Skip to main content

Singapura

Madrasah Aljunied juara 'Robot Wars' 2025, semai minat belia Melayu/Islam dalam bidang STEM

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Kumpulan pelajar daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah dinobatkan sebagai juara 'Robot Wars 2025' yang diadakan buat julung-julung kalinya.

Peraduan anjuran M³ @ Pasir Ris–Changi, Yayasan Mendaki dan Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD) itu bertujuan untuk menyemai minat generasi muda Melayu/Islam kepada bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

Ini khususnya dalam cabang robotik, pengekodan dan teknologi STEM.

Sebanyak 10 kumpulan pelajar berusia 9 hingga 16 tahun dari lapan sekolah di kawasan perumahan Pasir Ris–Changi, Rumah Kebajikan Muhammadiyah dan Madrasah Aljunied Al-Islamiah menguji kebolehan masing-masing dalam STEM.
Related article image
(Gambar: MENDAKI)
GUNA ROBOT ‘SMORPHI’

Untuk menang dalam peraduan 'Robot Wars', para peserta harus memastikan robot 'Smorphi' mereka boleh bergerak dengan sempurna, 'mengutip sampah' (mengimbas kod QR) dengan betul dan sampai ke garisan penamat secepat mungkin.

Para pelajar daripada Madrasah Aljunied Al-Islamiah berjaya melakukannya dalam masa yang terpantas iaitu 122 saat.

Kumpulan itu terdiri daripada Abdul Qoyyum Mustaqim Ade Candra, 16 tahun, Muhammad Ehsaan Sulaiman,14 tahun dan Shafiq Syafee Mirza Mazdi, 13 tahun.

"Ia adalah sesuatu yang menggembirakan sangat. Saya menghadapi banyak cabaran. Salah satunya ialah dalam pengekodan robot tadi untuk menghadapi cabaran optikal AR.

"Walaupun robot kami boleh mengatasi cabaran itu, saya masih berfikir macam mana kami boleh membaiki kodnya dan menjadikan robot kami lagi pantas," kongsi Abdul Qoyyum.

Kumpulan mewakili Rumah Kebajikan Muhammadiyah pula mendapat tempat kedua dengan masa 136 saat, manakala Sekolah Rendah White Sands di tempat ketiga dengan masa 142 saat.

Selain daripada pertandingan itu, para peserta turut diajak untuk menyertai bengkel bimbingan, demonstrasi secara langsung dan peluang mencuba pelbagai jenis robot di acara tersebut.
Related article image
Robot ‘Smorphi’. (Gambar: MENDAKI)
SEMAI MINAT DALAM BIDANG STEM

Pihak penganjur menekankan bahawa objektif utama acara adalah untuk menunjukkan bagaimana teknologi boleh menyelesaikan masalah dunia sebenar sekaligus membuka laluan kerjaya dalam industri teknologi yang semakin pesat berkembang.

"Matlamat peraduan 'Robot Wars' ini ialah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar kita untuk menceburi bidang STEM. Apa lagi dalam bidang robotik supaya mereka dapat inspirasi untuk jadikan ini kerjaya mereka sedang industri yang semakin berkembang ini," kata Penasihat Akar Umbi Pasir Ris – Changi, Sharael Taha.

Beliau berharap insiatif seperti peraduan itu dapat membuka peluang pada belia Melayu/Islam untuk mencetus minat dalam bidang robotik dan sertai lebih banyak peraduan di peringkat nasional.

"Saya berharap lebih banyak lagi remaja daripada masyarakat kita dapat mengambil bahagian dalam peraduan robotik seperti peraduan 'National Robotics Competition' dan saya berharap yang ramai daripada ibu bapa kita dapat memberi sokongan kepada remaja-remaja kita supaya mendorong mereka untuk menceburi bidang STEM ini," kata Encik Sharael.
Related article image
(Gambar: MENDAKI)
Para jurutera daripada Rangkaian Profesional MENDAKI turut hadir pada acara untuk memberi sokongan dan mendampingi para belia.

"Sebagai jurutera dalam Rangkaian Profesional MENDAKI, kami berperanan sebagai pendukung generasi muda untuk melihat kejuruteraan sebagai sesuatu yang kreatif dan bermanfaat. Oleh itu, kami bekerjasama dengan Persatuan Rakyat untuk memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri dunia kejuruteraan dan mendorong mereka menyertai bidang ini," kata jurutera, Nurul Atiqah Dzulqarnain.

Pihak penganjur kini dalam perancangan untuk memperluaskan pertandingan Robot Wars itu kepada kesemua bandar @ M³ tahun depan.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita