Skip to main content

Singapura

M³@Punggol ditubuh sebagai M³@Bandar ke-12; perkukuh sokongan bagi penduduk Melayu/Islam

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Masyarakat Melayu/Islam di Punggol kini akan menikmati sokongan yang lebih menyeluruh menerusi penubuhan M³@Punggol.

Ini sekali gus menjadikan M³@Punggol sebagai M³@Bandar ke-12.

Pengumuman itu dibuat oleh Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim di Rahat M³@Bandar yang diadakan di HomeTeamNS Khatib pada Sabtu (22 Nov).

Dalam ucapannya, Dr Faishal berkata: "Dengan peningkatan jumlah penduduk Melayu/Islam di Punggol dan Pasir Ris dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kami perlu menyusun semula M³@Pasir Ris-Changi yang sedia ada bagi memenuhi keperluan masyarakat mereka dengan lebih berkesan."

"Penambahan M³@Punggol akan mengukuhkan lagi komitmen kami terhadap masyarakat Melayu/Islam di Punggol dan meningkatkan akses kepada inisiatif M³ yang menyokong keluarga dalam bidang seperti daya kerja dan penjagaan. Kini, masyarakat di Punggol boleh menerima sokongan khusus menerusi M³@Punggol," tambah beliau lagi.

Dr Faishal juga mendedahkan bahawa M³@Punggol akan diterajui oleh Encik Ahmad Firdaus Daud.

Beliau bakal menggalas tanggungjawab sebagai penasihat kepada M³@Punggol.

Beliau kini merupakan penasihat kedua Pertubuhan Akar Umbi (GRO) GRC Punggol.

Encik Johann Johari pula akan berkhidmat sebagai pengerusi M³@Punggol.

Di luar acara tersebut, Encik Ahmad Firdaus berkongsi kepada pihak media antara tumpuan utama M³@Punggol akan datang, iaitu untuk mengukuhkan sokongan kepada keluarga belia dan warga emas, khususnya keluarga yang tergolong dalam 'generasi terhimpit'.

Beliau berkata: "Mereka menjaga anak yang semakin membesar, menjaga pendidikan, keperluan. Mereka juga menyokong ibu bapa yang semakin lanjut usia dan mengurus tekanan kerja.

"Ramai yang perlu pertolongan dari segi pendidikan anak-anak, meningkatkan kemahiran pekerjaan, menjaga kesejahteraan keluarga."

Selain itu, Encik Ahmad Firdaus juga ingin mencari huraian bagi beberapa golongan lain termasuk meningkatkan kemahiran bagi golongan pekerja serta menyokong aspirasi pendidikan kanak-kanak.

M³@BANDAR SEBAGAI PEMANGKIN MASYARAKAT

Dalam ucapannya, Dr Faishal juga menekankan bahawa M³@Bandar akan meningkatkan peranan sebagai pemangkin masyarakat.

Dr Faishal berkata: "M³@Bandar akan ... bekerjasama dengan Pertubuhan India/Islam (IMO), MMO dan rakan masyarakat lain untuk membawa program serta inisiatif dalam Bidang Tumpuan M³ kepada masyarakat Melayu/Islam.

"Pertubuhan-pertubuhan ini telah berakar dan membina hubungan erat dalam masyarakat kita.

Dengan bekerjasama dan memanfaatkan kekuatan serta kepakaran IMO dan MMO dalam penyampaian khidmat sosial dan kesihatan, serta rangkaian belia, karyawan dan sukarelawan mereka, M³@Bandar dapat memacu impak yang lebih besar dalam perkhidmatan yang disampaikan kepada masyarakat Melayu/Islam tempatan," ujar beliau lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Cik Aidaroyani Adam berkata: "Sebagai contoh, PPIS mempunyai kepakaran dalam pembangunan keluarga dan untuk memperkasakan wanita.

"Di Geylang Serai, PPIS mempunyai Pusat Khidmat Keluarga (FSC), kami boleh bekerja rapat lagi dengan M³@Geylang Serai, mendampingi keluarga-keluarga di sana."

"Untuk M³@Punggol, PPIS terbuka untuk berbincang dengan pengerusi di M³@Punggol, untuk meneroka peluang yang ada.

"Di Punggol pun ramai keluarga muda. Menerusi pusat penjagaan kanak-kanak 7oaks, kami terbuka untuk meneroka lebih lanjut peluang itu," tambah Cik Aidaroyani.

Pengerusi Penyelaras M³, Encik Raihan Rafiek pula berkata: "Jika kita teliti, objektif M³ adalah untuk perkukuhkan keluarga.

"Tujuan M³, MMO seperti PPIS misalnya, setelah anak-anak dibesarkan, wanita mahu kembali kerja. Ini akan mengukuhkan keluarga.

"Ini juga objektif Bidang Tumpuan (FA1). Ini contoh bagaimana M³, MMO dan FA boleh bekerjasama untuk pembangunan masyarakat."

KEJAYAAN KETARA M³@BANDAR, JUMLAH PROGRAM TUJUH KALI GANDA SEJAK 2018

Rahat M³@Bandar itu disertai sekitar 150 individu termasuk pengerusi dan anggota M³@Bandar, wakil daripada Persatuan Rakyat (PA), Yayasan MENDAKI dan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), serta pelbagai badan-badan Melayu/Islam (MMO).

Acara itu antara lain bertujuan membuka peluang untuk mereka meneroka kerjasama baharu untuk tahun depan bagi mengukuhkan misi dan visi M³ bagi menyokong pembangunan masyarakat.

Dr Faishal turut berkata lebih 480 program M³@Bandar yang memberi manfaat kepada hampir 200,000 penduduk sudah dianjurkan setakat ini, berbanding 70 program pada 2018.

"Apabila kami melancarkan inisiatif M³@Bandar pada 2018, kami bermula dengan hanya dua M³@Bandar, menganjurkan kira-kira 70 program dan menjangkau 33,000 peserta pada tahun pertama.

"Hari ini, kami telah berkembang kepada 11 M³@Bandar yang secara kolektif telah menganjurkan lebih daripada 480 program yang memberi manfaat kepada hampir 200,000 penduduk," ujar Dr Faishal.

Kejayaan tersebut, jelas Dr Faishal, boleh dilihat menerusi usaha dan inisiatif sebelum ini seperti Projek Dian serta inisiatif akar umbi seperti #HashTech oleh M³@Pasir Ris-Punggol dan Kelab Kesihatan oleh M³@Woodlands.

"Ini menunjukkan bahawa program yang dilaksanakan oleh M³@Bandar berjaya dan telah memberi kesan kepada ramai penerima manfaat - daripada ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah, pelajar, warga emas hingga para pekerja.

"Semua ini tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan padu daripada sukarelawan dan rakan masyarakat kami," kata Dr Faishal.

Sumber : BERITA Mediacorp/HK/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita