Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah juara Bahas 4PM

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Alsagoff Al-Arabiah juara Bahas 4PM

(Gambar: Syawal Yusoff)

SINGAPURA: Madrasah Alsagoff Al-Arabiah menewaskan Madrasah Aljunied Al-Islamiah untuk merangkul gelaran juara Bahas 4PM pada tahun ini.

Juara membawa pulang Piala Hawazi Daipi, trofi dan hadiah baucar.

Ini juga kali pertama dalam lebih sedekad dua institusi madrasah berentap di peringkat akhir pertandingan.

Membahaskan mauduk "Menerusi media sosial, belia Singapura ialah wakil negara yang utama di muka dunia", ia menguji kepekaan kedua-dua pasukan pada isu-isu semasa.

"Kami mahu memberi lebih perhatian tentang isu-isu dalam konteks global dan kami berpendapat bahawa media sosial merupakan wadah yang sangat berkuasa dan juga sangat penting dalam isu-isu dalam konteks global," kata Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Akademi Bahas, Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Kamal Ashraf Kamil Jumat.

Sepanjang tiga pusingan dan satu pusingan Hujahan Berapi, kedua-dua institusi menunjukkan kehebatan dan kepetahan mereka mengupas topik perbahasan.

Dalam membentangkan hujah masing-masing kedua-dua pasukan menonjolkan daya kreativiti melalui penggunaan akronim.

Madrasah Aljunied sebagai pencadang menggunakan akronim 4P - Penggiat, Pencetus, Penggerak dan Pemangkin sementara Madrasah Alsagoff menggunakan singkatan PKP untuk Penglibatan, Kemaslahatan dan Penghargaan.

MADRASAH ALSAGOFF MENANG SEMUA KATEGORI UTAMA BAHAS 4PM

Kali terakhir Madrasah Alsagoff mara ke peringkat akhir adalah pada 2015 namun ia tewas di tangan Maktab Rendah Anglo-Chinese.

Penantian selama lapan tahun itu ternyata sungguh berbaloi kerana mereka turut membawa pulang Piala Pembahas Terbaik Peringkat Akhir dan Pembahas Terbaik Keseluruhan yang dianugerahkan kepada pembahas Haninah Rehan.
(Gambar: Syawal Yusoff)
"Saya sangat gembira dan saya juga sangat berterima kasih kepada guru-guru dan juga pembimbing yang telah menyokong dan mendorong kami sehingga kami dapat mencapai gelaran juara pada pertandingan ini," kata Haninah.

Pertandingan yang bermula sejak 16 Julai 2022 itu disertai lapan institusi pengajian tinggi (IHL) dan diadakan secara online dan hibrid untuk pusingan-pusingan saringan.

Peringkat akhir ini adalah kali pertama pertandingan tersebut diadakan secara langsung di hadapan sekitar 400 penonton di studio Mediacorp, sejak pandemik COVID-19.

Acara fizikal itu turut dihadiri Menteri Negara Kanan Kementerian Penerangan dan Perhubungan merangkap Kesihatan, Dr Janil Puthucheary sebagai tetamu terhormat.

"Sebelum menaiki pentas, saya rasa agak gementarlah kerana saya akan berdepan dengan ratusan orang. Namun apabila saya berada di pentas itu, saya percaya dengan diri saya dengan saya percaya dengan tunggak-tunggak yang kami telah sediakan maka perasaan takut itu, kuranglah," kongsi Haninah.

Haninah dan dua lagi peserta Madrasah Alsagoff tetap gagahkan diri untuk berikan persembahan terbaik pada peringkat akhir meskipun anggota simpanan mereka tidak dapat menyertai di saat-saat akhir akibat demam berlarutan.

"Kami rasa bahawa pembahas simpanan kami telah membantu kami dalam menyiapkan celahan-celahan dengan menyiapkan bidasan-bidasan. Dan kami rasa bahawa walaupun dia tidak berada bersama kita secara zahir, namun doa-doanya mendorong kami juga," jelas Hanina.

PENGADIL PUAS HATI DENGAN MUTU TINGGI PARA PEMBAHAS

Meskipun gagal merebut semula takhta juara yang dimenangi pada 2018, naib juara Madrasah Aljunied Al-Islamiah berpuas hati dengan keputusan para pengadil.

"Kami percaya ia adalah keputusan yang sangat bagus, dan sangat adil. Menang atau kalah, itu adat permainan. Jadi, kami sebagai satu kumpulan, kami hanya mampu berterima kasih dapat naib juara," kata wakil Nurul Khodijah Hanafi.
(Gambar: Syawal Yusoff)
Prestasi kedua-dua pasukan pembahas tahun ini turut menarik perhatian barisan pengadil.

"Saya kagum kerana mereka menunjukkan kelincahan dan kespontanan ketika memberi hujah-hujah mereka. Jadi saya boleh katakan satu mutu tahap yang tinggi yang mereka tonjolkan," kata Ketua Pengadil, Dr Mohamad Shamsuri Juhari.

Walaupun kedua-dua pasukan berjaya menawan para pengadil dengan penguasaan Bahasa Melayu mereka, Zamil Penyelidik, Institut Pengajian Dasar (IPS), Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, Universiti Nasional Singapura (NUS) itu berkongsi satu perkara yang mungkin boleh dijadikan iktibar buat kedua-dua kumpulan.

"Dua-dua pihak saya rasa efektif dari segi membentukkan pendirian, perdebatan mereka. Cuma yang kurangnya adalah contoh-contoh yang mereka berikan," tambah Dr Shamsuri.

Sempena ulang tahun ke-70 pertandingan Bahas 4PM, acara itu turut mengundang beberapa alumni bahas termasuk mantan Anggota Parlimen, Amrin Amin, personaliti radio dan televisyen, Zaza Majid serta penerbit kanan dan penyampai BERITA, Nursha Ismail.

Pertandingan peringkat akhir Bahas 4PM boleh disaksikan di meWATCH.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan