Skip to main content

Singapura

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah catat peningkatan 54% pada jumlah pelajar & guru sertai kursus STEM sepanjang 6 tahun lalu

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah mengumumkan kadar pertumbuhan sebanyak 54% pada bilangan pelajar dan guru yang menyertai kursus pengekodan dan kursus-kursus berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sepanjang enam tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Madrasah Alsagoff Al-Arabiah mengumumkan kadar pertumbuhan sebanyak 54% pada bilangan pelajar dan guru yang menyertai kursus pengekodan dan kursus-kursus berkaitan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sepanjang enam tahun lalu.

Menurut pihak madrasah, perkembangan positif itu turut merevolusikan pendidikan teknologi di madrasah tersebut.

Ia juga selaras dengan dorongan Pemerintah untuk memperkasakan kaum wanita dan kanak-kanak perempuan mengecapi potensi terbaik dalam bidang teknologi dan digital.

Demikian menurut madrasah itu dalam kenyataan medianya pada Jumaat (8 Mac).

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah mempunyai lebih 300 pelajar yang mendaftar bagi program pendidikannya selama 12 tahun.

Pada tahun 2019, Madrasah Alsagoff menjadi salah satu daripada lima Sekolah Cemerlang Apple di Singapura dan telah dianugerahi pengiktirafan cemerlang ini buat kali kedua bagi tempoh 2022-2025.

Sejak itu, Madrasah Alsagoff telah mengorak langkah dalam bidang ini dengan memperkenalkan modul teknologi yang berbeza kepada para pelajarnya seperti Pengekodan STEM, Pemodelan 3D & Pembangunan Aplikasi sambil memberi peluang kepada para gurunya menjalani latihan yang dijalankan oleh CM Asia untuk program CS5 STEM.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Ustaz Syed Mustafa Alsagoff berkata: “Kami sentiasa berkembang dan berusaha untuk menyediakan pendidikan madrasah yang terbaik kepada para pelajar kami terutamanya dalam bidang mengaplikasikan teknologi canggih dalam sistem pendidikan madrasah kita.

"Ramadan ini, kami mengharapkan sokongan murah hati daripada para dermawan korporat dan individu untuk menyumbang kepada kempen kutipan Zakat/Amal kami bagi menyokong sistem pendidikan madrasah kami untuk pelajar dan guru kami."

Salah seorang guru Madrasah Alsagoff Al-Arabiah, Cikgu Shuhannah bte Sajali telah mendapat manfaat daripada pelbagai program berkaitan Kepimpinan dan Teknologi yang diperkenalkan oleh Madrasah Alsagoff Al-Arabiah - yang telah membawanya ke Gold Coast, Australia untuk menghadiri Institut Pendidik Cemerlang Apple (ADE) yang merupakan bahagian penting dalam Program ADE yang memberi tumpuan kepada kecemerlangan dan kepimpinan dalam bidang pendidikan.

Ia juga telah memberinya peluang untuk menjadi sebahagian daripada ahli panel dalam pelbagai perkongsian seperti Persidangan Pengetua Sekolah EDUCA Thailand pada Jun 2022.

"Saya amat bersyukur dengan zakat Fisabilillah yang diberikan oleh pihak madrasah - di mana sumbangan tersebut telah membantu saya dan sekumpulan asatizah untuk berusaha lebih keras dalam menyediakan pelajar kami dengan pengetahuan baharu mengenai teknologi sebegini dan aplikasinya.

"Pertama sekali, sumbangan itu membolehkan pihak madrasah untuk melengkapi para pendidik seperti saya dengan alat-alat pembelajaran (seperti 1:1 iPad dan Apple Pencil) yang memudahkan penggunaan teknologi dalam bilik darjah.

"Disebabkan itu, saya dipaparkan dalam bahagian 'In Action' Masyarakat Pendidikan Apple," katanya.

Madrasah Alsagoff Al-Arabiah juga berharap dapat terus membangunkan kanak-kanak perempuan menjadi pemimpin hebat melalui biasiswa dan berkongsi peranan berbeza yang dimainkan oleh wanita Islam dalam landskap tempatan dan global yang kian berubah-ubah, menurut kenyataan media tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita