Skip to main content

Singapura

Madrasah Irsyad Zuhri dinobat juara Penterjemah Pintar 2026

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Irsyad Zuhri dinobat juara Penterjemah Pintar 2026

Mohamed Adam Luqman dan Heidi Qaysara dari Madrasah Irsyad Zuhri juara Penterjemah Pintar 2026.

Diterbitkan : 21 Jul 2026 09:31PM
SINGAPURA: Dari menterjemahkan lirik lagu, hinggalah ke skrip laporan berita.

Itulah antara cabaran yang perlu dilakukan oleh para pelajar dari 22 sekolah rendah dalam pertandingan Penterjemah Pintar 2026.

Tahun ini, pertandingan itu turut diadakan di dalam bentuk 'gameshow' atau rancangan permainan yang meliputi empat pusingan.

PERTANDINGAN ALA RANCANGAN PERMAINAN

Peraduan tahun ini dibahagikan kepada empat pusingan - Kenal Kata, Tangkas Tangkis, Mahir Makna dan Pentas Penterjemah.

Setiap pusingan mempunyai cabaran tersendiri, di mana kebolehan para pelajar diuji dalam masa yang ditetapkan.

"Melihat kepada citarasa anak muda yang melihat gameshow itu sebagai satu platform yang boleh menguji mereka. Tapi jika mereka boleh belajar dan belajar itu satu proses yang tak kisah kalau kalah atau menang tapi itulah pembelajaran yang mesti mereka alami," kata Fadhli Fadzil, pengasas bersama Meja Conteng.

Meja Conteng merupakan penganjur bersama Jawatankuasa Penterjemahan Nasional (NTC) dan Jawatankuasa Bulan Bahasa bagi acara pertandingan tersebut.
Related article image
Tiga sekolah rendah berentap pada pusingan akhir - Madrasah Irsyad Zuhri, Sekolah Rendah Junyuan dan Sekolah Rendah Ahmad Ibrahim.

Di pusingan itu, para pelajar diberi sepuluh minit untuk menterjemahkan dan melakonkan skrip yang diberi secara rawak.

Tiga adegan ditetapkan, rancangan memasak, laporan berita dan sesi penjualan secara langsung.
Related article image
Di akhir pusingan sengit itu, pasukan dari Madrasah Irsyad Zuhri, Heidi Qaysara Muhamad Helmi dan Mohamed Adam Luqman Mohamed Fadhilad, muncul sebagai juara Penterjemah Pintar 2026.

MENEKANKAN KEPENTINGAN DWIBAHASA

Melihat penterjemahan itu bukan sekadar mengalih bahasa, tetapi juga satu kemahiran, pertandingan tersebut bertujuan menekankan kepentingan dan kaitan dwibahasa dalam konteks harian di kalangan Rakan Bahasa dari sekolah-sekolah rendah.

"Kemahiran itu penting bagi kami dalam masyarakat yang semakin condong kepada sesuatu bahasa jadi itu kemahiran yang membuat kita berlatih untuk berfikir dalam dua bahasa secara serentak kerana kita semua sering anggap bahawa dua bahasa ini secara berasingan," kata Encik Fadhli.

Menurutnya, ini mungkin lebih kerap dialami dalam kalangan belia yang kini semakin selesa dengan bahasa Inggeris.

"Untuk mereka berfikir dalam bahasa Melayu, mereka perlu berfikir dalam bahasa Inggeris dahulu jadi ini kemahiran harian sebenarnya, jadi amat penting bagi mereka untuk tahu cara untuk menterjemah bukan hanya secara literal, tetapi juga secara makna."

Kepentingan ini turut ditegaskan oleh para pelajar, yang menekankan pentingnya menguasai bahasa ibunda.

Juara dari Madrasah Isyad Zuhri Heidi Qaysara berkata: "Ia penting sebab kita harus menghargai tradisi dan budaya kita. Walaupun di Singapura kami banyak menggunakan bahasa Inggeris, tetapi saya rasa ini penting kerana kadangkala di Singapura, kita juga menggunakan bahasa Melayu."
 
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita