Skip to main content

Singapura

Madrasah Aljunied catat kelulusan penuh 6 tahun berturut-turut bagi diploma IB & dwibahasa IB

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 18 Dec 2025 04:05PM Dikemas Kini : 10 Jan 2026 10:04PM
  • Madrasah Aljunied Al-Islamiah sekali lagi mencatatkan pencapaian membanggakan dengan kesemua 15 pelajar berjaya meraih Diploma International Baccalaureate (IB) berserta diploma dwibahasa IB tahun ini.
  • Ini juga merupakan tahun keenam berturut-turut, pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah mencatat kelulusan penuh.
  • Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi menaruh harapan untuk menyambung pengajian dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar, sebelum meneruskan pengajian akademik dalam Psikologi atau Undang-undang Sivil.
  • Hannah Yusra Rashid membulatkan tekad untuk meneruskan pengajian dalam kedua-dua bidang agama dan akademik kelak.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Madrasah Aljunied Al-Islamiah sekali lagi mencatatkan pencapaian membanggakan dengan kesemua 15 pelajar berjaya meraih Diploma International Baccalaureate (IB) berserta diploma dwibahasa IB tahun ini.

Keputusan peperiksaan International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) bagi tahun 2025 diumumkan pagi tadi (18 Dis).

Ini juga merupakan tahun keenam berturut-turut, pelajar Madrasah Aljunied Al-Islamiah mencatat kelulusan penuh.

Markah purata bagi setiap kohort:
2020: 34.8 mata
2021: 39.69 mata
2022: 36.05 mata
2023: 33.7 mata

Seperti tahun lepas, markah purata bagi kohort 2025 enggan didedahkan pihak madrasah kepada umum.

RANCANG AMBIL DUA IJAZAH SELEPAS TAMAT PENGAJIAN

Antara pelajar cemerlang Madrasah Aljunied bagi IB kali ini adalah Ahmad Eimran Darwisy Mohammad
Suhaimi.

Sepanjang tempoh pengajian IBDP, beliau berdepan cabaran besar dalam mengimbangi tuntutan akademik IB yang intensif, pengajian Islam, serta peranan kepimpinan sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Majlis Pelajar.

“Antara cabaran terbesar yang saya hadapi dalam mengimbangi masa antara perkara-perkara ini adalah dalam mengetahui apa yang perlu saya mengutamakan atau mendahulukan pada waktu-waktu yang tertentu. Tidak dapat dinafikan bahawa setiap bidang memerlukan fokus dan masa yang tersendiri,” kata Eimran.

Cabaran ini menjadi lebih ketara ketika musim peperiksaan dan apabila dia terlibat secara langsung dalam penganjuran program madrasah.

Eimran turut mengakui isu penangguhan kerja sebagai antara hambatan peribadi yang perlu diatasinya.
Related article image
Antara pelajar cemerlang Madrasah Aljunied, Ahmad Eimran Darwisy Mohammad Suhaimi. (Gambar: Nurfazirah Azman)
“Saya rasa daripada pengalaman ini, saya belajar untuk menguruskan masa saya dengan lebih berdisiplin, saya sedar bahawa keseimbangan datang atau memerlukan pengorbanan dan penyesuaian yang berterusan untuk mencapai kejayaan,” kata Eimran.

Dalam menghadapi tekanan tersebut, ibu bapanya juga menjadi sumber kekuatan utama bagi diri Eimran.

“Ibu bapa saya adalah pendorong utama kejayaan saya. Mereka sentiasa memberikan sokongan emosi dan menjadi sandaran saya ketika saya berada di tahap terendah. Doa dan keredaan mereka adalah kunci kejayaan saya. Alhamdulillah,” katanya.

Melangkah ke hadapan, dia menaruh harapan untuk menyambung pengajian dalam bidang Syariah di Universiti Al-Azhar, sebelum meneruskan pengajian akademik dalam Psikologi atau Undang-undang Sivil.

“Melalui dua kurikulum ini, saya berharap dapat menggabungkan nilai-nilai Islam dan ilmu moden agar dapat menyumbang kepada masyarakat secara lebih holistik,” kongsi Eimran.

INGIN SUMBANG KEMBALI KEPADA MASYARAKAT

Seorang lagi pelajar cemerlang yang menyimpan hasrat untuk sama-sama menyumbang kepada masyarakat ialah Hannah Yusra Rashid.

Baginya, perjalanan IBDP merupakan ujian besar dari segi akademik dan emosi.

Sebagai Ketua Majlis Pelajar, beliau memikul tanggungjawab kepimpinan yang berat di samping mengikuti dua aliran kurikulum – IBDP dan pendidikan ukhrawi (Aliyah).

“Cabaran terbesar saya secara emosi sepanjang perjalanan saya adalah untuk mengawal perasaan saya apabila saya menghadapi tekanan kerana tidak dapat mengimbangi masa dengan baik antara dua kurikulum,” jelasnya.
Related article image
Seorang lagi pelajar cemerlang, Hannah Yusra Rashid (Gambar: Nurfazirah Azman)
Tekanan itu juga bertambah apabila keadaan kesihatan neneknya semakin memburuk.

“Pada waktu saya menduduki peperiksaan IB ini, nenek saya sakit yang agak teruk. Jadi saya amat kesali bahawa saya tidak dapat meluangkan masa yang begitu banyak dengannya.

"Tetapi Alhamdulillah saya rasa bahawa pengalaman ini telah banyak mengajar saya tentang kepentingan masa dan cara untuk membahagi masa dengan baik," kata Hannah.

Meski berdepan keletihan mental dan emosi, Hannah terus melakukan yang terbaik atas dorongan dan sokongan padu daripada keluarga, guru dan rakan-rakan.

“Dengan berkat doa ibu bapa dan keluarga saya serta bantuan dan bimbingan guru-guru dan para asatizah dan tidak lupa juga dengan kawan-kawan saya yang sering memberi bantuan dan kerjasama yang
baik. Saya rasa ini semua telah menyumbang kepada kejayaan dan pencapaian saya pada hari ini. Alhamdulillah,” kongsi Hannah.

Dia membulatkan tekad untuk meneruskan pengajian dalam kedua-dua bidang agama dan akademik kelak.

INGIN JADI PERAN CONTOH BUAT ADIK-ADIK

Bagi seorang lagi pelajar cemerlang madrasah itu, Sumayyah Jumadi, tekad untuk menjadi contoh dan teladan yang baik buat adik-beradiknya menjadi pembakar semangat untuk terus berusaha dan menjadi kunci kejayaannya.

“Sebagai seorang kakak sulung, saya merasakan bahawa ia amat penting bagi saya untuk memastikan bahawa saya adalah contoh dan teladan yang baik buat empat adik beradik saya yang lain kerana mereka
semua melihat saya sebagai seorang tokoh di dalam keluarga saya ini dan saya ingin memastikan bahawa saya membanggakan keluarga saya dan adik beradik saya. Jadi itulah tentunya sebuah cabaran untuk memastikan bahawa jangkaan mereka tercapai," kongsi Sumayyah.
Related article image
Seorang lagi pelajar cemerlang, Sumayyah Jumadi (Gambar: Nurfazirah Azman)
Sepanjang perjalanan tersebut, dia mempelajari pentingnya sikap bersyukur dalam menghadapi cabaran.

"Saya pelajari adalah pentingnya rasa syukur itu kerana dengan kesyukuran, kita akan memastikan bahawa kita membuat yang terbaik meskipun kita menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan. Jadi dengan perasaan syukur atas kedudukan kita ini, kita akan sentiasa memastikan bahawa kita berada di tempat yang baik dan juga membuat yang terbaik untuk orang lain," kata Sumayyah.

Dengan sokongan keluarga yang tidak berbelah bahagi, dia bertekad untuk melanjutkan pengajian dalam bidang ukhrawi dan akademik.

“Dari segi ukhrawi dan juga akademik. Jadi dari segi ukhrawi, saya ingin menceburi bidang syariah kerana saya ingin mengenal lebih mendalam dari segi syariah.

"Dari segi bidang akademik pula, saya ingin menceburi bidang sosiologi. Jadi, saya dapat mengenal pasti lebih mendalam tentang masyarakat masyarakat seluruh dunia dan itu adalah satu perkara yang saya minati," kongsi Sumayyah.

Dia berharap ilmu yang diperoleh kelak dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi membantu masyarakat secara lebih meluas.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita