Mahasiswa 4 universiti ajak penghuni Darul Ihsan dalam acara lestarikan budaya Melayu
24 mahasiswa NUS, NTU, SMU dan SIT anjur Erti Varsiti 2026 untuk pupuk minat terhadap bahasa dan budaya Melayu. (Gambar: Jawatankuasa Erti Varsiti 2026)
Kumpulan mahasiswa Universiti Nasional Singapura (NUS), Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dan Institut Teknologi Singapura (SIT) bergabung tenaga dalam Erti Varsiti, iaitu satu acara tahunan yang bertujuan berbakti kepada masyarakat, selain menggalak kerjasama antara persatuan-persatuan tersebut.
"Erti Varsiti dimulakan pada tahun 2018 dengan matlamat untuk memberikan platform bagi belia-belia universiti untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Kita juga mempunyai matlamat untuk mengeratkan hubungan dan silaturahim antara persatuan-persatuan universiti," jelas Presiden Kelab Bahasa dan Budaya Melayu SMU, Lutfi Semarluki.
MEMPERKENALKAN BUDAYA MELAYU KEPADA GENERASI MUDA DENGAN CARA MENYERONOKKAN
Berlangsung di kampus SIT pada Sabtu lalu (25 Julai), acara bertemakan Misi Hang Nadim – Menjejak Warisan mengajak para peserta meneroka dunia bahasa dan budaya Melayu menerusi beberapa 'stesen' yang menawarkan pelbagai permainan interaktif.
Antara kegiatan yang disediakan ialah lukisan batik kendalian SIT, tarian Melayu oleh NTU, muzik Melayu oleh SMU dan bahasa Melayu oleh NUS.
Melalui permainan sebegitu, para peserta didedahkan kepada corak-corak batik seperti corak parang dan megamendung, genre tarian Melayu seperti inang dan masri, rentak muzik Melayu melalui kompang dan jidur, serta bentuk sastera Melayu seperti pantun.
Antara peserta Erti Varsiti 2026 ialah Nadia Abdul Rahim, yang memilih untuk menyertai acara tersebut kerana ingin mendalami budaya tercinta.
Bagi mahasiswa Universiti Malaya, Aura Nur Amira Alfian, penyertaan dalam Erti Varsiti 2026 memberinya kesedaran bahawa usaha melestarikan bahasa dan budaya oleh belia di Singapura masih giat berlangsung.
"Apa yang kami main ialah berkenaan dengan budaya seperti main kompang, kemudian tarian Melayu dan sebagainya. Jadi, ia membuka mata saya yang di Singapura juga, mereka, khususnya di peringkat universiti ini, mereka tetap ingin mengekalkan budaya Melayu di Singapura," ujar beliau.
"Kami memilih Darul Ihsan kerana kami mahu mengeratkan hubungan daripada pelbagai lapisan masyarakat seperti contoh mahasiswa universiti dan juga kanak-kanak di Darul Ihsan," tambah beliau lagi.
Seramai 35 orang menyertai Erti Varsiti 2026 dengan 15 daripadanya merupakan penghuni Darul Ihsan berusia semuda 7 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.