungkin dapat meningkatkan kedudukan NTU di peringkat antarabangsa.
Kohort 2016 Universiti Teknologi Nanyang (NTU). (Gambar: NTU)
SINGAPURA: Memikat lebih ramai penyelidik dan anggota fakulti ke Universiti Teknologi Nanyang (NTU) mungkin dapat meningkatkan kedudukan NTU di peringkat antarabangsa dan menarik lebih banyak dana dan sumber, kata para mahasiswa dan kakitangan NTU sebagai respons kepada pelan lima tahun yang didedahkan oleh universiti tersebut pada Isnin (27 Ogos).
Para mahasiswa turut menaruh harapan agar pelan berkenaan akan dapat menawarkan lebih banyak modul.
NTU, mulai tahun ini, akan menyokong 350 ijazah kedoktoran baru selama dua tahun, dalam usahanya untuk memikat lebih ramai penyelidik.
Sekitar 300 anggota fakulti akan direkrut dan sehingga 100 jawatan profesor akan diwujudkan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata presidennya Subra Suresh.
Tahun lalu, NTU memiliki seramai 1,726 anggota fakulti tidak termasuk fakulti adjung.
Para anggota akademik NTU turut mengalu-alukan pelan lima tahun yang diumumkan semalam (27 Ogos).
Saintis politik Woo Jun Jie dari Sekolah Sains Kemasyarakatan NTU berkata langkah untuk memikat lebih ramai penyelidik dan pengkaji akan memberikan mereka lebih masa dan sumber untuk membangunkan agenda kajian dan penyelidikan sebelum menjadi tenaga pengajar, di samping mengukuhkan lagi kekuatan dan kelebihan NTU dalam bidang kajian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.