M³ sediakan wadah untuk sukarelawan menyumbang, galak lebih ramai tampil ke hadapan
SINGAPURA: Rangkaian M³ sudah menyediakan pelbagai wadah untuk sukarelawan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli juga mengalu-alukan idea-idea baharu daripada para sukarelawan yang mahu terus menyumbang kepada masyarakat.
"Kita sudah pun ada pelbagai wadah untuk para karyawan menyumbang. Apa lagi tahun ini adalah tahun meraikan semangat sukarelawan atau 'the Year of Celebrating Volunteers'. Jadi antara lain, wadah ini mengumpul para karyawan dalam satu sektor, umpamanya IT, jurutera dan sebagainya dan mereka boleh berkumpul bersama untuk memikirkan apakah program-program yang dapat dilakukan yang boleh memanfaatkan masyarakat," kongsi Encik Masagos.
"Para peguam (di bawah M³) umpamanya, mereka menjalankan program sukarelawan untuk menarik para masyarakat supaya melakukan Surat Kuasa Berkekalan (LPA) supaya apabila mereka tidak mampu untuk memberikan apa-apa kelulusan untuk urusan harian mereka, ada yang sudah diberikan kuasa untuk melakukannya," tambahnya.
Ia juga termasuk Projek Dian di mana semangat para sukarelawan menyerlah untuk membantu masyarakat.
Di sini, Encik Masagos melahirkan rasa syukur melihat ramai yang menyumbang kembali kepada masyarakat menerusi program-program M³ setelah mereka berjaya meraih pensijilan, diploma atau ijazah dalam pendidikan mereka.
"Yang saya lebih bersyukur adalah setelah mereka mencapai jawatan-jawatan yang besar atau tinggi dengan pendidikan tersebut, apabila diseru untuk kembali membantu masyarakat, ramai telah berjasa melalui program M³. Ini adalah satu struktur yang tidak formal di mana kita mengundang mereka yang telah berjaya dalam kehidupan mereka untuk bersama kita memikirkan apakah isu-isu nasional yang boleh kita tangani bersama," katanya.
PROGRAM MENTOR 'CEPAT KILAT' UNTUK LENGKAPI PROGRAM MENDAKI LAIN
Melangkah ke hadapan, lebih banyak program di bawah M³ boleh dijangkakan termasuk program mentor baharu iaitu "Cool Yah Conversations".
Encik Masagos sempat mengulas tentang program mentor baharu itu yang diumumkan semasa Perbahasan Jawatankuasa Peruntukan (COS) pada Rabu (6 Mac).
"Telah terbukti ramai daripada mereka yang menjalani program MENDAKI di bawah #amPowered telah mendapat motivasi pencerahan hala hidup mereka dan sebagainya. Cuma program ini dijalankan dengan proses yang agak lama, satu untuk para mentor dan kedua untuk para menti sendiri dan mereka perlu komitmen yang lama sebelum mendapatkan hasil," ujar Encik Masagos.
"Kita perlu program-program yang mungkin cepat kilat untuk memberi peluang kepada mentor kita (mengendalikan) program pementoran tersebut dan ini yang diusulkan oleh Cik Rahayu Mahzam untuk diwujudkan satu lagi program mentor yang tidak memerlukan waktu yang panjang untuk mentor dan menti dan akan melengkapkan apa yang dilakukan oleh MENDAKI," tambahnya.
LEBIH BANYAK USAHA BAGI MASYARAKAT YANG SIHAT
Untuk program Jaga Kesihatan Jaga Ummah (JKJU) and Saham Kesihatan pula, Encik Masagos melahirkan rasa gembira dengan sambutannya.
Seramai lebih 40,000 individu mengikuti program JKJU tahun lalu.
Jumlah itu dijangka akan naik tahun ini dengan lebih banyak program JKJU boleh dijangkakan sepanjang tahun.
"Saya gembira kerana dari program yang pernah dilakukan selama ini JKJU sudah 40,000 (anggota) masyarakat yang mengikut serta dalam program-program tersebut seperti zumba, aerobik dan sebagainya tetapi kita perlu lebih ramai lagi masyarakat tahu bahawa mereka perlu lebih banyak berolahraga dan perlu menjaga apa yang mereka makan untuk mengurangkan penambahan daripada gula, garam, lemak dan sebagainya," ujar Encik Masagos.
"Kalau kita tidak melakukan ini, masyarakat Melayu akan mengalami beban yang besar bukan sahaja dari segi kos kesihatan untuk yuran bayaran hospital, malah kesan kepada golongan yang mereka tanggung, kepada mereka yang harus merawat penyakit mereka. Ini adalah beban yang besar kepada keluarga," tambahnya.
Dengan pelbagai rancangan bagi masyarakat seperti JKJU dan pementoran belia, para sukarelawan digalak untuk tampil membantu jayakan inisiatif-inisiatif M³ itu.
M³ akan bekerjasama dengan Institut Kepimpinan Masyarakat Kebangsaan untuk menganjurkan bengkel bagi para sukarelawan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.