Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Aljunied Al-Islamiah juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied 2024

Anggaran Waktu Membaca:
Madrasah Aljunied Al-Islamiah juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied 2024

Madrasah Aljunied Al-Islamiah juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied 2024. (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

SINGAPURA: Madrasah Aljunied Al-Islamiah muncul sebagai juara Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied tahun ini.

Sebagai pihak penyanggah, Madrasah Aljunied Al-Islamiah akhirnya berjaya mematahkan hujah-hujah yang dibentangkan pihak pencadang dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah untuk menyandang gelaran juara.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Mauduk yang dibahaskan dalam pusingan akhir Bahas Piala Syed Abdul Rahman Aljunied siang tadi (6 Jun) ialah "Sidang ini akan melarang pempengaruh daripada menyebarkan ajaran-ajaran Islam."

"Makna kemenangan ini saya rasa adalah bukti bahawasanya walaupun bahasa Arab itu bukanlah bahasa pertama kita, tetapi madrasah-madrasah masih lagi ada bakat dalam memperkayakan bahasa Arab dan sebenarnya kita boleh (lakukannya), walaupun ianya bukan bahasa pertama kita dan saya harap kemenangan ini menjadi motivasi untuk pelajar-pelajar lain di sekolah kita juga," kongsi pembahas dari pasukan juara itu, Nusaybah Muhammad Iqbal kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

PENYERTAAN 10 INSTITUSI TEMPATAN DAN NEGARA JIRAN

Paling Kanan: Nusaybah (Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri)

Nusaybah malah melahirkan rasa syukur dengan kemenangan itu serta bagi peluang untuk saling berkongsi ilmu dengan para peserta dari luar negara.

"Peserta-peserta Indonesia mengeluarkan dalil dan hujah yang sangat hebat dan mereka dapat menilai hujah-hujah itu dari segi (konteks) Islam.Jadi saya rasa saya sebenarnya banyak mempelajari daripada mereka jadi saya sangat bersyukur dapat pengalaman ini untuk berbual dengan (pembahas) dari pelbagai negara," tambah pelajar Madrasah Aljunied itu.

Menerusi pertandingan tiga hari itu yang bermula pada Selasa (4 Jun), para peserta bukan sahaja dapat tingkatkan mutu bertutur dalam bahasa Arab malah berkesempatan untuk saling bertukar ilmu dengan pembahas dari negara-negara jiran dalam membincangkan isu-isu semasa.

Ia lebih-lebih lagi dengan peningkatan ketara dalam jumlah penyertaan tahun ini dengan 16 pasukan dari 10 institusi Singapura, Malaysia dan Indonesia.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Ini berbanding empat madrasah tempatan pada 2022.

Jumlah institusi yang sertai tahun ini juga adalah yang tertinggi sejak pertandingan itu dianjurkan pada 2012.

"Kita dapat mengeratkan silaturahim dan memperluaskan kegunaan bahasa ini kepada jiran-jiran kita yang berada di negara yang berbeza. Jadi ini secara tidak langsung memberikan gambaran kepada pelajar-pelajar kita bahawa bahasa yang mereka pelajari ini merupakan bahasa yang "international", bahasa yang dapat diterima dan yang diguna pakai oleh ramai," kongsi Pengerusi pertandingan itu, Ustaz Mohamad Nasrullah Refa'ie.

"Ada juga pelajar-pelajar seperti mereka di luar Singapura yang sangat suka bertutur dalam bahasa Arab dan mempelajari bahasa Arab untuk mereka saling menggunakannya dan berhubung untuk berbincang dalam bahasa (Arab)," tambah beliau.

PENGGUNAAN BAHASA ARAB UNTUK BINCANG TENTANG ISU-ISU KONTEMPORARI 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Menurut Ustaz Nasrullah lagi, prestasi yang ditampilkan para peserta secara keseluruhannya adalah "sangat baik dan menarik".

"Kita melihat pelajar-pelajar ini dapat mampu menggunakan bahasa Arab bukan hanya bahasa Arab untuk memahami teks agama. Sudah tentu itu menjadi satu tumpuan yang penting, tetapi mereka juga dapat menggunakan bahasa Arab dalam topik-topik yang patut dibincangkan seperti masalah-masalah yang berlaku di dunia kita,” jelas Ustaz Nasrullah.

“Ini merupakan salah satu perkara yang penting dalam pertandingan ini untuk kita memastikan bahasa ini dapat digunakan dalam membincangkan isu-isu kontemporari,” tambahnya. 

INGIN LUASKAN PENYERTAAN KEPADA LEBIH BANYAK NEGARA ASIA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi rancangan untuk memperluaskan lagi penyertaan untuk pertandingan bahas itu kepada lebih banyak negara Asia. 

“Kita ada dalam perancangan untuk meluaskan lagi (pertandingan ini) supaya penyertaan ini dapat disertai oleh madrasah daripada negara-negara jiran kita di Asia dan ini merupakan salah satu matlamat dan usaha kita untuk memastikan penggunaan bahasa Arab diberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar kita untuk mereka mengaplikasikan apa yang mereka pelajari bukan hanya dalam bilik darjah malah di luar juga supaya mereka boleh lihat kegunaan ini,” ujar Ustaz Nasrullah. 

Peluang sebegini amat dialu-alukan para peserta luar negara seperti Fauzul Muiz dari Indonesia. 

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Beliau berkongsi bagaiman pengalaman menyertai pertandingan tersebut satu peluang yang amat berharga bagi dirinya. 

“Di sini kita berasa sangat teruja. Kita sangat tertarik kerana di sini kita boleh berkongsi pemikiran-pemikiran kita tentang dalil-dalil Islam. Yang paling jelas barakahnya bagi pertandingan ini ialah kami dapat pelajari di sekolah bagaimana caranya untuk 'Istidlal',” kongsi pelajar dari Madrasah Aliyah Al-Hikmah itu. 

“Kami ambil dalil dahulu lalu dilengkapkan dengan hujah yang ingin kita sampaikan. Itu sesuatu yang sangat susah untuk didapatkan, mungkin kalau tidak ada pertandingan ini, kami tidak belajar seperti itu,” tambah beliau. 

Pertandingan itu dinamakan bersempena nama pengasas Madrasah Aljunied Al-Islamiah iaitu Syed Abdul Rahman Aljunied bagi mengenang jasa dan memperingati tokoh yang sudah menyumbang kepada pembangunan pendidikan Islam di rantau ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan