M³@Nee Soon, MAEC & Masjid Darul Makmur ganding bahu agih habuan Ramadan M³ kepada penduduk Yishun

Gambar: M³@Nee Soon
SINGAPURA: Persiapan menyambut ketibaan Ramadan bagi para penduduk Islam yang menetap di flat-flat sewa di GRC Nee Soon diceriakan lagi dengan agihan M³ Ramadan CareBag pada pagi Sabtu (2 Apr).
Bagi menyemarakkan lagi kedatangan bulan mulia itu, di samping mengukuhkan semangat kejiranan di kawasan berkenaan, habuan yang sama turut diagihkan kepada keluarga bukan Islam yang menetap di 10 blok flat sewa di GRC tersebut.
Ia juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan GRC Nee Soon untuk mendampingi para penduduk yang memerlukan sepanjang tempoh pandemik yang mencabar ini.
Para relawan M³@Nee Soon, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) dan rakan-rakan masyakarat di GRC Nee Soon turun padang siang tadi untuk mengagihkan habuan Ramadan itu.

Antara rakan-rakan masyarakat yang turut terlibat adalah Masjid Darul Makmur dan juga kumpulan-kumpulan relawan remaja yang sama-sama menyingsing lengan untuk membawa keceriaan Ramadan kepada para penduduk di kawasan tersebut.
Golongan belia yang terlibat dalam program agihan ini termasuk pempengaruh Instagram, Abang Goreng, yang terdiri daripada empat orang belia yang gemar mencari makanan halal merata Singapura dan berkongsi 'lubuk-lubuk' makanan yang lazat itu secara online.

Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim serta para penasihat Pertubuhan Akar Umbi GRC Nee Soon, Cik Carrie Tan, Encik Louis Ng dan Encik Derrick Goh juga turut serta mengagihkan habuan Ramadan itu.
"Saya berbesar hati melihat para relawan kita dari pihak masjid, MAEC dan rakan-rakan masyarakat yang lain
melangkah ke hadapan untuk menyumbang masa dan usaha mereka kepada tujuan yang bermakna ini kerana Ramadan mengajak kita untuk bersikap murah hati," kata Dr Faishal.
Keperluan harian seperti beras, bihun, susu penuh krim dan barangan dalam tin adalah antara barangan yang diagihkan kepada para penduduk di Blok 162 Yishun Street 11 pagi tadi.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.