Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Madrasah Aljunied Al-Islamiah juara Bahas 4PM, kemenangan pertama bagi peringkat Sekolah Menengah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Madrasah Aljunied Al-Islamiah muncul sebagai juara Bahas 4PM peringkat Sekolah Menengah hari ini (19 Mac). 

Ini merupakan kemenangan pertama buat sekolah itu bagi pertandingan tersebut bagi peringkat Sekolah Menengah. 

Para juri menerima usul debat mereka selaku pencadang bagi mauduk "Tenaga Alternatif di Singapura: Lebih Membantu daripada Membantut”. 

Gelaran pembahas terbaik bagi peringkat ini juga disandang oleh pembahas dari Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Nur Alya Nabilah Muhammad Farid. 

Lebih manis lagi, Piala Pembahas Terbaik Keseluruhan Bahas 4PM tahun ini diberikan kepada pembahas madrasah itu juga, Hannah Yusra Rashid. 

Mereka dan rakan sepasukan, Sumayyah Jumadi dan Nur Sholeha Salleh, berjaya meyakinkan para juri dengan hujah-hujah bernas mereka. 

Mereka membawa pulang Piala Pusingan Izzuddin Taherally, piala individu dan baucar wang yang disampaikan oleh tetamu kehormat, Anggota Parlimen Jalan Besar GRC (Kolam Ayer), Dr Wan Rizal Wan Zakariah. 

Turut membawa pulang piala individu dan baucar wang adalah Naib Juara dari Sekolah Menengah Anderson. 

Lebih istimewa lagi ini, ini merupakan kali pertama perbahasan mereka disambut sorakan penonton yang hadir secara fizikal dalam dewan yang sama. 

Dalam pusingan-pusingan sebelum ini, para penyokong tidak dibenarkan hadir dalam dewan perdebatan. 

Ini juga merupakan kali pertama selepas sekitar dua tahun, peringkat akhir bahas 4PM diadakan secara fizikal dengan kehadiran penonton dibenarkan. 

IMBANGI WAKTU ANTARA PERSIAPAN BAHAS DAN PEPERIKSAAN

Madrasah Aljunied Al-Islamiah cuba membuktikan sejauh manakah tenaga alternatif dapat memberi manfaat kepada Singapura dengan membentangkan hujah dari segi 4 'K' iaitu kelestarian alam sekitar, kemampanan ekonomi, kerjasama antara negara dan kewujudan infrastruktur.

Mereka tidak menyangka dapat merebut gelaran juara kerana kesuntukan masa dalam membuat persiapan bagi peringkat akhir pertandingan ini. 

"Kami tidak mempunyai banyak waktu untuk membuat persiapan kerana kami juga harus menduduki peperiksaan," ujar salah seorang pembahas dari pasukan Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Hannah Yusra Rashid. 

"Disebabkan itu, kami sangat terharu apabila kami memenangi pertandingan ini," tambahnya lagi. 

Untuk membuat persiapan bagi peringkat akhir ini, Hannah juga berkongsi bahawa mereka banyak meminta bantuan daripada orang sekeliling, termasuk guru dan para alumni mereka. 

Peringkat akhir yang diadakan secara fizikal dengan kehadiran penonton turut memberi pasukan ini semangat, lebih-lebih lagi selepas berentap secara maya dalam pusingan-pusingan awal. 

"Kami dapat melihat sokongan yang fizikal daripada penonton dan kami juga mendapat motivasi dan lebih bersemangat apabila kami boleh mendengar tepukan para penonton secara fizikal," kata Hannah. 

KEYAKINAN PERLU ADA

Bagi pasukan naib juara dari Sekolah Menengah Anderson, yang terdiri daripada Farah Natasya Muhamad Fazlie, Nur Shakirah Muhammed Shahrin, Lachlan Widjaja dan pembahas simpanan, Nur Shafirin Irdani Johari, mereka juga mendapati ada perbezaannya bila berbahas secara fizikal berbanding online. 

"Bila kita berbahas secara bersemuka, kita dapat melihat perasaan warga-warga dewan. Jadi kalau kami tidak begitu yakin, ia boleh menjejas ucapan kami," kongsi salah seorang pembahas Sekolah Rendah Anderson, Farah Natasya.

Lantaran itu, pelajar itu akui bahawa keyakinan itu amatlah penting dan membina keyakinan menjadi antara persediaan yang dilakukan oleh pasukannya. 

"Untuk maju ke peringkat akhir merupakan satu kejayaan yang amat besar, oleh kerana kami tidak pernah berbahas," ujar Farah.

"Jadi kami amat menghargai perjalanan ini kerana kami tidak sahaja dapat mendalami mauduk-mauduk sebegini, namun kami juga dapat membuat kawan-kawan baru dari sekolah lain," tambahnya lagi. 

Meski tidak bergelar juara, sekolah Menengah Anderson berjaya menawan hati para penonton dengan hujahan menarik yang dibentangkan dalam bentuk lagu, yang memberi fokus kepada konsep 'Persekitaran Politik Ekonomi'. 

Menurut Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bahas 4PM, Kamal Ashraf Kamil, prestasi para peserta kali ini sangat baik, dengan kualiti perbahasan yang tinggi disaksikan hari ini (19 Mac).

"Kedua-dua pasukan pada hari ini dapat mengamalkan daya kritis dan memberi hujah-hujah yang sangat terperinci dan juga dengan semangat yang berpatutan," ujar Encik Kamal. 

Edisi pertandingan Bahas 4PM bagi peringkat Sekolah Menengah tahun ini disertai 16 institusi termasuk Sekolah Menengah Xinmin, Sekolah Perempuan Raffles dan Madrasah Alsagoff Al-Islamiah.

Sumber : BERITA Mediacorp/NJ/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan