Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Aljunied diiktiraf sebagai Apple Distinguished School 2022-2025

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Aljunied diiktiraf sebagai Apple Distinguished School 2022-2025

Dengan iPad, para penuntut memiliki akses pintas kepada maklumat yang memperkayakan perbincangan dalam bilik darjah. (Gambar: Madrasah Aljunied)

BERITAmediacorp: Madrasah Aljunied Al-Islamiah kini diiktiraf sebagai sekolah yang memanfaatkan teknologi Apple atau 'Apple Distinguished School' (ADS) bagi tahun 2022 hingga 2025, menurut kenyataan media madrasah itu pada Jumaat (3 Mac).

Madrasah Aljunied merupakan madrasah kedua yang menerima pengiktirafan tersebut. Sebelum ini, Madrasah Alsagoff Al-Arabiah menerima pengiktirafan sama sebanyak dua penggal berturut-turut - 2019 hingga 2021 dan 2022 hingga 2025.

Madrasah Aljunied diberi pengiktirafan tersebut, atas daya inovasinya, pada Oktober lalu.

Malah kesemua 69 kakitangan Madrasah Aljunied juga disahkan sebagai Guru Bertauliah Apple selepas menghadiri latihan-latihan penggunaan asas peranti dan aplikasi Apple.

APA ITU APPLE DISTINGUISHED SCHOOL (ADS)?

ADS mempamerkan bagaimana perkakas, perisian dan kandungan Apple boleh digunakan bagi memupuk kreativiti dan pemikiran kritikal dalam pendidikan.

Pengiktirafan itu merangkumi tajaan penuh peranti dan sumber Apple bagi kedua-dua guru dan penuntut madrasah.

Di Madrasah Aljunied, setiap penuntut diberi iPad, di mana mereka berpeluang mempelajari melalui aplikasi berunsur pendidikan seperti Padlet dan Kahoot.

Madrasah tersebut juga dilengkapi dengan TV Apple, yang membolehkan pembelajaran kolaboratif yang lancar.

BANTU PEMBELAJARAN

Penuntut Menengah 4 Madrasah Aljunied, Durrah Mohd Kamal berkongsi pengalamannya: "ICT benar-benar membantu dalam pembelajaran saya.

"Misalnya, menghantar kerja sekolah lebih mudah dengan teknologi. Prestasi saya juga meningkat dengan pembelajaran melalui pendekatan dan aplikasi interaktif baru."

Sebagai salah satu ADS yang baru menerima pengiktirafan, Madrasah Aljunied akan membentangkan pengalaman ICT yang dipertingkat semasa Sidang Puncak Kepimpinan Apple pada 8 Mac ini.

Madrasah itu juga menyasarkan meningkatkan fungsi ICT dan menyediakan bantuan ICT secara berterusan kepada guru-guru dan para penuntutnya, selain meningkatkan kerjasama bagi peluang latihan pada masa depan.

ANJURKAN SIMPOSIUM ICT

Pada 2021, Madrasah Aljunied juga menganjurkan Simposium Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), di mana semua madrasah sepenuh masa tempatan diberi wadah untuk berkongsi amalan terbaik dalam memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan pengalaman pendidikan bagi para pelajar.

Ini turut menjadi sebahagian daripada tuntutan bagi mendapat pengiktirafan ADS - prasarana dan program perkongsian yang ditawarkan kepada rakan-rakan industri dan pihak-pihak berkepentingan.

Di samping itu, Madrasah Aljunied juga menjadi tuan rumah kepada sebilangan sekolah tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi tentang pengalaman Apple dan ilmu ICT.

Ini termasuk sekolah Thoriq Bin Ziyad dari Indonesia, yang berkunjung ke madrasah itu bulan lalu selama dua hari bagi meneliti penggunaan teknologi dalam bilik darjah.
Sumber : BERITA Mediacorp/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan