Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Irsyad terima lebih 200 murid Darjah 1 pada hari pertama sekolah

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Irsyad terima lebih 200 murid Darjah 1 pada hari pertama sekolah

Madrasah Irsyad terima lebih 200 murid Darjah 1 pada hari pertama sekolah. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Seawal kira-kira 6.30 pagi lagi, bas-bas sekolah yang membawa murid-murid Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah termasuk pelajar Darjah Satu sudah kelihatan di luar pintu gerbang sekolah itu.

Malah, ada juga murid-murid Darjah Satu yang tiba bersama ibu bapa mereka, yang sanggup menunggu di luar pintu gerbang sehingga anak mereka disambut kakitangan madrasah untuk dibawa masuk ke kawasan sekolah.



Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah menerima kemasukan sekitar 207 murid Darjah Satu hari ini (3 Jan).

Memandangkan ini hari pertama bagi murid-murid itu, ramai ibu bapa yang BERITAmediacorp temui melahirkan rasa bercampur baur.

Jika ada yang ghairah, ada juga yang rasa berdebar dan gementar bagi anak mereka.



Ia termasuk Siti Ema Sulaiman, 35 tahun.

"(Saya) baru habis sahaja nangis jadi takut ada, berdebar ada, ghairah. Emosi-emosi bercampuran tetapi Alhamdulillah, kita redha dengan apa yang di hadapannya. Insya-Allah dia akan melakukan yang terbaik," kongsi Cik Siti.

SIAPKAN ANAK SECARA MENTAL DAN EMOSI SEBELUM BUKA SEKOLAH

Sedar akan peralihan berbeza daripada sekolah tadika kepada sekolah Madrasah, beliau memastikan untuk mempersiapkan anaknya secara mental dan emosi sebelum hari pertama persekolahan.

"Kami selalu melakukan lakon peranan di rumah dengan apa yang dijangkakan dari segi pelajaran menerusi kemahiran sosial dengan membuat kawan," ujar Cik Siti.



Bagi Cik Wahida pula, persiapan sudah bermula jauh lebih awal sebelum anaknya memasuki Darjah Satu.

"Mereka ada ujian kemasukan madrasah jadi sedikit sebanyak mereka lebih bersedia dalam aspek akademik, Alhamdulillah. Untuk hari pertama sekolah, ia (persediaan) adalah asas seperti membelikan baju sekolah itu semua. Memang kita sudah sediakan awal lagi," kongsi Cik Wahida.

Meskipun bimbang dengan perkembangan COVID-19 kini, beliau yang juga mempunyai seorang anak peringkat Darjah Tiga tetap berfikiran positif.

"Semalam pihak sekolah dan pengetua ada menghantarkan mesej WhatsApp untuk meyakinkan kami bahawa pihak sekolah akan menyambut anak-anak kami ke sekolah," ujar Cik Wahida.

BIMBANG TAPI PERCAYA SEKOLAH ADA SEDIAKAN LANGKAH KESELAMATAN



Keyakinan yang sama turut dirasakan Encik Muhammad Hasbillah.

"Sejujurnya kita masih ada kebimbangan dan kerisauan tetapi Insya-Allah kita percaya sekolah ada semua langkah-langkah selamat untuk memastikan murid-murid selamat di sekolah," kongsi Encik Hasbillah kepada BERITAmediacorp.

Bagi hari pertama anaknya memasuki Darjah Satu, beliau dan isteri sanggup bangun pada 5.00 pagi bagi menyediakan barang keperluan sekolah.

"Tentunya semalam kita tidur awal pukul 9.00 malam. Sebelum itu, kita sudah siapkan beg mereka, kasut dan pakaian mereka semua," menurutnya lagi.

MURID-MURID DARJAH 1 MADRASAH IRSYAD TERUJA PADA HARI PERTAMA SEKOLAH

BERITAmediacorp juga sempat bertanyakan perasaan kanak-kanak Darjah Satu itu, yang rata-rata teruja memulakan sekolah.

Ini termasuk anak kepada Encik Hasbillah sendiri.

"Miqayla sangat gembira kerana (ini) hari pertama."

(Adik Naura Azzahra)

Perasaan gembira itu juga turut dikongsi Naura Azzahra dan Khidir.

Ketika ditanya seorang lagi pelajar, Afifah Raesah, mengapa beliau teruja pada hari pertama sekolah ini jawapannya:

"Ada rakan baru!"



Murid-murid Darjah Satu itu juga disambut mudir di sebuah dewan, sebelum berpeluang meluangkan waktu rehat pertama mereka bersama rakan-rakan Darjah Tiga mereka.

Selain murid-murid Darjah Satu, Madrasah Irsyad juga menyambut murid-murid Darjah Tiga dan Enam kembali ke sekolah hari ini (3 Jan), manakala bakinya akan kembali ke sekolah esok (4 Jan).

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan