Mahasiswa di bawah program pertukaran NUS didenda cabul kehormatan pelayan di kelab malam Marquee

Gambar: Facebook/Marquee Singapore
SINGAPURA: Seorang mahasiswa asing yang sedang menjalani program pertukaran di Universiti Nasional Singapura (NUS) baru sahaja tiba di negara ini apabila dia pergi ke sebuah kelab malam dengan rakan-rakannya, mabuk arak dan mencabul kehormatan seorang pelayan.
Mahasiswa warga Pakistan, Butt Muhammad Abdullah, 22 tahun, didenda S$4,000 pada Isnin (25 Sep) atas satu tuduhan mencabul kehormatan mangsa berusia 30 tahun itu.
Jika dia gagal membayar denda tersebut, dia perlu menjalani hukuman penjara selama empat hari. Butt sudah berada dalam tahanan selama empat hari kerana dia tidak dapat membayar ikat jamin.
Mahkamah diberitahu bahawa Butt memegang pas pelajar dan tiba di Singapura dari Denmark, di mana dia merupakan seorang penduduk tetap di sana. Dia sedang menjalani program pertukaran pelajar dengan NUS selama lima bulan.
Pada 2 September tahun ini, dia telah pergi ke Marquee Singapore di Marina Bay Sands untuk minum arak bersama rakan-rakannya.
Pada sekitar 2.50 pagi, dia memutuskan untuk meninggalkan tempat tersebut dan pulang ke asrama bersama seorang rakan.
Apabila mangsa itu, yang juga seorang pelayan berusia 30 tahun, berjalan lalu di sebelah Butt untuk mengemas mejanya, Butt menyentuh punggungnya di atas pakaiannya.
Mangsa segera menoleh, bersemuka dengannya dan membawanya ke pengawal keselamatan. Polis dihubungi dan Butt kemudiannya diberkas. Tindakannya itu juga dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Peguam bela Cathy Pereira berkata anak guamnya adalah seorang mahasiswa yang sedang menjalani program pertukaran pelajar di Sekolah Perniagaan NUS dan baru tiba di Singapura selama sebulan sebelum malam kejadian.
"Itu kali pertama dia minum arak dengan banyak," jelas beliau.
"Dia hanya pernah minum sekali. Kali ini, dia mengambil tujuh minuman arak dan tidak menyedari kesannya terhadap dirinya. Dia sangat menyesali perbuatannya itu."
"Selepas ini, dia berniat untuk tidak minum arak lagi," kata Cik Pereira.
Mediacorp sudahpun menghubungi NUS untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesudahan program pertukaran Butt berikutan kes tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.