Skip to main content

Singapura

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 12 Jun 2026 03:48PM Dikemas Kini : 14 Jul 2026 08:30PM
SINGAPURA: Madrasah Alsagoff Al-Arabiah dinobatkan sebagai juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied (BP SARA) tahun ini selepas menundukkan Pondok Modern Darussalam Gontor, dari Indonesia.

Pertandingan bahas dalam bahasa Arab itu merupakan acara dwitahunan yang dianjurkan oleh Madrasah Aljunied Al-Islamiah.

Menurut Madrasah Aljunied, sebanyak 20 pasukan daripada 13 sekolah dan madrasah merentasi lima negara termasuk Singapura, Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam dan India merebut kejuaraan di edisi pertandingan tahun ini.

Para pembahas Madrasah Alsagoff berjaya mengutarakan hujah-hujah yang mempertahankan mauduk berjudul "Melanjutkan Pengajian Di Luar Negara Lebih Berkesan Dalam Mempersiapkan Individu Untuk Menyumbang Kepada Pembangunan Negara".
Related article image
Juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah. (Gambar: Hidir Ezat)
Antara intipati hujah-hujah pasukan madrasah itu termasuk bahawa pengajian di luar negara memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengetahuan, kemahiran dan pendedahan kepada sistem yang berbeza, sekali gus memupuk inovasi serta memperluas pemahaman terhadap cabaran dunia sebenar.

Hujah-hujah mereka juga sekali gus menepis armada hujah oleh para pembahas pihak pembangkang dari Pondok Modern Darussalam Gontor.

HARUMKAN NAMA MADRASAH, INGIN TERUS BERBAKTI KEPADA GENERASI PEMBAHAS SETERUSNYA

Para pembahas juara terdiri daripada Fathimatuzzahra' Fadhlur Rahman, Nur Insyirah Mohamed Faizal, Nur Hijanah Mohamed Hisham dan Toybah Munawwarah Muhammad A'li.

"Kami berempat berasa sungguh bertuah dan juga kemenangan ini tidak disangka-sangka kerana salah satu daripada cabaran kami adalah kita hanya mempunyai masa yang amat singkat untuk berlatih, berdebat dan masa latihan pula diadakan selepas waktu kokurikulum sekolah," kongsi Fathimatuzzahra, 18 tahun.

"Alhamdulillah kita berjaya mendapat tempat pertama dan saya rasa ini adalah kenangan yang manis buat kami berempat kerana ini adalah tahun terakhir kami di Madrasah Alsagoff dan kami bangga kerana dapat membanggakan dan membuat nama madrasah kami haruslah di sisi mata dunia," tambahnya.
Related article image
Kemenangan tersebut merupakan kenangan yang manis buat mereka kerana ia merupakan tahun terakhir mereka di Madrasah Alsagoff. (Gambar: Hidir Ezat)
Bagi Nur Insyirah, kemenangan tersebut diharap dapat menjadi inspirasi kepada para pelajar lain untuk terus mendalami bahasa Arab.

"Kami berharap bahawa adik-adik kami di madrasah akan terus melihat kami sebagai contoh untuk lebih menghayati bahasa Arab dan bahasa Arab. Ini bukan sesuatu yang mustahil untuk difahami dan kami rasa ia sesuatu untuk dapat meningkatkan lagi kefahaman kami dalam isu isu semasa dan isu isu semasa," katanya.

Beliau berkata pasukannya berhasrat untuk terus membimbing generasi pelajar seterusnya supaya lebih mencintai bahasa Arab dan mengembangkan pemikiran kritis terhadap isu-isu semasa.

PENGALAMAN LEBIH BERHARGA DARIPADA KEMENANGAN

Walaupun muncul naib juara, pasukan Pondok Modern Darussalam Gontor menyifatkan penyertaan mereka dalam BP SARA sebagai pengalaman yang amat bermakna.

"Kami sangat bersyukur kepada Allah atas nikmat dan kesempatan yang diberikan sehingga kami dapat mewakili Indonesia untuk menyertai pertandingan debat di Singapura ini. Kami sangat gembira dan bangga dapat berada di sini," kata wakil pasukan, Ustaz Faris Istiqlal.

Mengulas keputusan pertandingan, beliau berkata pasukannya menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka.
Related article image
Naib juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied (BP SARA), Pondok Modern Darussalam Gontor. (Gambar: Hidir Ezat)

"Kami tidak bersedih atau kecewa. Kami melihat pencapaian ini sebagai batu loncatan untuk menjadi lebih baik pada masa hadapan. Kami datang ke sini bukan semata-mata untuk menang, tetapi untuk mencari pengalaman yang akan membantu kami mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang."

Meski muncul sebagai naib juara, seorang pembahasnya, Anggoro Budi Nurcahyo, dinobatkan sebagai Pembahas Terbaik pertandingan.

"Sudah tentu saya gembira dipilih sebagai pembahas terbaik. Namun, dalam kegembiraan itu, kami sentiasa bersyukur kepada Allah kerana apa jua yang kami capai di sini merupakan kurniaan-Nya," katanya.

"Kami berlatih setiap pagi, tengah hari, petang dan malam. Jika gagal sekali atau dua kali, itu perkara biasa kerana kejayaan memerlukan proses. Guru-guru kami juga sentiasa menekankan kepentingan menjaga hubungan dengan Allah yang memberikan kekuatan kepada kami," tambahnya.

KEPENTINGAN BAHASA ARAB DORONG PENYERTAAN SERANTAU

Menurut pihak penganjur, kejohanan perbahasan sebegitu menyediakan platform kepada pelajar untuk menggunakan bahasa Arab dalam suasana yang lebih semula jadi dan praktikal di luar bilik darjah.

"Ini merupakan keperluan yang nyata kerana mereka di sana menanti nantikan di manakah platform atau tempat yang mereka boleh menggunakan bahasa Arab ini di tempat yang lebih asli dan di tempat yang mana mereka boleh saling menggunakannya antara satu sama yang lain, luar daripada bilik darjah yang dapat memotivasikan mereka dan mendorong mereka untuk terus menggunakan bahasa Arab dengan ada di kalangan mereka dalam bentuk local, di tempat sendiri ataupun dalam bentuk global," kata Ustaz Mohamad Nasrullah Refa'ie.

Related article image
Pihak penganjur, Ustaz Mohamad Nasrullah Refa'ie. (Gambar: Hidir Ezat)
Beliau berkata peningkatan jumlah penyertaan sebanyak 25 peratus berbanding dua tahun lalu mencerminkan minat yang semakin berkembang terhadap bahasa Arab dalam kalangan pelajar di rantau ini.

Edisi tahun ini juga menjadi antara acara utama menjelang sambutan ulang tahun ke-100 Madrasah Aljunied Al-Islamiah pada 2027.

Ia juga mencerminkan komitmen madrasah itu dalam memupuk kecemerlangan intelektual, kepimpinan dan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan belia Muslim selama satu abad.

Sebelum ke peringkat akhir, Madrasah Alsagoff mengalahkan juara bertahan kehohanan itu, Madrasah Aljunied, manakala Pondok Modern Darussalam Gontor pula menundukkan pasukan dari Sabeelul Hidaya dari India.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita