Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Alsagoff juara bahas bahasa Arab antarabangsa di Qatar

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Alsagoff juara bahas bahasa Arab antarabangsa di Qatar

Pelajar Madrasah Alsagoff wakili Sg dan juarai pertandingan bahas antarabangsa di Qatar. (Gambar: Qatar Debate)

SINGAPURA: Para pelajar Madrasah Alsagoff, yang mewakili Singapura, menjuarai pertandingan bahas bahasa Arab antarabangsa di Qatar, dalam kategori bukan penutur asli, pada Isnin (4 Sep).
 
Salah seorang anggota pasukan itu, Sofiyyah Mohd Amirullah yang berusia 16 tahun, turut diiktiraf sebagai salah satu daripada tiga pembahas terbaik bagi kategori yang sama.
 
Pasukan Singapura itu juga menduduki tempat ke-10 teratas dalam ranking keseluruhan dalam kalangan 40 negara yang menyertai Kejohanan Bahas Sekolah Antarabangsa Keenam Qatar itu. 

Dari kiri Sofiyyah Mohd Amirullah, Sharifah Muneerah Sheik Nawaz, Nur Wanie Azmi dan Nurwada’ah Mohamed. (Gambar: Munazarah SG)

Kejohanan tersebut merupakan pertandingan bahas bahasa Arab terbesar di dunia bagi sekolah-sekolah, di mana lebih 40 negara mengambil bahagian untuk berbahas, berbincang dan saling mencungkil pandangan antara satu sama lain tentang topik-topik yang paling kerap diperkatakan di dunia, selain bersaing untuk merebut gelaran juara dunia.
 
JUARA PADA PERCUBAAN PERTAMA

Tentu sekali pencapaian ini amat bermakna dan manis bagi pasukan tersebut memandangkan ini kali pertama sebuah pasukan mewakili Singapura menyertai kejohanan anjuran Qatar Debate.
 
Juara kejohanan itu membawa pulang piala, pingat setiap seorang dan memegang gelaran Negara Terbaik dalam Bahas Bahasa Arab.
 
“Kemenangan ini merupakan kemenangan yang terindah bagi kami. Ia dapat mengharumkan nama negara dan nama Madrasah Singapura. 
 
“Kami berasa amat teruja kerana tidak menjangkakan bahawa kami akan memenangi pertandingan ini. Tambahan pula, negara-negara lain amat berbakat dari segi kefasihan berdebat dalam bahasa Arab. Ini juga merupakan kali pertama kami menyertai pertandingan antarabangsa. Justeru kami amat bersyukur dengan kemenangan ini,” kata ketua pasukan, Sharifah Muneerah Sheikh Nawaz, kepada BERITA Mediacorp.

(Gambar: Munazarah SG)

BERTARUNG 9 KALI  
 
Laluan Madrasah Alsagoff untuk menjadi juara sememangnya cukup payah. Mereka bertarung dalam sembilan perlawanan kesemuanya. Selain Sofiyyah dan Sharifah Muneerah (18 tahun), pasukan Singapura itu juga dianggotai Nur Wanie Azmi (18 tahun) dan Nurwada’ah Mohamed (17 tahun).

Pusingan kelayakan bagi Kejohanan Bahas Sekolah Antarabangsa Keenam itu diadakan secara online pada awal Mei tahun ini. Semua pasukan berbahas dalam lima pusingan awal dalam tempoh dua hari. Pasukan Singapura berdebat dengan pasukan Kazakhstan, India, Qatar, Belgium dan Afrika Selatan.

(Gambar: Munazarah SG)

Madrasah Alsagoff berjaya mara ke pusingan akhir yang berlangsung antara 2 hingga 4 September di Qatar. Pusingan akhir ini menyaksikan perdebatan antara 16 pasukan. 
 
Dalam pusingan ini, empat pasukan teratas di bawah kategori bukan penutur asli bahasa Arab, perlu berentap lagi tiga pusingan bahas. Mereka bertarung dengan mana-mana 16 pasukan teratas sebelum finalis dengan dua markah tertinggi dipilih untuk meneruskan perjuangan mereka.
 
Pasukan Singapura berdepan dengan Qatar, Indonesia dan Kazakhstan.

(Gambar: Munazarah SG)

SG LAWAN INDONESIA DI PERINGKAT AKHIR

Akhirnya, Singapura dan Indonesia muncul sebagai pasukan dengan markah tertinggi, sekali gus mara ke pertarungan akhir. 

Pasukan Singapura bersama pasukan Indonesia. (Gambar: Munazarah SG)

Mauduk perbahasan akhir mereka, yang didedahkan hanya 20 minit sebelum bahas bermula, ialah ‘Dewan ini akan mencegah syarikat-syarikat media sosial daripada menyekat akaun-akaun ahli politik’ (This house will prevent social media companies from blocking politicians’ accounts). 

Pasukan Singapura. (Gambar: Munazarah SG)
“Ia mencabar apabila topiknya diberikan 20 minit sebelum pusingan akhir bermula tanpa menggunakan internet mahupun pertolongan daripada guru pembimbing, lebih-lebih lagi tajuknya bersangkut paut dengan politik dan media sosial,” cerita Sharifah Muneerah mengenai detik-detik menjelang peringkat akhir bahas.
(Gambar: Qatar Debate/Instagram)

Pasukan Singapura merupakan pencadang dan akhirnya berjaya mempertahankan mauduk tersebut dan diangkat sebagai juara dalam kategori bukan penutur asli.
 
BAGAIMANA MADRASAH ALSAGOFF TERPILIH WAKILI SG?
 
Pasukan Singapura itu dihantar ke Qatar untuk menyertai perbahasan tersebut oleh Munazarah SG, iaitu pertubuhan bukan mencari untung bagi wacana intelektual dalam bahasa Arab di Singapura. Ia terdiri daripada alumni pembahas dan jurulatih bahasa Arab tempatan.
 
Munazarah SG merupakan kontak bagi pertubuhan-pertubuhan bahas dan pidato bahasa Arab dari luar negara seperti Qatar, Malaysia dan Indonesia yang mencari peserta tempatan bagi pertandingan-pertandingan antarabangsa yang dianjurkan.

Pasukan Singapura bersama pasukan Indonesia. (Gambar: Munazarah SG)

Untuk Kejohanan Bahas Sekolah Antarabangsa Keenam Qatar, Munazarah SG mempelawa beberapa sekolah yang menawarkan kurikulum bahasa Arab, lebih tepat lagi madrasah tempatan untuk melalui proses pemilihan. Madrasah Alsagoff akhirnya dipilih disebabkan kefasihan mereka dalam bahasa tersebut, selain kesungguhan luar biasa dan kesanggupan untuk memberikan komitmen.
 
Antara madrasah lain yang diundang bagi proses pemilihan ialah Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah, Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.
 
RANCANGAN SETERUSNYA MUNAZARAH SG

Menyusuli kemenangan pasukan Singapura pada Isnin, Munazarah SG berusaha untuk bekerjasama dengan madrasah-madrasah dan institusi-institusi bahasa Arab di Singapura “untuk mengadakan bengkel-bengkel dan kursus-kursus yang berkenaan, dan ia akan dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman”.

Para peserta Kejohanan Bahas Sekolah Antarabangsa ke-6 Qatar, 2 hingga 4 Sep 2023. (Gambar: Munazarah SG)

Ini selain terus memberi sokongan yang sewajarnya kepada para pelajar dalam membudayakan penggunaan bahasa Arab melalui kemahiran pertuturan, seperti melalui pertandingan debat atau pidato bahasa Arab dan membantu lebih ramai pelajar bahasa Arab yang berkebolehan dalam arena debat dan memberikan mereka peluang serta kemahiran yang secukupnya.
 
“Pada masa akan datang, Munazarah SG berharap untuk mempertahankan nama sebagai juara pertandingan dalam kategori bukan penutur asli, dan berkemampuan untuk berhadapan dengan negara yang mana bahasa Arab itu merupakan bahasa asli mereka. 

"Ini selain menghantar lebih ramai pendebat ke pertandingan antarabangsa dan membuka ruang dan persiapan untuk pertandingan peringkat universiti antarabangsa yang akan dianjur oleh Qatar Debate pada tahun hadapan,” kata Ketua Munazarah SG, Ustaz Muhammad Redha Mohamed Elyas, kepada BERITA Mediacorp.

Bagi Madrasah Alsagoff, ia nampaknya mengukir nama sebagai 'gergasi' bahas tempatan, kerana baru-baru ini ia juga menjuarai kejohanan Bahas 4PM. Ia mengalahkan Politeknik Ngee Ann untuk mempertahankan mahkota kejohanan yang dimenanginya tahun lalu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan