Madrasah Aljunied Al-Islamiah tebus kekalahan, jadi juara Bahas 4PM 2025
SINGAPURA: Madrasah Aljunied Al-Islamiah berjaya menundukkan St. Joseph's Institution (SJI) dalam pertandingan Bahas 4PM kategori tahun ini.
Lebih manis lagi, kemenangan itu menjadi penebus kekalahan Madrasah Aljunied kepada SJI dalam kategori menengah tahun lalu.
Selaku pihak penyanggah, Madrasah Aljunied berjaya mematahkan hujah-hujah yang diketengahkan oleh pihak pencadang, SJI.
"Kami rasa sangat bersyukur dan gembira atas kemenangan ini dan kami rasa sangat bangga kerana dapat meningkatkan nama madrasah kami yang tercinta," kata Muhammad Suhail Sulaiman dari Madrasah Aljunied.
"Walaupun perjalanan ini adalah perjalanan yang penuh dengan cabaran, kami tetap berusaha, berdoa dan bertawakkal kepada Allah dan Alhamdulillah kita telah meraih kejayaan ini," tambahnya lagi.
Mauduk bahas: "Kebergantungan pada sektor perkhidmatan mengukuhkan kemampanan ekonomi Singapura"
"Kebergantungan pada sektor perkhidmatan mengukuhkan kemampanan ekonomi Singapura" - itulah mauduk perbahasan, di mana kedua-dua pasukan berdebat dengan hujah yang berapi-api.
Dalam perbahasan itu, SJI menegakkan mauduk dengan menegaskan bahawa kebergantungan ekonomi Singapura pada sektor perkhidmatan adalah strategi paling tepat bagi negara kecil yang kekurangan sumber asli.
Mereka berhujah bahawa sektor perkhidmatan menyumbang lebih 70% kepada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP), terbukti anjal semasa dalam krisis dan hanya susut sedikit semasa krisis kewangan 2008 dan cepat pulih pasca Covid-19.
Sektor perkhidmatan juga merupakan yang paling adaptif dan inovatif.
Mereka juga menambah bahawa sifat “ringan karbon” dan keperluan ruang yang minimum menjadikannya selari dengan sasaran alam sekitar negara, di samping memperkukuh kemampanan ekonomi Singapura.
Sebagai penyanggah, Madrasah Aljunied menolak mauduk itu dengan mengemukakan empat risiko utama bagi pergantungan kepada sektor perkhidmatan.
Ia adalah pergantungan tinggi kepada permintaan global, kekurangan bakat mahir serta demografi menua, ancaman teknologi seperti serangan siber dan gangguan AI, dan persaingan dari negara-negara luar.
Para penyanggah menekankan bahawa subsektor pelancongan dan penerbangan runtuh semasa Covid-19 membuktikan bahawa sektor perkhidmatan tidak kalis kepada krisis seperti yang didakwa pihak pencadang.
Madrasah Aljunied turut membangkitkan isu kekurangan tenaga kerja berkemahiran dalam sektor tersebut, yang dijangka memburuk ekoran kadar kelahiran yang rendah dan penduduk yang menua.
Saingan dari luar seperti negara-negara jiran yang menawarkan kos buruh dan sewa yang lebih rendah juga menjadikan Singapura kurang menarik.
MADRASAH ALJUNIED BANGKIT MENEBUS KEKALAHAN
Kemenangan ini tidak datang dengan mudah dan Madrasah Aljunied juga telah membuat banyak pengorbanan supaya kekalahan tidak berulang.
"Antara cabaran yang kami hadapi adalah kami terpaksa korbankan masa pelajaran kami dan ini kadangkala menyebabkan kami agak terlambat dalam pelajaran kami. Tapi Alhamdulillah dengan sokongan daripada para guru, ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan kami dan sekolah kami dapat mengatasi cabaran ini," kata Muhammad Suhail Sulaiman.
Berkat usaha mereka, Madrasah Aljunied berjaya meraih kemenangan yang gemilang.
Walaupun tidak bergelar juara, pembahas SJI, Ariel Aiman Noorisman, berjaya membolot anugerah Pembahas Terbaik Keseluruhan dan Pembahas Terbaik Peringkat Akhir.
Beliau juga merangkul anugerah yang sama pada peringkat sekolah menengah tahun lalu.
MAUDUK MEMBERIKAN PENDEDAHAN ISU SEMASA KEPADA PARA PELAJAR
Topik-topik yang dibincangkan tahun ini merangkumi isu-isu semasa yang dihadapi di Singapura dan di peringkat antarabangsa, sekaligus, memberikan pendedahan kepada isu-isu tersebut, agar menjadikan pembelajaran lebih relevan bagi para pelajar.
"Dalam peringkat pasca menengah, kami telah mengajukan pelbagai topik-topik semasa, termasuk konteks tempatan dan konteks antarabangsa. Pada malam ini, mauduk merangkumi isu sektor perkhidmatan dalam konteks kemampanan ekonomi Singapura," kongsi Pengerusi Akademi Bahas 4PM, Kamal Ashraf.
"Ini merupakan isu yang sangat kompleks dan sangat susah untuk dikupas secara luas tetapi ia juga merupakan isu yang sangat penting dalam hal ehwal semasa pada hari ini," tambahnya lagi.
Kemenangan ini merupakan kemenangan yang ketujuh bagi Madrasah Aljunied sejak pertandingan Bahas 4PM dimulakan pada 1993.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.