Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah buat aduan polis terhadap kakitangan bocor maklumat sulit

Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah membuat aduan polis terhadap seorang kakitangannya yang beberapa kali memuat turun dokumen-dokumen sulit daripada server emel madrasah itu tanpa kebenaran yang sah.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 31 May 2021 02:17PM Dikemas Kini : 31 May 2021 08:59PM

SINGAPURA: Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah membuat aduan polis terhadap seorang kakitangannya yang beberapa kali memuat turun dokumen-dokumen sulit daripada server emel madrasah itu tanpa kebenaran yang sah.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan madrasah itu dimaklumkan pada 11 Mei lalu tentang satu emel sulit yang dibocorkan kepada pihak-pihak ketiga yang tidak dibenarkan daripada server emel madrasah itu.

Menurut satu kenyataan media hari ini (31 Mei), MUIS menyatakan: "Berikutan soal siasat dengan kakitangan berkenaan, pihak madrasah sudah membuat aduan polis berhubung pemindahan tanpa kebenaran dokuman-dokumen sulit madrasah itu kepada pihak-pihak ketiga".

Kakitangan itu sudahpun meletak jawatan dengan serta-merta, tambah MUIS.

Madrasah itu menarik perhatian bahawa beberapa dokumen sulit yang dibocorkan berkaitan dengan semakan berterusan ke atas urus niaga kewangan Madrasah yang dilakukan oleh MUIS. Ini seperti yang dinyatakan dalam respons kepada Soalan Parlimen yang dibangkitkan mengenai urus niaga kewangan antara madrasah tersebut dengan Amanah Irsyad Berhad (ITL) pada 5 April 2021.

Pada 5 April, Anggota Parlimen (WP-Aljunied) Faisal Abdul Manap mengajukan tiga soalan kepada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli mengenai hubungan antara Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah dengan ITL.

Sebagai sebahagian responsnya, Encik Masagos berkata MUIS sudahpun mengarahkan satu semakan ke atas urus niaga kewangan antara madrasah itu dan amanah tersebut, Beliau menambah: "MUIS akan mempertimbangkan sama anda tindakan lanjut perlu diambil" bergantung kepada dapatan semakan.

MUIS, yang memegang fungsi dan tugas berkanun untuk mentadbir semua sekolah agama di Singapura, menekankan ia memandang serius terhadap segala tuduhan penyelewengan kewangan dan sedang menjalankan langkah-langkah yang diperlukan untuk meneliti masalah tersebut.

"Memandangkan perkara ini di bawah siasatan polis sekarang, madrasah itu tidak boleh memberikan butiran lanjut berhubungnya," menurut MUIS.

Dalam pada itu, MUIS menyatakan ia sudahpun mengingatkan para kakitangan bahawa sebarang maklumat sulit, termasuk maklumat yang mengandungi data peribadi, harus dilindungi setiap masa.

Selain itu, tambah MUIS, kakitangan juga amat dinasihatkan supaya menggunakan saluran yang betul sekiranya mereka mempunyai maklumat dan butiran untuk dikongsi berkaitan dengan siasatan yang sedang dijalankan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa