Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah naik taraf kemudahan sekolah; lancar dua biasiswa baru

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah pada Sabtu (26 Mac) menganjurkan majlis pelancaran lif pertama di sekolah itu yang dirasmikan tetamu terhormat Cik Denise Phua, Datuk Bandar Daerah Tengah dan Penasihat Persatuan Akar Umbi Kampong Gelam.

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Alsagoff Al-Arabiah naik taraf kemudahan sekolah; lancar dua biasiswa baru

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah. (Gambar-gambar: Madrasah Alsagoff Al-Arabiah)

SINGAPURA: Madrasah Alsagoff Al-Arabiah pada Sabtu (26 Mac) menganjurkan majlis pelancaran lif pertama di sekolah itu yang dirasmikan tetamu terhormat Cik Denise Phua, Datuk Bandar Daerah Tengah dan Penasihat Persatuan Akar Umbi Kampong Gelam.

Lif penumpang itu dibina di bawah projek Waqaf dan dapat membantu meningkatkan akses di sekolah tersebut, menurut Madrasah Alsagoff dalam satu kenyataan pada Ahad (27 Mac).

Selain pembinaan lif, beberapa kemudahan Madrasah tersebut juga dinaik taraf termasuk dewan solat dan dewan serba guna serta prasarana dan peralatan teknologi lebih baik.

Menurut kenyataan itu lagi, projek Waqaf tersebut memastikan pelajar dan Madrasah Asagoff mendapat yang terbaik dalam usaha berterusan ke arah membangunkan pendidikan Islam.

Selain itu, prasarana baru lain turut dinaik taraf di bawah skim peningkatan sekolah itu termasuk akses pejalan kaki berbumbung, ciri-ciri seni binaan dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan lapang dan sekitaran bangunan sekolah.

"Hari ini pada 2022, 110 tahun sejak majlis perasmian sekolah ini dan 30 tahun selepas siap projek peluasannya, kami berada di sini untuk meraikan satu lagi detik bersejarah dalam prasarana sekolah ini, "kata Pengetua Madrasah Alsagoff Ustaz Syed Mustaffa Alsagoff.

"Kami ingin merakamkan penghargaan kepada masyarakat terutama sekali pihak berkepentingan, ibu bapa dan alumni atas sokongan berterusan mereka.

"Kami berharap dapat terus menyediakan program bermutu kepada pelajar kami dan melahirkan cendekiawan Islam yang berpandangan ke hadapan dalam masa terdekat ini," ujarnya.

2 BIASISWA BARU MADRASAH ALSAGOFF

Di majlis yang sama, Madrasah Alsagoff turut memperkenalkan dua biasiswa baru bagi membantu keperluan pembelajaran pelajar.

Dua biasiswa baru itu ialah Anugerah Sarjana Muda Syed Muhammad Ahmed Alsagoff (SMA) (Sekolah Rendah) dan Anugerah Sarjana Muda SMA (Sekolah Menengah).

Biasiswa itu diberikan kepada tiga pelajar terbaik yang masing-masing sudah menamatkan pendidikan sekolah rendah dan menengah di Madrasah Alsagoff.

Ini di samping Biasiswa SMA sedia ada yang dilancarkan pada 2011 bagi pelajar Madrasah Alsagoff untuk melanjutkan pengajian dalam kursus berkaitan keperluan dan aspirasi masyarakat Muslim di Singapura.

Biasiswa bagi murid sekolah rendah akan menampung yuran sekolah tahun pertama berjumlah S$2,400 manakala yuran sekolah penerima biasiswa sekolah menengah akan dibiayai sepenuhnya sepanjang pengajian mereka.

Sumber dana itu sebahagian besarnya diperolehi daripada sumbangan Zakat, Riqab dan individu yang tampil untuk memberi sumbangan.

Bagi tahun ini, Pengarah Urusan syarikat POS TKI, Encik Mohamed Anwar Tahar menaja jumlah penuh sebanyak S$17,250 bagi biasiswa peringkat sekolah menengah.

Biasiswa bagi peringkat sekolah rendah sebanyak S$7,200 pula ditaja seorang penderma tidak mahu namanya didedahkan.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan