Madrasah aLIVE, kelas tuisyen Mendaki ambil langkah berjaga-jaga hadapi virus korona
Madrasah aLive kendalian MUIS serta kelas-kelas Skim Tuisyen Mendaki (MTS) pada Sabtu (8 Feb) adalah antara yang terbaru mengumumkan langkah berjaga-jaga dipertingkat seiring perkembangan terkini virus korona baru di Singapura.

Gambar fail Encik Zaqy bersama para peserta dalam satu bengkel. (Gambar: BERITAmediacorp)
SINGAPURA: Madrasah aLive kendalian MUIS serta kelas-kelas Skim Tuisyen Mendaki (MTS) pada Sabtu (8 Feb) adalah antara yang terbaru mengumumkan langkah berjaga-jaga dipertingkat seiring perkembangan terkini virus korona baru di Singapura.
Langkah-langkah tersebut diumumkan setelah Pemerintah pada Jumaat mendedahkan kes-kes baru jangkitan virus tersebut serta menaikkan tahap penilaian risiko DORSCON ke Jingga.
MTS GANTUNG SEMENTARA KELAS DI 10 PUSAT
Dalam satu nota kepada para penyelia pusat-pusat tuisyennya, Mendaki memaklumkan bahawa kelas-kelas tuisyen MTS dan (Program Tuisyen Bersama) CTP akan digantung sementara dari 10 Februari ini.
"Meskipun MENDAKI pada hari ini akan memaklumkan para ibu bapa tentang penggantungan kelas, kami berharap kesemua Penyelia Pusat akan mengingatkan para pelajar tentang langkah tersebut sebelum mereka tamat kelas hari ini," menurut Mendaki kepada para penyelia.
Dalam catatan di laman Facebook Mendaki hari ini, pengumuman yang sama turut dibuat, dengan menyenaraikan 10 pusat yang menggantung kelas.
Pusat-pusat tersebut adalah:
- Sekolah Rendah Concord
- Sekolah Rendah Corporation
- Sekolah Rendah Jurong West
- Sekolah Menengah Regent
- Sekolah Rendah Boon Lay Garden
- Sekolah Menengah Bedok Green
- Sekolah Rendah Damai
- Sekolah Rendah Casuarina
- Sekolah Menengah Changkat Changi
- Masjid Al Ansar
"Kesemua pusat lain akan terus dibuka. Para pelajar dan ibu bapa pusat-pusat terjejas sudah dimaklumkan menerusi SMS."
aLIVE PERKUKUH LANGKAH BENDUNG VIRUS
Sementara itu MUIS menyenaraikan sembilan langkah memperkukuh keselamatan para pelajar dan kakitangan di madrasah aLIVE sejajar perkembangan penularan 2019-nCoV.
Antara lain, mereka yang pernah lakukan perjalanan ke China baru-baru ini akan mengambil cuti wajib LOA selama 14 hari hari.
Pantauan kesihatan dan suhu badan juga dipertingkat, dengan ibu bapa dimaklumkan segera untuk membawa anak-anak mereka pulang jika didapati menunjukkan tanda kurang sihat.
Kegiatan luar darjah seperti wisata dan lawatan pembelajaran akan ditunda, manakala perhimpunan beramai-ramai juga akan dihentikan buat masa ini.
Seiring itu, solat jemaah bagi para pelajar akan diadakan berasingan dari jemaah utama di masjid atau dilakukan dalam kumpulan lebih kecil.
Pada Jumaat, MOH menaikkan tahap Sistem Respons Keadaan Wabak Penyakit (DORSCON) selepas beberapa kes jangkitan virus korona baru di sini, yang tiada kaitan dengan kes-kes lalu atau mempunyai sejarah perjalanan ke tanah besar China.
DORSCON warna jingga bermakna penularan penyakit itu dianggap memudaratkan dan boleh mudah berjangkit dari manusia ke manusia meskipun ia belum merebak dengan meluas dan keadaannya terkawal.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.